Pengetua didakwa palsukan 9 invois RM7,640 – Bernama


Pengetua didakwa palsukan 9 invois RM7,640

RAUB 12 Nov. – Seorang pengetua sekolah di Triang, Bera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap sembilan pertuduhan membuat pemalsuan invois pembekalan buku latihan sekolah dan bahan pembelajaran lain yang melibatkan nilai keseluruhan RM7,640 pada 2005 dan 2006.

Cheong Chok Weng, 57, Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Triang, Bera didakwa melakukan kesalahan itu pada Oktober dan Disember 2005 serta Disember 2006, ketika menjadi Pengetua Sekolah Menengah Khai Mun, Bentong.

Mengikut kertas pertuduhan, lapan penipuan invois dilakukan oleh tertuduh pada Oktober dan Disember 2005 apabila membuat invois Chewai Enterprise, membabitkan pembekalan alatan pembelajaran yang keseluruhannya bernilai RM7,440 sedangkan pembekalan itu tidak dibuat oleh Chewai Enterprise.

Antara pembekalan berkenaan adalah soalan mirip peperiksaan Matematik Tambahan Tingkatan 5 (SPM) Kertas 1, pad kertas lukisan, soalan mirip peperiksaan Fizik SPM Kertas 1 dan Kertas 2, buku Latih Tubi SPM English Paper 1, kertas lejar dan jurnal.

Pada Disember 2006 pula, Chok Weng dituduh melakukan penipuan satu invois LZW Dagang mengenai pembekalan kertas latihan Bahasa Cina SPM Kertas 1 dan 2 yang bernilai RM200 sedangkan pembekalan itu tidak dibuat oleh LZW Dagang.

– bernama