Pengetua tunai nazar murid
30 Disember 2012

Mohammad Zalkornain (kiri) mencukur rambut Meor sambil dibantu pemandu peribadinya, Abd Hadi Idris.
MANJUNG – Permintaan pelik seorang pelajar untuk dibotakkan kepala oleh pengetua sekolahnya selepas memperoleh keputusan 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) akhirnya ditunaikan.
Meor Muhammad Emmier Asyraf Rostam Affandi, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Shahriman, Beruas, berkata, dia bernazar untuk membotakkan kepalanya itu jika mendapat keputusan A bagi semua subjek dan bersyukur ia dimakbulkan malah dia diumumkan antara pelajar cemerlang sekolah tersebut.
Bagi menunaikan hasrat itu, bekas Pengetuanya, Mohammad Zalkornain Jaafar yang kini menjawat jawatan Pegawai Pelajaran Daerah Perak Tengah dengan rela hati membotakkan rambut anak muridnya itu.
“Dalam sejarah hidup saya, belum pernah lagi menggunting rambut orang apatah lagi membotakkan kepala. Tapi saya buat juga memandang ia nazar anak murid saya.
“Dia (Meor) memang pelajar harapan dan pelajar cemerlang di sekolah. Saya bangga dengan kejayaan anak-anak murid saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Meor berkata, tindakan bernazar itu dibuat kerana menganggap bekas pengetuanya itu sebagai idola dan sumber inspirasi kepada kejayaan.
Menurutnya, kejayaan memperoleh 8A itu adalah hadiah yang paling istimewa daripadanya untuk Mohammad Zalkornain.