Ibu bapa, guru kena kerjasama didik anak – Berita Harian


Ibu bapa, guru kena kerjasama didik anak

2013/06/30 – 20:24:41 PM Oleh Haika KhaziCetakEmel Kawan
Putrajaya: Persepsi bahawa beban mendidik anak terletak sepenuhnya kepada guru dan sekolah perlu diubah.

Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, soal pendidikan anak khususnya yang berkaitan dengan aspek membaca, menulis, mengira dan menaakul, memerlukan penggemblengan ibu bapa dan guru dalam usaha menghasilkan pelajar yang berkualiti pada masa depan.

Ini bermaksud ibu bapa juga perlu mengambil tahu soal pembelajaran, kebolehan, disiplin serta kemajuan anak masing-masing dengan berkomunikasi rapat dengan guru dan pentadbiran sekolah.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Sektor Operasi Pendidikan, Datuk Sufa’at Tumin, berkata sejajar dengan peningkatan akademik ibu bapa, tanggungjawab mendidik anak bukan lagi tanggungjawab guru sepenuhnya, tetapi turut membabitkan ibu bapa dan komuniti setempat termasuk syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi bukan kerajaan (NGO).

Lancar inisiatif baru

Justeru, beliau berkata Kementerian Pendidikan baru-baru ini melancarkan inisiatif Bekerjasama dengan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta secara meluas, di mana Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah merupakan alat bagi membolehkan pencapaian inisiatif ini.

Pelaksanaan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah dapat mengukuh dan meluaskan lagi penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta ke arah pencapaian aspirasi murid.
Sarana Ibu Bapa adalah satu inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan anak dalam pembelajaran di rumah dan sekolah.

Sufa’at berkata seperti terkandung dalam PPPM, Sarana Ibu Bapa merangkumi empat elemen meliputi penyediaan suasana pembelajaran di rumah, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak.

Katanya, Sarana Sekolah pula mempunyai enam elemen iaitu iklim sekolah, komunikasi berkesan, sokongan terhadap kejayaan murid, tanggungjawab bersama, keputusan bersama, kerjasama dengan komuniti dan kumpulan sokongan ibu bapa menerusi PIBG.

“Inisiatif itu membabitkan kepentingan dan masa depan lebih 5.03 juta murid di lebih 10,000 sekolah menengah dan rendah di seluruh negara dengan anggaran murid yang terbabit bagi tempoh 13 tahun mulai 2013 hingga 2025 ialah hampir 11 juta orang.

“Selain mengurus urusan rumahtangga, ibu bapa diminta meluangkan masa bersama anak dan melakukan aktiviti-aktiviti seperti terkandung dalam Sarana Ibu Bapa.

“Ibu bapa juga diminta melibatkan diri di sekolah secara aktif dan boleh memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk, termasuk idea, tenaga, kepakaran, dan kewangan,” katanya.

PIBG diminta untuk menubuhkan biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) yang dapat merapatkan hubungan antara ibu bapa, murid dan sekolah. Melalui KSIB, lebih banyak interaksi, perkongsian dan percambahan ilmu dapat berlaku demi mewujudkan hubungan yang bermakna antara ibu bapa dan anak.

Dalam pada itu, Sufa’at berkata dalam Sarana Sekolah, peranan PIBG amat penting untuk menggerakkan KSIB yang banyak diamalkan di negara maju.

Malah, beliau berkata, kebanyakan sekolah di negara maju turut digerakkan bersama oleh ibu bapa bagi melaksanakan setiap aktiviti di luar bilik darjah dan berharap PIBG mengambil langkah proaktif untuk menubuhkan kumpulan ini demi masa depan anak mereka.

Sekolah kena tukar imej

“Bagi menarik minat ibu bapa dan anggota masyarakat untuk datang ke sekolah dan terlibat dengan aktif, pihak sekolah perlu mewujudkan suasana mesra dan mengalu-alukan kedatangan ibu bapa dan anggota komuniti. Jika selama ini dirasakan sekolah adalah kepunyaan dan tanggungjawab guru dan murid semata-mata, kini kita mahu rasa kesepunyaan dan tanggungjawab dikongsi bersama oleh ibu bapa dan komuniti,” katanya.

