Penganggur mengaku tidak bersalah pukul remaja – Metro


Penganggur mengaku tidak bersalah pukul remaja

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2012
Penganggur mengaku tidak bersalah pukul remaja

KOTA BHARU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan seorang remaja berusia 15 tahun menggunakan kayu hoki dalam satu perselisihan faham di sini, bulan lalu.

Tuduhan terhadap Wan Mohd Zaid Wan Ismail, 25, dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai tiga tahun atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mencederakan Muhammad Haikal Mohd Azwandy dengan memukul di kedua-dua belah tapak tangan mangsa menggunakan kayu hoki tersebut.

Kejadian berlaku pada jam 7.30 pagi, 30 Mac 2012 ketika tertuduh dikatakan bergaduh dengan seorang lagi lelaki lain di hadapan rumah mangsa.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad, bagaimanapun, pada prosiding semalam, tertuduh mengaku tidak bersalah.

Susulan pengakuan itu, Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly menetapkan sebutan semula kes pada 18 Jun depan bagi menunggu laporan perubatan tertuduh.

Sementara tertuduh dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.