CUEPACS tuntut kenaikan gaji RM700 – RM2500 – Utusan


CUEPACS tuntut kenaikan gaji RM700 – RM2500

PUTRAJAYA 22 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji 1.3 juta penjawat awam dari gred 1 hingga gred 54 antara RM700 hingga RM2,500.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan itu perlu dilaksanakan menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan gaji dibuat melalui skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Tuntutan tersebut membabitkan kenaikan gaji untuk gred 1 hingga gred 16 sebanyak RM700; gred 17 hingga gred 26 (RM1,000); gred 27 hingga gred 40 (RM1,500); gred 21 hingga gred gred 48 (RM1,800) dan gred 52 hingga gred 54 (RM2,500).

Omar berkata, kakitangan awam yang sudah mencapai gaji maksimum atau sudah mati gaji pula perlu dibayar selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan dan perlu dinaikkan gred.

”Sebagai contoh bagi mereka yang sudah lima tahun tidak naik gaji, jika gaji mereka dinaikkan RM100, kerajaan perlu bayar tunggakan RM500 selain kenaikan gred,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat petugas khas bersama Jabatan Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, CUEPACS turut menuntut agar kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam yang sudah lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) aras 4.

”Ramai yang lulus PTK aras 4 sebelum SBPA diperkenalkan tetapi apabila SSM ditukarkan ke SBPA ramai yang lulus itu tidak mendapat kenaikan gaji, apabila kami berbincang dalam pasukan khas ini dari segi perundangan kerajaan perlu bayar.

”Mereka mana tahu SBPA akan diperkenalkan, tidak adil untuk mereka yang sudah berkorban masa dan tenaga untuk lulus, tapi bila dah lulus tak nak bayar pula,” katanya.

Sehubungan itu, CUEPACS meminta mereka yang lulus sehingga 31 Disember 2011 dibayar tunggakan gaji sebelum kajian semakan SBPA diumumkan dan mahu JPA mengeluarkan surat pekeliling mengenainya.

Omar berkata, beliau yakin kerajaan akan bersetuju dengan lima tuntutan yang telah dikemukakan iaitu mengkaji semula pindaan gaji gred 54 ke bawah; mengkaji gaji penjawat awam mencapai gaji maksimum; mengkaji kekananan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA; mengkaji kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak penstrukturan semula semua gred penjawat awam.

”Kalau kerajaan merasakan ia melibatkan tuntutan yang tinggi, CUEPACS cadangkan mereka yang telah menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA iaitu Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Premier, gaji mereka dipotong untuk diberikan kepada mereka di gred 54 ke bawah.

”Kalau betullah kerajaan mahu rapatkan jurang maka tuntutan itu dirasakan wajar, apa yang kami lakukan ialah menuntut kesaksamaan dan terpulanglah kepada pasukan petugas khas ini untuk menilainya,” katanya.

Cuepacs tuntut naik gaji RM700-RM2,500 – Sinar Harian


Cuepacs tuntut naik gaji RM700-RM2,500

22 Februari 2012
Cuepacs

PUTRAJAYA – Di sebalik rasa tidak puas hati berkenaan dengan pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang sepatutnya dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu,  Cuepacs hari ini menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2,500 untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Pelaksanaan SBPA ditangguhkan sementara pasukan petugas khas selesai menjalankan semakan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan dibuat menerusi SBPA.

Dipetik Bernama, beliau berkata, tuntutan yang dikemukakan ialah untuk Gred 1 hingga 16 kenaikan sebanyak RM700, Gred 17 hingga Gred 26 (RM1,000), Gred 27 hingga Gred 40 (RM1,500), Gred 41 hingga Gred 48 (RM1,800) dan Gred 52 hingga Gred 54 (RM2,500).

“Misalnya bagi mereka yang berada di Gred 17, gaji semasa dalam SSM ialah RM820 perlu dinaikkan sebanyak RM1,000 kepada RM1,800,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas cadangan Cuepacs pada mesyuarat pasukan petugas semakan semula SBPA.

Omar turut mencadangkan agar mereka yang berada di tangga gaji tahap maksimum atau pada tangga gaji mati perlu dibayar tunggakan kenaikan tahunan selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan selain perlu dinaikkan gred.

“Misalnya bagi mereka yang sudah terhenti kenaikan gaji sejak lima tahun lepas, sekiranya kenaikan setahun mereka ialah RM100 jadi perlu dibayar tunggakan sebanyak RM500,” katanya.

