Kanak-kanak lapan tahun maut ditimpa dahan pokok – Bernama


Kanak-kanak lapan tahun maut ditimpa dahan pokok

12 November 2012

BALING – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut akibat kecederaan di bahu dan kepala selepas ditimpa dahan pokok di hadapan rumahnya di Kampung Keda Banggol Petai, Mukim Bogor, di sini, hari ini.

Mangsa, Nurhanis Abdul Rahman, meninggal dunia pada pukul 3 petang selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Menurut bapa kanak-kanak itu, Abdul Rahman Ismail, 42, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi semasa anaknya bersama dua lagi rakan sebayanya bermain di bawah sebatang pokok di hadapan rumahnya.

“Anak saya tercedera di bahu dan kepala serta pengsan sebaik ditimpa dahan yang reput lalu dikejarkan ke Hospital Daerah Baling (HDB).

“Dia kemudianya dipindahkan ke HSB untuk rawatan lanjut tetapi meninggal dunia,” katanya semasa dihubungi Bernama.

Beliau berkata dua rakan anaknya hanya mengalami kecederaan ringan.

Katanya semasa kejadian beliau tiada di rumah dan isterinya Faridah Che Nordin, 33, yang berada di rumah, segera menelefonnya mengenai kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Baling, Supt Mat Daud Md Hassan yang dihubungi mengesahkan kejadian itu. – Bernama

Biar mayat ibu terlantar busuk – Metro


Biar mayat ibu terlantar busuk
KLANG: Dipercayai kerana kesempitan wang, seorang remaja perempuan berumur 15 tahun bersama dua rakan sebayanya menjerut dan mencekik ibu angkatnya hingga mati ketika cuba merampas gelang emas dipakai wanita itu sebelum membiarkan mayat terbabit terlantar selama tiga hari di rumah mereka di Kapar, di sini.

Dalam kejadian Sabtu lalu itu, remaja terbabit bersama dua rakannya datang ke rumah dihuni ibu angkatnya itu untuk meminta wang, tetapi wanita terbabit enggan memberikannya.

Berikutan itu, remaja terbabit dan rakannya bergelut dengan mangsa hingga menjerut dan mencekik mangsa hingga pengsan sebelum meninggalkan rumah tanpa menyedari perbuatan mereka itu menyebabkan mangsa sesak nafas dan meninggal dunia.

Tiga hari selepas itu, remaja terbabit pulang semula ke rumah ibu angkatnya itu sebelum terkejut apabila menemui mayat ibunya itu dalam keadaan sudah mereput dan berbau busuk.
Panik dengan penemuan itu, remaja terbabit membuat laporan polis kononnya dia menemui mayat ibunya dalam rumah dan tidak tahu apa yang berlaku.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/20