Sekolah risiko litar pintas – Sinar Harian


Sekolah risiko litar pintas
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Ogos 2013
  • Sekolah risiko litar pintasKeadaan bangunan lama asrama yang tidak boleh digunakan lagi.
< 1 / 1 >

JERANTUT – Pelajar dan guru Sekolah Menengah Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah (JPSHAS) Kuala Tahan, di sini, terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa berikutan bangunan sekolah tidak diselenggara.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) JPSHAS, Abdullah Manan berkata, masalah tersebut berlaku sejak tahun 2000 apabila keadaan beberapa bangunan sekolah yang mengalami kerosakan tidak diberi perhatian segera untuk dibaik pulih.

Menurutnya, JPSHAS sekolah yang menjadi kebanggaan penduduk Tembeling Tengah termasuk penduduk di Ulu Tembeling.

Katanya, disebabkan keadaan bangunan yang membahayakan, pelajar dan guru terpaksa sentiasa berhati-hati kerana pendawaian  elektrik di sekolah itu sudah tidak berfungsi dengan baik.

“Ada kalanya ketika sesi pembelajaran secara tiba-tiba bekalan elektrik terputus dan mengeluarkan bau hangit seperti terbakar.

“Kita bimbang, sekolah ini akan terbakar akibat pendawaian elektrik yang sudah tidak sempurna dan bila-bila masa sahaja boleh berlaku litar pintas,” katanya.

Abdullah berkata, bangunan lama asrama dan dewan makan sudah tidak boleh digunakan lagi kerana bumbung bangunan tersebut sudah reput.

Menurutnya, PIBG dan pengurusan koperasi sekolah bercadang menjadikan bangunan itu sebagai asrama desa iaitu penempatan kepada pelajar sekolah lain dan pelancong yang ingin datang ke Taman Negara kerana kedudukannya hanya dua kilometer ke kawasan rekreasi berkenaan.

“Sekiranya pengurusan koperasi sekolah dapat menjadikannya asrama desa, secara tidak langsung ia mampu memberi pendapatan sampingan kepada sekolah dan membolehkan pelbagai perancangan pembangunan dilaksanakan.

“Kita mahu lihat pelajar sekolah ini belajar dalam suasana kondusif dan dapat menumpukan perhatian mereka. Kita juga mahu lihat pelajar asrama di sini tinggal dengan lebih selesa dan berjaya dalam pelajaran,” katanya.