Jangan simpan pekerja malas – Utusan


Jangan simpan pekerja malas

Oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 9 Sept. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan agensi dan jabatan kerajaan tidak ‘menyimpan’ penjawat awam yang dikatakan berdepan dengan masalah suka ponteng kerja.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, dianggarkan terdapat antara 15,000 hingga 18,000 kakitangan awam berdepan masalah tersebut dan mereka sukar dikenakan tindakan berdasarkan peraturan sedia ada.

Menurutnya, walaupun jumlah mereka kecil berbanding sejumlah lebih 1.2 juta penjawat awam, tindakan pekerja terbabit yang datang bekerja dan punch cardtetapi bersikap ‘sekejap ada, sekejap tidak ada’ boleh mendatangkan masalah kepada majikan.

Justeru, katanya, tindakan perlu diambil terhadap pekerja terbabit bagi memastikan sektor awam yang kini dalam proses transformasi dan penambahbaikan dapat memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada rakyat.

“Kita tidak mahu buang mereka secara drastik kerana nanti teraniaya pula sebab mereka sudah mempunyai keluarga dan ada hutang. Jadi, kalau boleh dipanggil, hantar kursus motivasi. Kalau tidak boleh juga, dicadang suruh dia bersara awal.

“Jika degil dan tidak mahu juga serta melakukan kesalahan yang sama sampai jabatan pun susah, elok dia dikenakan tindakan tatatertib,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Pembantu Pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan sambutan Aidilfitri di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengurus Besar KADA, Ibrahim Mat.

Menurut Omar, semua pihak mahu penjawat awam yang efisien kerana hanya dengan itu kehadiran mereka dapat dirasai dan diperlukan lebih-lebih lagi tempoh perkhidmatan telah dilanjutkan sehingga usia 60 tahun.

“CUEPACS juga tidak mahu dituduh bersubahat dengan orang seperti itu,” katanya

Beliau berkata, sikap dan masalah kakitangan tersebut sebenarnya boleh diatasi dengan menghantar mereka berkursus, namun apa yang berlaku ialah pihak majikan kerap bersikap tidak ambil kisah terhadap pekerja terbabit.

Sehubungan itu, katanya, dalam ‘roadshow’ CUEPACS, pihaknya telah meminta jabatan dan agensi kerajaan supaya jangan menyimpan penjawat awam seperti itu.

Dalam pada itu, Omar memberitahu, tidak ada penjawat awam yang dilaporkan terlibat dalam tindakan memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengibarkan bendera selain Jalur Gemilang semasa Himpunan Janji Bersih pada malam 30 Ogos lalu.

Sekolah Seri Puteri juara pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri ke-39 – Bernama


Sekolah Seri Puteri juara pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri ke-39

8 September 2012

PUTRAJAYA – Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya hari ini dinobatkan sebagai juara Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-39 antara sekolah berasrama penuh (SBP) kategori Bahasa Melayu, yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Kategori Bahasa Inggeris pula dimenangi oleh Sekolah Dato’ Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan.

Kedua-dua sekolah menerima hadiah wang tunai RM4,000 bersama piala pusingan dan sijil penyertaan.

Muhammad Luqman Sufyan Junaidi dan Abdurrazaq Hazrin Fazail, kedua-duanya dari Sekolah Dato’ Abdul Razak, masing-masing dipilih sebagai pembahas terbaik Bahasa Melayu dan Inggeris serta membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 bersama piala iringan.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan Pemangku Pengurus Besar Kanan (Operasi Perbankan) Bank Rakyat Mustafha Abdul Razak.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata kepetahan bertutur dengan kemampuan melahirkan idea bernas secara spontan amat diperlukan terutama untuk menjadi pemimpin yang berwibawa.

Beliau berkata pemikiran yang kreatif dan kritis juga amat diperlukan dewasa ini, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat berinovasi dan berfikiran kritis.

“Seharusnya aktiviti seperti ini menjadi satu cara bagi murid mengasah pemikiran mereka. Bakat seperti ini harus dikembangkan supaya ia menjadi aset kepada negara dan berguna kepada masyarakat,” katanya. – Bernama

Guna murid sekolah, OKU jual mercun – Sinar Harian


Guna murid sekolah, OKU jual mercun
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Ogos 2012

Jamshah (kanan) bersama Dahlan dan Pengurus Besar Ulek Beach Resort, Nizam Ahmad (dua dari kanan) menyertai program pencegahan jenayah ‘kesejahteraan komuniti tanggungjawab bers
DUNGUN – Polis Terengganu mengesan terdapat aktiviti penjualan mercun secara haram melibatkan murid sekolah yang dijadikan orang tengah untuk memasarkan bahan terlarang itu.

Ketua Polis Negeri, Senior Assistan Kommisioner Datuk Jamshah Mustapa berkata, terbaru, pihaknya turut mengesan strategi dilakukan orang tengah dengan orang kurang upaya (OKU) serta murid sekolah untuk menjual mercun di lokasi tertentu.

