Pengawal keselamatan dituduh bunuh pelajar perempuan 16 tahun – Bernama


Pengawal keselamatan dituduh bunuh pelajar perempuan 16 tahun

2011/07/15

JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun di ladang kelapa sawit Sungai Masai, Masai bulan lalu.

Tertuduh, D. Kalaiselvan, 46, hanya mengangguk selepas pertuduhan dibacakan oleh seorang jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Hafizah Johor Arif Johor.

Tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, beliau didakwa membunuh Nur Rahayu Qomarodin di ladang kelapa sawit Sungai Masai, Jalan Masai-Kong Kong, Masai di sini antara jam 2.30 pagi dan 2.50 pagi, 18 Jun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Keluarga mangsa turut melantik Khairul Azwad Sariman sebagai peguam pemerhati bagi kes berkenaan.
Kes berkenaan akan disebut semula pada 20 September depan bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat. – BERNAMA