Lahir pelajar bijak
London: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan minggu lalu, menerima maklum balas memberangsangkan serta menggalakkan daripada pelbagai pihak di dalam dan luar negara.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, banyak pihak menyuarakan keyakinan hala tuju serta peningkatan mutu pendidikan negara dalam tempoh masa yang ditetapkan dalam pelan itu.
Menurutnya, semua pihak yang terbabit secara langsung jelas ingin melihat kejayaannya dan tahap pencapaian lebih baik dalam pelbagai segi termasuk komitmen komuniti ibu bapa, tenaga pengajar, kepemimpinan sekolah dan pelajar.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, beliau gembira kerana dalam pertemuan dengan pemimpin industri di sini, dua hari lalu, wakil dari University of Redding dan beberapa universiti lain di United Kingdom (UK) yang mengambil bahagian memberi pandangan positif terhadap inisiatif kerajaan melancarkan PPPM.
“Mereka kagum dengan pelan ini dan ucap tahniah kerana kerajaan Malaysia mengambil inisiatif yang dijangka memberi faedah kepada pelajar menerusi sistem ini apabila masuk IPT nanti adalah pelajar berkualiti,” katanya dalam persidangan media bersama wartawan Malaysia pada hari keempat lawatan kerja lima hari beliau ke UK di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sini, semalam.
PPPM yang dilancarkan Muhyiddin, Jumaat lalu adalah rancangan pembangunan sistem pendidikan negara yang diperkasa dan dibangunkan secara berterusan yang dirangka berasaskan objektif khusus supaya Malaysia mampu berdaya saing di peringkat global di samping merangkumi pelan tindakan dan inisiatif utama transformasi keseluruhan sistem pendidikan negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, hasil gelombang pertama PPPM dapat dilihat menerusi pembentangan pencapaian sasarannya akhir tahun ini sebagai menyerlahkan ketelusan kerajaan di samping memaklumkan kejayaannya atau kelemahan yang perlu dibaiki.
“Pastinya gelombang pertama untuk lihat impak ketara mungkin tidak begitu mudah, tapi kami jangka dalam tahun berikutnya dapat lihat kesan (pencapaian) lebih ketara,” katanya. Merujuk kepada sasaran wajib lulus bahasa Inggeris sebagai syarat lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelang 2016, Muhyiddin berkata, beliau yakin ia boleh dicapai, selaras dengan pelbagai inisiatif kerajaan bagi memperkasa penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan guru bahasa itu.
Beliau berkata, langkah segera yang diambil menghantar 5,000 guru bahasa Inggeris menjalani latihan bagi meningkatkan kemahiran dan penguasaan dengan 9,000 guru lagi menyusul bulan depan. – BERNAMA
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/12