Dua beranak tahan bisa – Metro


Dua beranak tahan bisa

Oleh Cleo Will
hmkk@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TENOM: Dua beranak berdepan detik mencemaskan apabila terpaksa menahan bisa sengatan selama beberapa jam selepas diserang sekumpulan tebuan tanah atau Sulun di kebun mereka di Kampung Motolop, Pangi, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 10 pagi itu, mangsa, Soromon Tandon 48, dan anaknya, Ricky Naldo, 16, bernasib baik apabila kejadian menimpa mereka disedari beberapa penduduk kampung yang memberikan bantuan dengan segera.
Dua beranak itu kemudian diusung sejauh lima kilometer untuk ke stesen kereta api Pangi bagi mendapatkan rawatan di Hospital Tenom.

 

Bagaimanapun disebabkan jadual perjalanan kereta api yang terhad, kedua-dua beranak terpaksa dibawa menggunakan troli buatan sendiri menyusuri landasan berkenaan.
Sumber berkata, kedua-dua beranak itu bernasib baik apabila beberapa kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang kebetulan berada di stesen penjana elektrik hidro berhampiran, menyedari kejadian itu sebelum membawa mereka menggunakan kenderaan syarikat ke Hospital Tenom yang terletak kira-kira lima kilometer dari stesen berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan doktor mendapati Soromon disengat 36 kali, manakala anaknya turut mempunyai 31 kesan sengatan tebuan di seluruh badan.

 

 

Sementara itu, Soromon berkata, dia bersyukur kerana masih dapat diselamatkan kerana sebaik diserang sekumpulan tebuan, dia sudah tidak berdaya dan menjadi terlalu lemah.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kakitangan SESB yang sanggup menghantar saya ke hospital selepas ketiadaan perkhidmatan kereta api ketika itu,” katanya ketika ditemui di hospital, semalam.

 

Soromon yang juga Ketua Kampung Motolop berkata, jika tiada bantuan daripada penduduk kampung dan kakitangan SESB, kemungkinan dia dan anaknya sudah mati akibat serangan tebuan.
Menurutnya, keadaan cemas itu menunjukkan kawasan Pangi memerlukan sebuah klinik daerah yang mampu memberikan rawatan segera.
“Penduduk kawasan ini terpaksa menempuh perjalanan yang jauh untuk tiba di hospital bagi mendapatkan rawatan jika menghadapi kecemasan,” katanya yang masih lemah.
Sementara itu, pemimpin masyarakat Kampung Pangi-Rayoh, Udin Bangkiwoh ketika mengunjungi mangsa berkata, insiden itu mampu membuka mata pihak berkaitan mengenai keperluan pembinaan jalan raya menghubungkan Pangi dengan pekan berhampiran.
“Sekiranya tiada peruntukan, cukuplah sekadar membuka sebuah klinik kesihatan di kawasan ini.
“Penduduk sudah serik dengan kejadian kecemasan seperti ini dan sudah berulang kali meminta kerajaan memberi perhatian terhadap apa yang dihadapi penduduk,” katanya.
Katanya, isu berkenaan bukanlah satu perkara remeh, tetapi sangat serius dan membabitkan nyawa penduduk.