Selain itu, Cuepacs turut menuntut mereka yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan pada Aras 4 sebelum Disember 2011 perlu diberi kenaikan gaji.

“Banyak aduan yang diterima apabila SBPA diperkenalkan mereka yang sudah lulus Aras 4 tidak diberi kenaikan gaji.  Ini tidak adil kerana bukan mudah untuk mendapat lulus Aras 4, terpaksa berkorban baca buku siang malam tapi bila dah lulus tidak dinaikkan gaji, sia-sia sahajalah usaha mereka,” katanya.
Omar berkata, tuntutan Cuepacs itu dirasakan sesuai memandangkan mereka yang di kedudukan atas daripada Gred 54 telahpun menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA.

“Kalau betul kerajaan berhasrat untuk merapatkan jurang antara pegawai rendah dengan atasan maka tuntutan itu adalah dirasakan wajar, apa yang Cuepacs lakukan ialah untuk menuntut kesaksamaan,” katanya.

Beliau berkata terpulang kepada pasukan petugas SBPA untuk menilainya dan jika merasakan tuntutan itu melibatkan kos yang tinggi, Cuepacs mencadangkan gaji kumpulan yang menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA dikurangkan dan disalurkan kepada gred bawahan.

“Jika tidak boleh juga… apa yang terkandung dalam SPBA sekarang perlu ditukar keseluruhannya dan digantikan dengan terma-terma yang baru,” katanya.

15,000 guru berijazah belum naik gred G41 – Berita Harian


15,000 guru berijazah belum naik gred G41
Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2012/02/13

Terpaksa tanggung beban bayaran pinjaman pendidikan

SEREMBAN: Kira-kira 15,000 guru lepasan ijazah di seluruh negara belum menerima kenaikan gred G41 walaupun sebahagian mereka sudah melepasi proses temu duga sejak dua tahun lalu, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng.

Beliau berkata, perkara itu menimbulkan ketidakpuasan hati kumpulan guru terbabit yang sanggup membuat pinjaman pendidikan atau mengeluarkan simpanan sendiri bagi menampung kos menyambung pelajaran sebelum ini.

Dengan jaminan kenaikan gred itu, mereka membuat keputusan berkenaan (menyambung pelajaran) dengan harapan dapat meningkatkan pendapatan. – Lok Yim Pheng, Setiausaha Agung NUTP

Katanya, berikutan penangguhan itu, sebahagian guru terbabit kini menanggung masalah kewangan termasuk untuk membayar semula pinjaman pendidikan kerana gaji diterima masih di takuk lama.

“Mereka membuat perancangan rapi terutama membabitkan soal kewangan sebelum mengambil keputusan menyambung pelajaran kerana kebanyakannya sudah berkeluarga dan mempunyai banyak komitmen.

“Dengan jaminan kenaikan gred itu, mereka membuat keputusan berkenaan (menyambung pelajaran) dengan harapan dapat meningkatkan pendapatan.

“Namun, proses kenaikan gred itu kini digantung dan kami tidak tahu sampai bila,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Yim Pheng berkata, sebelum ini, proses kenaikan gred selepas seseorang calon melepasi temu duga biasanya mengambil masa kurang setahun untuk berkuat kuasa tetapi penangguhan itu turut menjejaskan tempoh perkhidmatan bagi kenaikan pangkat.

Justeru, beliau berkata, pihaknya meminta Kementerian Pelajaran menyegerakan proses berkenaan kerana jumlah guru yang tamat pengajian ijazah semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Yim Pheng meminta Kementerian Pelajaran memberi peluang kepada guru yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) aras tiga dan empat yang layak menikmati anjakan gaji menikmatinya, walaupun tempoh sah penilaian itu tamat tahun ini berikutan pemansuhannya.

Beliau berkata, kebanyakan guru terbabit belum cukup syarat tempoh perkhidmatan dan hak mereka dinafikan kerana tempoh sah penilaian itu tamat sebelum mereka mencukupkan syarat berkenaan.

“Tidak adil bagi guru terbabit yang berusaha lulus PTK dan ketika menunggu masa untuk menikmati anjakan gaji, tiba-tiba kelulusan PTK mereka tidak boleh digunakan dan terpaksa menduduki penilaian baru,” katanya.