Irene, Pelajar Cemerlang SPM SMK Desa Kencana Felda Sahabat Dapat 10 A – Bernama


Irene, Pelajar Cemerlang SPM SMK Desa Kencana Felda Sahabat Dapat 10 A

LAHAD DATU: Irene Scully Tawan, 17, pelajar Sek Men Keb Desa Kencana Felda Sahabat di sini memperoleh keputusan cemerlang 10A Sijil Pelajaran Malaysia dan terpaksa meraikannya ketika tinggal sementara di Masjid Rahman Kembara Sakti, di sini.

Dia bersama ibu bapa dan dua adik lelakinya meninggalkan rumah mereka semalam atas faktor keselamatan berikutan ancaman pengganas militan dari selatan Filipina dan tinggal sementara di masjid tersebut, 3km dari rumahnya.

Irene yang bercita-cita menjadi doktor hanya dapat mengambil keputusan SPM di sekolahnya pagi tadi dengan ditemani oleh ibu bapanya.Menurut beliau, gurunya telah memaklumkan kepadanya mengenai keputusan itu semalam tetapi beliau hanya dapat mengambilnya pagi Jumaat.

Mengenai rahsia kejayaannya itu, Irene ketika ditemui di masjid tersebut berkata sikapnya yang suka bersaing antara faktor utama mendorong kejayaannya. –BERNAMA

SK Zainab 2 lancar Tabung Wira Lahad Datu – Utusan


SK Zainab 2 lancar Tabung Wira Lahad Datu

Oleh NURUL AKMAR AIDA

KOTA BHARU 17 Mac – Pelbagai pihak di negeri ini terus menyatakan sokongan mereka kepada pasukan keselamatan negara yang berjuang menentang pengganas Sulu di Sabah dengan melancarkan Tabung Wira Lahad Datu.

Antara yang mengambil inisiatif melancarkan tabung tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 2, Jalan Telipot di sini, bertujuan mengumpul sumbangan untuk membantu keluarga anggota yang terkorban dalam insiden berkenaan.

Majlis pelancaran tabung itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Tuan Mahmud Tuan Mat dengan dihadiri Guru Besar, Aidah Mohd. Salleh sempena Mesyuarat PIBG Ke-37 sekolah itu semalam.

Tuan Mahmud ketika ditemui kemudiannya berkata, sumbangan ini amat besar ertinya kepada keluarga anggota keselamatan yang gugur di medan perang kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu membiayai kos persekolahan anak-anak.

“Setakat ini sumbangan yang dapat dikumpul kira- kira RM1,200. Walaupun wang yang diperolehi tidak seberapa tetapi sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mereka sekeluarga untuk meneruskan hidup dan ini menunjukkan keprihatinan kita terhadap mereka.

“Kutipan sumbangan ini tidak terhenti setakat ini sahaja kerana akan diteruskan lagi pada minggu hadapan sehingga akhir bulan Mac dan kita akan mengutip sumbangan ini semasa perhimpunan sekolah, malah ibu bapa juga boleh mengirimkan melalui anak-anak kepada sekolah.

“Sumbangan sebegini perlu diberi oleh masyarakat kerana mengenangkan pengorbanan tentera untuk mempertahankan tanah air daripada diceroboh. Jika ada masyarakat yang tidak bersetuju dengan kerja kutipan derma ini ia adalah perbuatan yang tidak betul,” katanya di sini semalam. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130317/dn_63/SK-Zainab-2-lancar-Tabung-Wira-Lahad-Datu#ixzz2NnkE2PBg
© Utusan Melayu (M) Bhd

‘Mak, abah mana?’ – Metro


‘Mak, abah mana?’

 131  5 Google +0  1  0

Semporna: “Mak, abah mana? Abah kerja kan? Kenapa mak menangis?”

Kata Mohd Aiman Hakimi, 7, anak kesayangan arwah Sarjan Abdul Azis Sarikon, 48, sambil meminta ibunya membuka pintu bagi menjemput kepulangan bapanya kerana dia menyangka bapanya masih hidup.
Sitti Banddorah Mahalil, 39, berkata anaknya itu yang tidak sihat sejak empat hari lalu, sering bertanya kepadanya di mana bapanya.

 

“Malam tadi (kelmarin) dia tarik-tarik baju, tunjuk pintu dan mengatakan abahnya ada di bawah (rumah).
“Dia (Mohd Aiman) tanya saya mana abahnya, dia cakap lagi ‘abah tidak ditembakkan?’. Saya tidak mampu berkata apa-apa, tetapi bagi mengambil hatinya dan meredakan persoalannya, saya beritahu, ‘tak’ (tidak kena tembak),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Pelangi di sini, semalam.
Abdul Aziz antara enam pegawai dan anggota yang terbunuh akibat serang hendap kumpulan penceroboh Filipina di di Kampung Sri Jaya Simunul di sini, Sabtu lalu.

 

Sambil mengesat air matanya, Sitti Banddorah berkata, dia reda dengan pemergian suaminya dan menganggapnya sebagai wira negara.
“Saya kini perlu tabahkan diri untuk meneruskan hidup selepas kehilangan suami itu dan berharap serangan penceroboh dapat ditangani segera.

 

“Saya tidak mahu lagi melihat anak kecil kehilangan bapa seperti anak saya,” katanya dengan nada pilu.
Mengenai operasi besar-besaran pasukan keselamatan di Lahad Datu, Sitti Banddorah berharap ia akan menyelesaikan segala masalah yang ditimbulkan pengganas Sulu di negeri ini.
“Cukuplah dengan apa yang berlaku. Tidak mahu lagi kejadian seperti ini berulang.
“Berat untuk dipikul apabila menghadapi kehilangan begini, perasaan keluarga dan anak cukup berat menghadapinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07