Tiga pelajar pitam dirotan – Berita Harian


Tiga pelajar pitam dirotan

2013/01/21 – 05:19:38 AMCetakEmel Kawan
Kuantan: Tiga pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di sini terpaksa menjalani rawatan dan ditahan semalaman di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas pitam kena rotan di kepala.

Mereka dirotan seorang guru lelaki sekolah berkenaan dalam kejadian Rabu lalu.

Nor Arina Syakirah Mazuki, Nor Aima Solehah Abdullah dan Nor Hidayah Asni masing-masing mendakwa dirotan guru berusia lingkungan 40 tahun berkenaan kira-kira jam 3 petang di sekolah mereka.

Akibat kejadian itu, mangsa yang pulang ke rumah mengadu pening kepala sebelum pitam seketika akibat kesan sebatan berkenaan sebelum dibawa keluarga ke HTAA untuk rawatan lanjut dan kemudian ditahan semalaman di wad.

Nor Arina berkata, pada hari berkenaan dia dan rakannya itu dipanggil seorang guru wanita ke pejabat untuk menyelesaikan kes perselisihan faham antara mereka dengan seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima yang berlaku sehari sebelumnya (Selasa).

Petang itu ada perhimpunan kokurikukum di dalam dewan. Bagaimanapun kami pergi ke pejabat selepas dipanggil untuk menyelesaikan kes berkenaan.

Sebaik masalah yang berlaku diselesaikan dan masing-masing sudah meminta maaf, secara tiba-tiba guru lelaki berkenaan muncul dan dengan tanpa usul periksa memukul kepala saya dengan rotan dibawanya sepanjang kira-kira satu meter sebanyak dua kali.
Nor Aima dan Nor Hidayah disebat sekali juga di kepala sebelum kami kemudian menangis kerana menahan kesakitan.

Namun, guru terbabit tidak pula menghukum pelajar perempuan Tingkatan Lima yang berada bersama di situ, katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, selepas dirotan mereka bertiga pulang ke rumah sambil menahan kesakitan sebelum menceritakan kejadian itu kepada ibu bapa.

Saya pening dan muntah manakala Nor Aima pitam serta Nor Hidayah juga mengalami apa yang saya rasa. Kami kemudian dibawa ke HTAA dan ditahan di wad, katanya.

Nor Arina berkata, ketika di wad, guru terbabit datang melawatnya dan dua lagi rakan sebelum menyerahkan wang RM250 kepada kami untuk dikongsi

Dia (guru lelaki) datang dalam waktu tengah hari, sebelum pulang dia beri kami RM250 untuk dikongsi bersama dan cakap itu bukan rasuah tapi untuk bayar bil hospital.
Selebihnya suruh kami buat belanja beli tudung dan makan, katanya.

Pelajar berkenaan berkata, keluarga mereka membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini berhubung tindakan guru terbabit kira-kira jam 6 petang sehari selepas kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner, Mohd Jasmani Yusof, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Pihak sekolah berkenaan pula bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan kejadian terbabit.

Ajal menjemput di riba ibu – Metro


Ajal menjemput di riba ibu

Oleh Anja Asmara
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PONTIAN: “Afiff baring di pangkuan saya dan kira-kira 15 minit kemudian, dia menghembuskan nafas terakhir,” kata ibunya, Russiah Ibrahim, 44, ketika ditemui di kediamannya di Taman Nong Chik, Batu 36, Jalan Johor, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi kelmarin, anaknya, Muhammad Afiff Faris Ahmad Seri, 15, meninggal dunia di pangkuannya ibunya selepas mengadu pening kepala.
Russiah berkata, Afiff sebelum itu baru saja selesai berwuduk dan mahu menunaikan solat Subuh.

 

“Afiff mengadu pening kepala dan saya terus meribanya. Saya kemudiannya mengurut dahi Afiff dengan minyak.
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati bibir, kuku tangan dan kakinya bertukar kebiruan. Saya terus mengusap dadanya, manakala Afiff seolah-olah tidur berdengkur sebelum nafasnya terhenti,” katanya.
Menurut Russiah, dia memanggil jiran sebelum menghubungi Hospital Pontian serta suaminya, Ahmad Seri Abu Bakar, 48, yang ketika itu bekerja di Tanjung Bin.

 

 

Katanya, pasukan perubatan yang tiba kemudiannya melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan Afiff sudah meninggal dunia.
Ahmad Seri pula berkata, Afiff yang juga pelajar pintar adalah anak ketiga daripada lima beradik dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Penggawa Barat (SMKDPB).

 

Afiff bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu depan.
Menurut Ahmad Seri, dia bergegas pulang ke rumah sejurus menerima panggilan telefon daripada isterinya pada jam 6.15 pagi.
“Tiba di rumah, Afiff sudah meninggal dunia. Saya reda di atas pemergian Afiff kerana Allah lebih menyayanginya.
“Afiff seorang yang rajin dan suka menolong ibunya memasak,” katanya.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03