Beliau berkata ini dapat dicapai apabila pihak sekolah memberi mesej bahawa ibu bapa dan ahli komuniti dialu-alukan, seterusnya mewujudkan suasana kemesraan antara kedua-dua pihak.

“Tiada had umur bagi Ibu bapa dan ahli komuniti yang boleh menyumbang kerana setiap mereka mempunyai kebolehan dan kepakaran yang boleh dikongsi bersama demi melahirkan modal insan berkualiti,” katanya.

Sufa’at berkata pendekatan berkenaan juga bakal menambah baik prestasi akademik sekolah serta mempergiatkan lagi kegiatan di luar bilik darjah pada masa depan dengan pembabitan pelbagai pihak termasuk syarikat swasta.

“Selain, ibu bapa dan guru, pembabitan masyarakat setempat, GLC dan pihak swasta juga diperlukan dalam menghulurkan bantuan dari sudut luahan idea, pendapat dan bantuan kewangan.

“GLC dan pihak swasta dapat memberi bantuan kepada kumpulan sokongan ini menerusi penambahbaikan kemudahan sekolah, menganjurkan sesi motivasi oleh penceramah berpengalaman dan membantu mengisi tabung PIBG,” katanya.

Kumpulan berkenaan juga boleh membantu sekolah merealisasikan kebitaraan sekolah mereka dengan memberi sokongan dari segi kepakaran, peluang-peluang mengembangkan potensi murid dan guru, membina rangkaian dalam dan luar negara dan pelbagai lagi aspek untuk menjadikan murid cemerlang.

TPM lancar Sarana Ibu Bapa dan Sekolah, Ahad ini – Utusan


TPM lancar Sarana Ibu Bapa dan Sekolah, Ahad ini

PUTRAJAYA 20 Feb. – Satu garisan asas akan diwujudkan untuk mempertingkatkan lagi komitmen ibu bapa, guru dan komuniti dalam memperkasakan kecemerlangan pelajar sebelum hujung tahun ini.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Datuk Mazlan Mohamad berkata, banyak bukti menunjukkan penglibatan ibu bapa dan komuniti dalam pendidikan membawa perubahan ketara kepada kejayaan pelajar.

Katanya, langkah itu juga akan memudahkan kerajaan mencapai hasrat untuk mempunyai sistem pembelajaran yang dapat meningkatkan kejayaan akademik dan sahsiah pelajar pada masa depan.

“Untuk itu, kita menampilkan program Sarana Ibu Bapa dan Sekolah yang akan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur pada Ahad ini.

“Pelaksanaan kedua-dua sarana yang bermula bulan depan itu akan diukur secara teliti dan dijangka November nanti, kita dapat satu garisan asas tentang tahap komitmen tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Inisiatif Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta, Asiah Hamzah.

Kedua-dua sarana itu terletak di bawah Inisiatif Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, inisiatif tersebut akan membolehkan semua pihak yang berkepentingan terlibat dalam melonjakkan kualiti pendidikan negara.

Ini kerana, tambah beliau, adalah sukar untuk mencapai matlamat itu sekiranya hanya pihak sekolah dan guru sahaja bertungkus-lumus.

“Kita juga sedar bahawa era kerajaan tahu semua perkara sudah berlalu dan untuk itu, kita mahu melibatkan semua pihak berkepentingan untuk meneliti perancangan dan program pendidikan yang dirancang,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130221/dn_19/TPM-lancar-Sarana-Ibu-Bapa-dan-Sekolah-Ahad-ini#ixzz2LW1t1jwX
© Utusan Melayu (M) Bhd

LGBT bukan isu remeh – Sinar Harian


LGBT bukan isu remeh

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Februari 2013
LGBT bukan isu remeh
Mohd Puad berbincang dengan guru dan ibu bapa yang hadir pada seminar berkenaan, semalam.

