Peniaga didakwa cabul anak jiran – Sinar Harian


Peniaga didakwa cabul anak jiran

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 September 2012

AYER KEROH – Seorang peniaga makanan ringan mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan atas dakwaan mencabul seorang anak jirannya.

Hanafi Jojari, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif semalam.

Mengikut pertuduhan, Hanafi didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan cara memeluk, meraba punggung dan cuba membuka baju mangsa dengan niat mahu mencabul.

Perbuatan itu dilakukan di Bukit Rambai, kira-kira jam 4.30 petang pada 22 September lalu.

Hanafi dituduh di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan dipenjara maksima 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhamad Juhari Haron, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhamad Juhari memohon mahkamah mengenakan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Ida Rahayu membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin danĀ  menetapkan 31 Oktober depan tarikh sebutan semula kes.