Telefon bimbit sumbang jenayah
15 Oktober 2012

Mohd Sabri Arsad
KUANTAN – Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyifatkan penggunaan telefon bimbit di sekolah adalah antara punca berlakunya jenayah dalam kalangan pelajar.
Pengerusinya, Mohd Sabri Arsad berkata, pelajar sekolah menengah dilihat lebih ‘memanfaatkan’ telefon bimbit untuk memuat turun gambar dan menghubungi rakan di luar sekolah jika berlaku perkara yang tidak memuaskan hati mereka.
Menurutnya, melalui mesyuarat dan perjumpaan bersama ahli, ramai yang meluahkan pendapat bahawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan penggunaan telefon bimbit di sekolah.
“Selain kecurian telefon terutama sesi beriadah, tidak mustahil mereka akan menghubungi kumpulan mereka di luar jika berlaku pergaduhan di sekolah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Justeru, beliau mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran Malaysia bekerjasama dengan syarikat komunikasi untuk pemasangan lebih banyak telefon awam di sekolah sesuai dengan jumlah pelajar.
Beliau berkata, sehingga kini, belum ada sebarang masalah berkaitan pemasangan telefon awam di dalam kawasan sekolah kerana sentiasa
dipantau dan diletakkan di lokasi tumpuan dan pondok pengawal keselamatan.
Katanya, ibu bapa juga perlu faham bahawa kebaikan penggunaan telefon bimbit di sekolah hanya pada peringkat awal sahaja.
“Daripada pengalaman guru-guru, ada pelajar yang merakam gurauan rakan sendiri tetapi lama kelamaan, perkara itu boleh menjadi pergaduhan dan membawa kepada laporan yang salah.
“Telefon juga boleh mengganggu sesi pelajaran di kelas dan tiada tumpuan kepada guru,” katanya.