BATU PAHAT – Gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang menjadi masalah sosial dalam kalangan masyarakat masa kini tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia dilihat boleh menjadi penyumbang kepada HIV/Aids.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, bukan sahaja penagih dadah yang membawa HIV/Aids, tetapi golongan LGBT juga penyumbang utama hasil aktiviti seks bebas sesama jenis.

“Bagi memerangi masalah itu dan mendidik murid-murid supaya tidak terlibat dengan LGBT, Kementerian Pelajaran tidak akan menyekat penglibatan guru dalam seminar (Keibubapaan-Menangani Isu LGBT) untuk pendedahan dan akan disampaikan kepada pelajar mereka.

“Selain memberitahu pelajar, mereka juga turut didedahkan langkah pencegahan dan akibatnya jika mengamalkan gejala buruk itu,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Keibubapaan (Menangani Isu LGBT) kali ke-22 peringkat Negeri Johor di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini, semalam.

Seminar anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang memberi pendedahan berhubung keburukan gejala LGBT itu dihadiri 3,500 tetamu terdiri daripada ibu bapa serta warga pendidik.

Lebih bermakna apabila seminar itu turut dihadiri dua bekas gay dan transgender yang telah insaf kesilapan pernah dilalui berkongsi pengalaman mengenai kesan dan keburukan gejala LGBT.

Mohd Puad berkata, seminar berkenaan yang sudah memasuki kali ke-22 itu mendapat sambutan luar biasa terutamanya di Selangor.

Menurutnya, seminar itu kini mula diadakan di peringkat daerah di Selangor seperti di Gombak, Kuala Selangor dan Ampang Jaya, namun hanya melibatkan golongan pendidik sahaja pada peringkat permulaan.

“Walaupun seminar itu tidak melibatkan murid-murid sekolah, namun penglibatan ibu bapa dan guru amat penting bagi menangani gejala LGBT yang dikesan mudah terdedah kepada remaja.

“Ibu bapa dan warga pendidik memainkan peranan penting untuk memantau dan mencegah jika mendapati anak mereka atau anak murid dikesan menunjukkan simptom terjebak ke arah gejala LGBT.

“Kita tidak mahu mendiskriminasikan mereka yang terlibat dalam LGBT, tetapi gejala yang boleh membawa kepada liberalisme agama ini perlu ditangani lebih awal dan cepat supaya ia tidak merosakkan norma kehidupan,” katanya.

Sekolah angkat: Telekom Malaysia sedia RM2 juta – Bernama


Sekolah angkat: Telekom Malaysia sedia RM2 juta

20 Oktober 2012

SEREMBAN – Telekom Malaysia Bhd (TM) memperuntukkan RM2 juta untuk projek sekolah angkat yang melibatkan 10 buah sekolah terpilih di seluruh negara sejak 2003 sehingga kini, kata Pengerusi TM, Datuk Dr Halim Shafie.

Beliau berkata, projek itu bertujuan meningkatkan pencapaian pendidikan sekolah selain menyediakan kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang lebih baik dalam usaha merapatkan jurang digital. Katanya, projek  sekolah angkat bersama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPPK) ini adalah antara fokus tanggungjawab sosial korporat TM.

“TM memperuntukkan RM200,000 bagi setiap sekolah angkat berkenaan untuk tempoh tiga tahun,” katanya pada majlis graduasi projek sekolah angkat TM bersama KPKK yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D’Cruz di sini hari ini.

Majlis graduasi projek itu melibatkan dua buah sekolah di Negeri Sembilan iaitu Sekolah Menengah Rendah Agama Repah, Tampin dan Sekolah Kebangsaan Teriang, Kuala Klawang, Jelebu, yang terlibat dengan projek berkenaan sejak 2009.

Halim berkata, sepanjang tempoh tiga tahun itu, kedua-dua buah sekolah berkenaan menunjukkan kemajuan dan pencapaian yang memberangsangkan dalam keputusan akademik serta aktiviti kokurikulum.