Beliau berkata, taktik terbabit dilakukan sebagai salah satu cara peniaga mengaburi pihak berkuasa kerana ia akan mengubah tanggapan bahawa kanak-kanak biasannya tidak terlibat dengan aktiviti penjualan mercun secara haram sebaliknya mercun hanya dijadikan satu barang mainan.

Sehubungan itu, Jamshah berkata, pihaknya sedang melakukan pemerhatian terhadap aktiviti tidak bertanggungjawab itu dan meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya aktiviti berkenaan wujud di persekitaran mereka.

“Kalau boleh kita hendak hentikan pembekal sebab sekiranya tiada pembekal, bekalan mercun memang tidak akan wujud.

“Hendak sekat bukan sesuatu yang mudah kerana keuntungannya tinggi, harga berlipat kali ganda. Oleh itu, kita perlu kerjasama orang ramai untuk membanteras perkara ini,” katanya ketika menyertai kempen pencegahan jenayah di sini, petang kelmarin.

Pada program berkenaan, Jamshah bersama pegawainya mengedarkan bubur lambuk secara percuma kepada pengguna jalan raya tajaan Ulek Beach Resort.
Menurutnya, setakat ini, dua tangkapan telah dibuat berhubung penjualan mercun secara haram dan semuanya hasil maklumat orang awam.

Kejohanan Golf Kanak-Kanak Sedunia pertama di Asia – Sinar Harian


Kejohanan Golf Kanak-Kanak Sedunia pertama di Asia

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Mei 2012
Logo Kejohanan Golf Kanak-Kanak Sedunia
Leow (tengah) bersama Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anuar Mohd
Nor (kiri) dan Pengurus Besar Acara-acara Antarabangsa MyCEB,
Tony Nagamaiah di majlis pelancaran kejohanan

MALAYSIA buat julung kalinya menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Golf Kanak-Kanak Sedunia 2012 pada Disember ini dengan persetujuan daripada Persatuan Golf Malaysia (MGA).

Bakal berlangsung di Saujana Golf and Country Club dan Glenmarie Golf and Country Club, kejohanan ini dilihat mampu menjadi landasan tepat untuk melahirkan pemain golf muda melalui melalui latihan dan pertandingan.

Pengurus Besar, Bahagian Golf, Royal Sporting House (Malaysia) Sdn Bhd, David Leow berkata, Kejohanan yang diusahakan oleh US Kids Golf Foundation sejak 2001 ini turut bermatlamat utama untuk membantu kanak-kanak mempelajari asas permainan golf, di samping menggalakkan interaksi di antara ahli keluarga.

“Malaysia mempunyai komuniti golf yang agak besar dan kami berharap de­ngan usaha positif ini, ia dapat memberikan aspirasi kepada generasi muda dalam usaha melahirkan pemain golf yang berjaya di arena antarabangsa,” katanya yang berharap kejohanan ini dapat mengubah persepsi bahawa golf bukan lagi permainan eksklusif golongan elit.

Diadakan buat pertama kalinya di Asia, kejohanan selama 5 hari bermula 3 hingga 7 Disember bagi kategori kejuaraan individu, turut menawarkan kedudukan ranking dunia bagi kategori amatur kanak-kanak berumur 5 hingga 18 tahun.

Sekretariat Malaysia Prihatin kenal pasti rakyat perlu bantuan – Berita Harian


Sekretariat Malaysia Prihatin kenal pasti rakyat perlu bantuan

2012/05/01

USAHA mewujudkan peluang pendidikan kepada remaja yang pencapaian akademik rendah adalah antara lima objektif utama Sekretariat Malaysia Prihatin dalam usaha membantu masyarakat mendapat pendidikan sempurna mengikut kemampuan dan kecenderungan masing-masing.

Pengurus besar sekretariatnya, Noraini Nordin, berkata inisiatif itu diharap dapat menyemai budaya masyarakat prihatin dan semangat sukarelawan dalam segenap lapisan masyarakat.

Usaha itu juga katanya, dapat meningkatkan taraf hidup dan menggalakkan semangat serta kesungguhan masyarakat untuk terus gigih berusaha seterusnya mengubah nasib keluarga kepada yang lebih baik.

“Program yang diatur adalah untuk memudahkan masyarakat mendapat manfaat daripada aktiviti disediakan agensi kerajaan tanpa menempuh pelbagai kerenah birokrasi.

“Sekretariat bertindak sebagai jawatankuasa bagi mengenal pasti rakyat yang layak mendapat bantuan dan manfaat daripada sesuatu program kerajaan untuk dikemukakan kementerian atau agensi berkaitan,” katanya pada program Skor A PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Tok Labu, Penaga di sini, baru-baru ini.

Seramai 250 calon PMR di sekitar Parlimen Kepala Batas menghadiri seminar dua hari anjuran Unit Pendidikan Berita Harian.

