Rayu turun harga diesel – Sinar Harian


Rayu turun harga diesel
RAIHAM MOHD SANUSI
20 September 2013

KEMAMAN – Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia merayu kerajaan mengurangkan harga diesel bersubsidi untuk pengusaha bas kepada RM1.20 seliter, sama seperti dinikmati golongan nelayan.

Presidennya, Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, rayuan itu bagi membantu pengusaha bas dianggarkan antara 18,000 hingga 20,000 orang di seluruh negara selepas kenaikan harga diesel dan petrol RON95 bermula 3 September lalu.

“Jika kerajaan tidak boleh mengurangkan kepada RM1.20, kita akan mohon untuk memastikan pengusaha bas kekal menikmati harga RM1.48 sen seliter seperti sebelum pengurangan subsidi sebanyak 20 sen, berbanding RM1.68 seliter sekarang.

“Langkah ini bagi membela nasib pengusaha dan pemandu bas sekolah di negara ini,” katanya pada Majlis Perasmian Penubuhan Persatuan Pengusaha-pengusaha/Pemandu Bas Sekolah Daerah Kemaman di Balai Raya Bakau Tinggi, dekat sini.

Perasmian disempurnakan Ketua Jabatan Kenderaan Awam Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Negeri Terengganu, Abd Rashid Abdullah. Turut hadir, Pengerusi Persatuan Pengusaha-pengusaha/Pemandu Bas Sekolah Daerah Kemaman,
Harun Salleh.

Dalam pada itu, Mohd Rofik meminta pengusaha dan pemandu bas sekolah tidak menaikkan harga tambang sehingga berakhirnya sesi persekolahan tahun ini bagi mengelakkan ibu bapa dan penjaga terbeban.

“Kali terakhir kadar tambang bas disemak pada 2009 dan sepatutnya sudah ada kenaikan harga tambang tahun ini.

“Insya-ALLAH, tahun hadapan akan ada kenaikan tambang. Bagaimanapun, tidak akan ada kenaikan harga tambang jika kerajaan putuskan harga diesel untuk pengusaha dan pemandu bas hanya RM1.20 seliter,” katanya.

Sementara itu, Abd Rashid pula berkata, Persatuan Pengusaha-pengusaha/Pemandu Bas Sekolah Daerah Kemaman adalah persatuan keempat ditubuhkan di negeri ini selepas Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun.

Beliau turut menyarankan Persatuan Pengusaha-pengusaha/Pemandu Bas Sekolah Daerah Kemaman mewujudkan sebuah koperasi untuk menjana pendapatan sendiri, apatah lagi dengan kenaikan kos operasi akibat kenaikan harga bahan api.

Insurans: Jumlah pengusaha bas sekolah mohon lesen bertambah – Utusan


Insurans: Jumlah pengusaha bas sekolah mohon lesen bertambah

THOMAS CHONG

PUTRAJAYA 6 April – Pengenalan Skim Perlindungan Insurans Murid-murid Sekolah yang diumumkan dalam Bajet 2013 berjaya menarik ramai pengusaha bas sekolah memohon lesen yang sah daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD).

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 17,000 bas sekolah berlesen di seluruh negara tetapi jumlah tersebut tidak termasuk bas sekolah yang beroperasi secara tanpa lesen serta tidak layak menikmati faedah insurans tersebut.

Beliau berkata, pengusaha bas sekolah digalak memohon lesen dengan SPAD kerana ia merupakan proses yang mudah di mana mereka hanya perlu membayar RM10 sebagai yuran pendaftaran.

“Dianggarkan jumlah bas sekolah tanpa lesen ini adalah agak besar dan mereka beroperasi secara senyap-senyap.

“Kami berharap penawaran skim insurans ini bukan sahaja dapat memberi perlindungan kepada murid tetapi juga akan menggalakkan pengusaha bas sekolah berdaftar dengan SPAD,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan skim insurans tersebut di sini hari ini.

Walaupun hanya dilancarkan hari ini, dua murid yang cedera dalam kemalangan di Bukit Beruntung, Selangor pada Januari lalu, telah pun menerima manfaat daripada skim itu yang dilaksanakan kerajaan mulai tahun ini.

Perlindungan yang ditawarkan di bawah skim tersebut termasuk kematian akibat kemalangan, hilang keupayaan kekal, bayaran perubatan, manfaat hospital dan khairat kematian.

Syed Hamid berkata, setiap murid yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah berlesen akan mendapat perlindungan tersebut secara automatik tanpa perlu melakukan pendaftaran.

“Jika berlaku kemalangan, ibu bapa hanya perlu serah laporan perubatan dan pengesahan murid daripada sekolah kepada SPAD atau Takaful Malaysia untuk proses tuntutan,” katanya. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130406/dn_25/Insurans-Jumlah-pengusaha-bas-sekolah-mohon-lesen-bertambah#ixzz2PmyZUV00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bas sekolah kini dilindungi – Sinar Harian


Bas sekolah kini dilindungi

KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB
29 Mac 2013
Bas sekolah kini dilindungi
Syed Hamid (dua, kiri) menyampaikan cenderahati kepada 10 pelajar cemerlang UPSR di Sekolah Kebangsaan Seremban Jaya, semalam.

SEREMBAN – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memperkenalkan skim insurans bagi pelajar di negara ini yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, insurans dikelolakan Takaful Malaysia itu berfungsi melindungi kira-kira 1.5 juta murid sekolah pelbagai peringkat, seandainya mereka terbabit dalam kemalangan semasa menaiki bas sekolah.