Katanya, program ini bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan pencapaian akademik yang baik di kalangan pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah untuk memberi mereka peluang menikmati masa depan yang lebih baik.

“Program sekolah angkat TM merupakan program menyeluruh yang menggalakkan penglibatan ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya bagi menghadiri kursus ICT dan motivasi serta seminar keibubapaan agar lebih bersedia dalam mendidik anak-anak mereka,” katanya. – Bernama

Kementerian Pelajaran kaji semula panduan keselamatan – Bernama


Kementerian Pelajaran kaji semula panduan keselamatan

3 Mei 2012

 

MUAR – Kementerian Pelajaran akan meneliti semula garis panduan keselamatan sekolah di negara ini dalam usaha memperkukuhkan aspek keselamatan pelajar bukan sahaja di dalam kawasan tetapi juga luar kawasan sekolah.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet kementerian semalam dan memutuskan pekeliling keselamatan sedia ada ditambah baik untuk mempertingkat aspek keselamatan pelajar.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kes penculikan pelajar warga Belanda Nayati Shamelin Moodliar, 12 tahun pada 27 April ketika dalam perjalanan ke sekolah menyedarkan beliau dan kementerian mengenai aspek keselamatan pelajar bukan sahaja harus dititikberatkan di dalam kawasan sekolah tetapi juga di luar sekolah.
“Kita telah ada pekeliling (keselamatan) sekian lama… tetapi dengan perkembangan terbaru kita nak lihat balik bagaimana nak perkukuhkan keselamatan pelajar dengan penglibatan ibu bapa dan masyarakat dipertingkat,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Bola Sepak Berjaya Corp Bhd -7Eleven- dan Cosway Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan Junid di sini hari ini. – Bernama

RM600,000 untuk 20 sekolah – Sinar Harian


RM600,000 untuk 20 sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2012
RM600,000 untuk 20 sekolah

BATU PAHAT – Sebanyak RM­­600,000 diperuntukkan untuk membaik pulih dan menaik taraf 20 sekolah rendah dan menengah di Parlimen Batu Pahat pada tahun ini.

Peruntukan itu adalah untuk mem­­bina pelbagai kemudahan di sekolah yang terlibat bagi memberi lebih keselesaan kepada pelajar dan guru ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.

Ahli Parlimennya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, bagi 20 sekolah terbabit, setiap sekolah akan menerima peruntukan antara RM20,000 sehingga RM50,000.

Katanya, bagi melahirkan pelajar yang pintar, suasana persekolahan juga perlu lebih baik dan selesa, justeru peningkatan serta naik taraf kemudahan tertentu adalah perlu bagi tujuan berkenaan.

“Kita berharap dengan kemudahan yang lebih baik di sekolah, ianya akan membantu dalam memotivasikan pihak sekolah dan pelajar sekali gus meningkatkan pencapaian mereka.

“Oleh yang demikian, peranan pihak sekolah adalah perlu bagi meningkatkan mutu dan kemudahan yang ada di sekolah untuk sesi akademik dan juga kokurikulumnya.

“Kedua-duanya perlu bergerak seiring dan ini bakal melahirkan generasi akan datang yang lebih pintar tanpa meninggalkan kehidupan yang sihat dan aktif dengan kegiatan bukan akademik di sekolah,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Ta­hu­nan Persatuan Ibu Bapa dan

Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahru di Senggarang, dekat sini.

Dalam pada itu, Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pe­lajaran berkata, penglibatan ibu bapa dan komuniti amat penting dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar ke tahap yang lebih tinggi.

“Selain kurikulum di sekolah, kita ingin melihat kerjasama yang lebih erat antara ibu bapa dan ahli komuniti dalam membantu memantau keperluan pihak sekolah dan pelajar.

“Ibu bapa dan juga komuniti perlu memainkan peranan mereka untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dan jangan menyerahkan 100 peratus kepada pihak sekolah sahaja,” katanya.

Pada majlis sama, Mohd Puad turut merasmikan dewan baru SK Kampung Bahru dan menyampaikan sumbangan kepada murid-murid yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).