Seminar dipenuhi dengan enam siri ceramah bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Kemahiran Hidup dan Sejarah.
Pada majlis itu juga, Noraini menyampaikan 50 kampit beras kepada keluarga pelajar miskin sebagai usaha meringankan beban mereka. Pengetua SMK Permatang Tok Labu, Mohamad Abdul Samad menerima bantuan itu bagi pihak keluarga pelajar.

Noraini berkata, pelajar yang berada dalam golongan pencapaian akademik rendah, kurang berkemampuan, tetapi mempunyai daya usaha dan keinginan untuk berjaya diberi keutamaan menyertai program Skor A PMR ini.

Pelajar jadi renjer cegah pembiakan nyamuk aedes – Berita Harian


Pelajar jadi renjer cegah pembiakan nyamuk aedes
Oleh Nor Azma Laila
norazma@bharian.com.my
2012/02/06

PELAJAR menunjukkan isyarat antiaedes dalam majlis perasmian Pertandingan Renjer Antiaedes
yang dianjurkan syarikat S.C. Johnson & Son (M) Sdn Bhd.

PELAJAR menunjukkan isyarat antiaedes dalam majlis perasmian Pertandingan Renjer Antiaedes yang dianjurkan syarikat S.C. Johnson & Son (M) Sdn Bhd.

Pertandingan babit 100 sekolah diperluas ke Pulau Pinang

PERTANDINGAN Renjer Anti-Aedes Antara Sekolah yang dimulakan pada 2009 kini diperluaskan ke Pulau Pinang dengan penambahan penyertaan sebanyak 20 pelajar bagi setiap sekolah yang mengambil bahagian.

Dianjurkan syarikat pengeluar produk pencuci kegunaan rumah, S.C. Johnson, pertandingan yang bermula 31 Januari hingga Jun ini akan membabitkan 2,000 pelajar sekolah menengah daripada 100 sekolah di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Pengurus Besar Kelompok Melayu S.C. Johnson & Son (M) Sdn Bhd, Ramon Daez, berkata pertandingan itu diperluaskan ke Pulau Pinang kerana mahu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya denggi berikutan negeri itu menduduki tangga kelima mencatat kes denggi paling tinggi.

“Selain itu, penganjuran program yang dulunya hanya terhad kepada 10 peserta setiap sekolah diharap dapat memberi pendidikan kepada generasi muda dan masyarakat mengenai bahaya denggi dan cara mencegah penularan penyakit berkenaan.

“Bagi pertandingan ini, peserta dikehendaki melaksanakan misi ‘mencari dan menasihati’ isi rumah di kawasan kejiranan mereka mengenai bahaya denggi serta berkongsi cara untuk menangani pembiakan nyamuk aedes melalui kunjungan dari rumah ke rumah dengan ditemani guru mereka.

“Tahun ini, kita mensasarkan sebanyak 120,000 rumah untuk dikunjungi. Kami yakin sasaran ini berjaya dicapai menerusi usaha, dedikasi dan sokongan semua peserta,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pertandingan berkenaan, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman, dekat sini, baru-baru ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman. Hadir sama, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Abu Omar Mos dan Pengetua SMK (P) Sri Aman, Datin Noorul-Aini Ambok.

Sempena perasmian pertandingan itu, satu taklimat mengenai penjagaan kebersihan rumah, bahaya aedes dan denggi turut diadakan bagi memberi maklumat kepada pelajar.

Sekolah yang dipilih sebagai pemenang utama berdasarkan bilangan paling banyak rumah yang dikunjungi dan diperiksa selain kebersihan sekolah itu sendiri, bakal membawa pulang hadiah utama RM10,000 manakala pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga di peringkat daerah juga bakal menerima hadiah wang tunai dan hamper.

Sementara itu, Noorul-Aini berkata, pertandingan berkenaan sangat bermanfaat kepada pelajar sekolah kerana mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai cara untuk mencegah pembiakan nyamuk aedes.

“Ini adalah kali kedua SMK (P) Sri Aman mengambil bahagian dalam pertandingan Renjer Anti-Aedes Antara Sekolah yang mana pembabitan pertama adalah pada 2009.

“Saya yakin renjer dari sekolah ini akan dapat menjalankan tugas mereka dengan baik untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya demam denggi dan aedes,” katanya.

Pelajar Tingkatan Dua, Siti Sarah Azhar, berkata maklumat yang diperoleh melalui taklimat yang diadakan akan dikongsi dengan ahli keluarga dan mempraktikkan langkah kebersihan lebih efektif di rumah bagi mengelakkan berlakunya pembiakan nyamuk aedes.

“Program ini sangat bermanfaat dan diharap dapat meningkat kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan sekali gus mampu mengurangkan pembiakan nyamuk aedes yang menjadi faktor utama penyakit berkenaan,” katanya.