Klinik UPSR Tabung Haji dilengkapi elemen motivasi – Berita Harian


Klinik UPSR Tabung Haji dilengkapi elemen motivasi

Oleh Rosdi Ismail
rosdi@bharian.com.my
2012/05/07

PROGRAM bimbingan peperiksaan, Klinik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tajaan Tabung Haji menerusi Kelab TaHa dapat menambah keyakinan murid untuk menduduki UPSR.

Pengarah Tabung Haji Perak, Mohamad Hamdan Omar, berkata klinik itu yang menyelitkan elemen motivasi mengubah sikap murid supaya lebih gigih bagi mencapai kejayaan dalam UPSR.

Menurutnya, berpandukan modul kertas kerja yang menyediakan latihan dan soalan aras UPSR sebenar, calon mendapat gambaran awal mengenai bentuk soalan yang bakal mereka jawab.

Selain itu, beliau berkata, penggunaan kertas kerja sepanjang klinik berlangsung menambah keyakinan murid membuat persediaan menghadapi peperiksaan selain memperbaiki kelemahan diri.

“Program anjuran Unit Pendidikan Berita Harian itu memberi manfaat kepada peserta supaya lebih bersedia menghadapi peperiksaan,” katanya ketika berucap ketika merasmikan Seminar Bimbingan Peperiksaan Klinik UPSR peringkat Perak di Kolej Matrikulasi, di Gopeng, Perak, baru-baru ini.

Seramai 300 calon UPSR sekitar daerah Kinta menghadiri klinik sehari itu. Turut hadir, Pengurus Pemasaran Tabung Haji Perak, Ahmad Tazli Abdul Aziz dan penolongnya, Zamri Omar.