Penganggur didakwa cabul – Sinar Harian


Penganggur didakwa cabul

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Oktober 2012

AYER KEROH – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan mencabul dan menunjukkan kemaluannya kepada tiga kakitangan Hospital Melaka, bulan lalu.

Mazri Kamarudin, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof.

Pertuduhan pertama, Mazri didapati mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 34 tahun dengan menunjukkan kemaluannya di lorong sebelah Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Melaka, jam 7.50 pagi pada 21 September 2012.

Dia juga dituduh melakukan kesalahan sama kepada seorang wanita berusia 25 tahun di tempat letak kereta di Bahagian Forensik Hospital Melaka pada jam 7.20 pagi, 8 September 2012.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mazri turut didakwa mencabul kehormatan seorang wanita berusia 27 tahun dengan menggeselkan kemaluannya pada paha wanita terbabit, jamĀ  7.30 pagi pada 20 September 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya.

Dia sekali lagi didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan perempuan sama pada lokasi dan masa yang sama, pada 20 September 2012.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhather Mohd Kudus meminta mahkamah memberikan jaminan RM16,000 bagi keempat-empat tuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh merayu jaminan dikurangkan kerana tidak bekerja dan menanggung isteri tidak bekerja serta tiga anak.

Nor Azizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dan menetapkan tarikh sebutan dokumen pada 30 November depan.

Dalam prosiding berbeza di mahkamah sama, seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan.

Ramizan Mustok, 37, didakwa mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun 2 bulan di sebuah rumah di Taman Tanjung Minyak Setia, Tanjung Minyak kira-kira jam 12 tengah malam pada Julai 2011.

Ramizan yang didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan ketika rayuan memohon jaminan dikurangkan selepas Muhather memohon mahkamah memberikan jaminan RM4,000.

Nor Azizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 3 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam.