Murid tahun dua meliwat dalam tandas – Metro


Murid tahun dua meliwat dalam tandas
KLANG: Gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang hanya dikaitkan dengan golongan dewasa semakin membimbangkan banyak pihak kerana dikesan boleh mengancam golongan pelajar sekolah.

Jika gejala ini tidak dipandang serius, ia mungkin menular kepada pelajar kerana wujud laporan daripada pihak sekolah kes di mana murid tahun dua di Petaling Perdana ditangkap kerana meliwat di dalam tandas sekolah, baru-baru ini.
Penolong Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana, Wan Fauziah Wan Abdullah berkata, kurang didikan agama dan perhatian ibu bapa serta penggunaan Internet tanpa kawalan menjadi pendorong berlakunya gejala ini.

“Empat kes membabitkan pelajar diterima sejak Januari hingga awal Jun lalu dan pihak kami akan memanggil pelajar terbabit untuk diberi kaunseling.
“Ibu bapa turut dipanggil bagi memastikan perbuatan anak mereka diketahui dan pemantauan berpanjangan boleh dilakukan untuk mengekang perbuatan sama berulang,” katanya ketika ditemui pada program Seminar Keibubapaan Isu LGBT, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Sementara itu, Mohd Puad meminta semua pihak, terutama ibu bapa dan guru, memantau gejala LGBT yang ditunjukkan oleh pelajar bagi mencegah ia menjadi fenomena dan gaya hidup masyarakat.
Menurutnya, walaupun perbincangan mengenai LGBT masih taboo di kalangan masyarakat, mereka tidak harus berasa malu membincangkannya isu itu bersama anak kerana ia bertujuan memberi kesedaran dan pengetahuan kepada mereka.

“Kita berharap program seminar seperti ini bukan saja dapat memberi penerangan mengenai gejala LGBT, tetapi kita mahu masyarakat, terutama ibu bapa dan guru, mencegah ia daripada terus menular,” katanya.

Polis tingkat pemantauan jenayah siber – Utusan


Polis tingkat pemantauan jenayah siber

MELAKA 7 Feb. – Polis negeri akan meningkatkan pemantauannya terhadap aktiviti di laman sosial khususnya yang melibatkan pelajar sekolah bagi membendung golongan berkenaan daripada terjerumus dalam jenayah siber.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, pelajar lebih cenderung terdedah kepada jenayah berkenaan berbanding orang dewasa kerana golongan itu sering bertindak mengikut emosi tanpa memikirkan akibatnya.

“Kita perlu pantau perkara ini kerana mungkin satu pergaduhan serius sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian boleh berlaku akibat perbalahan kecil di laman sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah 2012 di Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun statistik kes melibatkan jenayah siber masih rendah dan terkawal, namun polis memandang serius terutamanya yang menjurus kepada berlakunya pergaduhan atau menjejaskan ketenteraman awam.

Katanya, selain penularan fitnah, polis turut memberikan perhatian serius terhadap penyebaran maklumat palsu dan berbaur perkauman kerana boleh menyebabkan keadaan huru-hara dan menggugat keselamatan negara.

“Tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan Internet dan laman sosial adalah perlu pada masa ini, namun pengguna perlu bertanggungjawab dan berwaspada dengan kenyataan yang dibuat kerana ia memberikan impak besar terhadap kestabilan negara,” katanya.

Justeru, katanya, bagi memastikan jenayah siber melibatkan pelajar sekolah dapat dibendung dengan berkesan, guru dan ibu bapa perlu turut membantu dengan sentiasa memantau aktiviti pelajar dan anak mereka.