Dua beradik tunjuk bakat
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Jun 2012
Ihsan (tengah) bersama anak-anaknya yang menjadi juara peringkat kebangsaan dan TM.
KOTA BHARU- Semangat yang diberikan ibu bapa dalam mengharapkan anak-anaknya berjaya semasa penyertaan tilawah al-Quran membolehkan kedua-dua mereka menjadi juara.
Ibu berkenaan, Ihsan Haydar, 34 berkata, dia dan suaminya sentiasa memberikan sokongan kepada anak lelaki keduanya, Thaqif Adib Mohd Azahar, 12, sehingga bergelar juara Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2012 kategori kanak-kanak.
Dia berkata, suaminya, Mohd Azahar Mustafa, 42 seorang kakitangan Telekom Malaysia (TM) sentiasa memastikan anak-anaknya menerima pengajian al-Quran sejak usia kecil.
“Thaqif boleh membaca al- Quran sejak usia enam tahun, cuma kami menghantarnya belajar tarannum di Akademi Al-Quran Ahmad Pergau, Pengkalan Chepa sejak usia sembilan tahun. Anak sulung, Thaqifah Auni, 15, kemudian dipilih menyertai tilawah al- Quran anjuran TM dan berjaya menjadi juara tahun ini,” katanya.
Ihsan berkata, setiap kali selepas Maghrib, suaminya mengajar anak-anak mengenai bacaan al-Quran dan cara itu membolehkan mereka mudah membacanya.
Menurutnya, kejayaan anak-anak adalah bergantung kepada peranan yang dimainkan ibu bapa mereka, mengikut arah mana kecenderungan anak-anak.
“Sejak tabika saya sudah nampak anak-anak minat dalam belajar al-Quran, malah kerana mengamalkan pemahaman al-Quran sepanjang masa, mereka juga berjaya dalam akademik di sekolah masing-masing,” katanya.
Dia mengharapkan bakat anak-anak dalam penyertaan tilawah tidak berakhir ketika usia muda, sebaliknya ia diteruskan sehingga dewasa dan menjadi contoh kepada generasi muda
sekarang.