“Bagaimanapun, hanya bas sekolah yang beroperasi secara sah dan berdaftar dengan SPAD saja layak mengikuti program ini yang bermula sejak 1 Januari lalu.

“Setakat ini, sebanyak 17,000 bas sekolah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sudah pun mendaftar dengan kita dilindungi melalui skim berkenaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali ke-3 Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Sekolah Seremban, di sini, semalam.

Syed Hamid berkata, antara perlindungan diberikan seperti pampasan RM100,000 jika membabitkan kematian murid dalam kemalangan, RM100,000 untuk kecacatan kekal, manfaat hospital sebanyak RM100 sehari, tanggungan kos perubatan sehingga RM3,000 dan khairat kematian berjumlah RM2,500.

“Prosedur untuk membuat tuntutan pula mudah sahaja, di mana pelajar terbabit hanya perlu mengemukakan surat pengesahan doktor dan pihak sekolah.

“Manakala proses tuntutan pula tidak lama, iaitu hanya mengambil masa kira-kira dua minggu sebelum pampasan dikeluarkan kepada murid terbabit.

Menurut Syed Hamid, perlindungan berkenaan bukan sahaja membabitkan pergi dan balik ke sekolah, sebaliknya turut meliputi rombongan anjuran pihak sekolah di luar waktu pembelajaran, selagi bas sekolah berkenaan beroperasi dengan lesen dan permit yang sah.

“Secara tidak langsung, kita cuba menggalakkan agar setiap pengusaha bas sekolah di luar sana agar mendaftar dengan kita demi kebaikan pelajar yang mereka bawa,” katanya.

PERTANDINGAN REKABENTUK BAS SEKOLAH YANG SELAMAT DAN PELANCARAN SKIM INSURANS MURID SEKOLAH S.P.A.D


PERTANDINGAN REKABENTUK BAS SEKOLAH YANG SELAMAT DAN PELANCARAN SKIM INSURANS MURID SEKOLAH S.P.A.D

28 March 2013

Salam 1Malaysia,

Untuk makluman, YAB Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2013 telah mengumumkan bahawa kerajaan akan menyediakan skim perlindungan insuran kepada semua pelajar sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang berlesen dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D). Pihak S.P.A.D telah memohon kerjasama erat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menjayakan pelaksanaan skim insuran ini.

Untuk maklumat lanjut, sila muat turun buku panduan di ruangan muat turun di bawah atau layari laman portalS.P.A.D.

Muat Turun
Skim Insurans Murid Sekolah SPAD

2 remaja perempuan bawah umur antara ditahan di JB – Bernama


2 remaja perempuan bawah umur antara ditahan di JB

1 Januari 2013

JOHOR BAHRU – Dua remaja perempuan bawah umur bersama pasangan masing-masing antara yang ditahan menerusi ‘Operasi Samseng Jalanan’ semasa sambutan Tahun Baru di Jalan Skudai di sini awal pagi tadi.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor,  DSP Roslan Ali berkata, keterangan diambil daripada mereka sementara ibu mereka  akan turut dipanggil.

Beliau berkata remaja berumur 14 dan 16 tahun itu antara lebih 100 penunggang motosikal dan beberapa pemandu kereta yang diperiksa menerusi operasi bersepadu tersebut.

Operasi berhampiran Danga Bay itu dilakukan antara pasukan IPK, Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Rela dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Beliau berkata, penunggang motosikal yang diperiksa itu didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai topi keledar sementara pemandu kereta didapati mengubah suai kenderaan mereka. – Bernama

Mohon kekal sekolah tahfiz – Sinar Harian


Mohon kekal sekolah tahfiz
WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Julai 2012
HULU PERAK – Ibu bapa kepada 23 pelajar lelaki Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, di sini meminta bangunan sekolah sedia ada dikekalkan sebagai pusat pembelajaran buat anak-anak mereka.

Guru, Hasifi Hilfi Shahizan berkata, ada di antara ibu bapa pelajar bimbang anak mereka ditukarkan ke tapak asal di Bukit Sapi kira-kira 15 kilometer dari sini yang dilihat jauh dari penempatan penduduk.

Menurutnya, sekolah itu menumpang di sebuah sekolah agama rakyat, di sini, pada masa ini, untuk meneruskan pengajian mereka. “Bangunan yang mempunyai hanya satu bilik darjah, bilik guru dan bilik asrama dalam satu bangunan dibina di tanah seluas 0.1 hektar serta tidak mempunyai padang dengan jalan tanah merah tidak bertar.

“Sejak enam bulan ditubuhkan, pelajar tidak dapat melakukan aktiviti riadah seperti bermain bola sepak pada waktu lapang,” katanya.

Namun begitu, katanya, pelajar berkenaan masih mengikuti pembelajran berkaitan tahfiz Al-Quran selain pengajian akademik biasa, termasuk bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Sementara itu, Hasifi Hilfi berkata, ibu bapa pelajar juga turut menyuarakan pandanganuntuk mengekalkan anak mereka di bangunan sedia ada dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) baru-baru ini.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG, Mohd Nasir Yop Ahmad berkata, pihaknya merancang untuk menulis surat kepada Menteri Besar bagi mencari penyelesaian masalah itu.

“Kalau boleh kita tidak mahu pelajar ini dipindahkan ke Bukit Sapi yang dilihat jauh dari kemudahan asas seperti pengangkutan awam, hospital dan sebagainya.

“Ibu bapa mencadangkan sekolah berkenaan dikekalkan untuk memudahkan semua pihak. Cuma kemudahan sekolah perlu dinaikkan taraf untuk pelajar-pelajar cemerlang,” katanya.