Peningkatan jumlah pesakit mental di Malaysia selari ramalan WHO – Bernama


Peningkatan jumlah pesakit mental di Malaysia selari ramalan WHO

2011/11/12

KOTA KINABALU: Peningkatan jumlah pesakit mental di Malaysia kini dilihat selari dengan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa beban penyakit berkenaan akan meningkat 16 peratus menjelang 2020, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin hari ini.

Katanya, sebanyak 400,227 pesakit mental menjalani rawatan di hospital kerajaan sepanjang tahun lalu dan jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 15.6 peratus daripada tahun sebelumnya.

“Kita mengenal pasti salah satu jenis penyakit mental yang paling membimbangkan ialah kemurungan dan dijangka penyakit itu paling tinggi dihidapi oleh rakyat Malaysia selepas penyakit jantung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesihatan dan Kecergasan Rohani dan Jasmani di Hospital Queen Elizabeth di sini.

Rosnah juga berkata, Kementerian Kesihatan sedang memberi fokus kepada aktiviti mempromosi minda sihat dan penjagaan mental, termasuk pelaksanaan aktiviti menangani tekanan di kalangan pelajar selama enam bulan di beberapa sekolah.

Katanya, sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah St Michael di Penampang, Sabah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi (Seberang Perai, Pulau Pinang), SMK Simpang Bekoh (Jasin, Melaka), SM Sains Teluk Intan (Perak) MRSM Gemencheh (Negeri Sembilan) dan SMJK Katholik (Petaling Jaya).

Katanya, aktiviti yang dijalankan di sekolah berkenaan ialah meningkatkan kemahiran daya tindak pelajar untuk menangani tekanan dan turut membabitkan ibu bapa dan pihak sekolah.

Beliau berkata, aktiviti itu akan diperluaskan ke semua sekolah tidak lama lagi. – BERNAMA