Nasib berbeza 5 rakan bunuh remaja – Sinar Harian


Nasib berbeza 5 rakan bunuh remaja

ROSILAWATI ROSEDI
24 April 2012
Tertuduh ketiga yang dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun menutup wajahnya sebaik keluar dari mahkama

KUANTAN – Lima sekawan menghadapi nasib berbeza apabila menerima hukuman masing-masing selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan pada seorang remaja sehingga mati pada Mei tahun lalu sehingga mati di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Tertuduh pertama, Mohd Salahuddin Shamsul, 20 dan tertuduh kedua, Mohd Masyadi Mohd Zainal, 21 hanya mampu menarik nafas lega selepas Hakim Datuk Mariana Yahya menetapkan hukuman penjara sembilan bulan berkuat kuasa dari kedua-duanya ditangkap iaitu pada 31 Mei 2011.

Sebelum ini, kedua-duanya berada dalam tahanan di Penjara Penor selama 10 bulan dan 23 hari.

Manakala tertuduh keempat dan kelima yang masing-masing berumur 17 dan 18 tahun dibebaskan dengan jaminan bon berkelakuan baik selama setahun dan dikenakan cagaran sebanyak RM1,000.

Namun kedua-duanya diminta melaporkan diri ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhampiran ditemani ibu bapa dan penjaga masing-masing pada minggu pertama setiap bulan selama setahun berkuat kuasa Mei depan.

Keempat-empat mereka menghadapi pertuduhan dan disabitkan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas si mati, Zulkifli Ali, 17 di Medan Pelancongan Benteng, Jalan Besar di sini pada 21 Mei tahun lalu kira-kira jam 1.30 pagi.

Kesemuanya disabitkan di bawah Seksyen 32 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh ketiga iaitu Mohd Zubaikhan Abdul Halim, 22 dari Sri Damai di sini pula menghadapi nasib berlainan berbanding rakan-rakannya dan terpaksa meringkuk di penjara selama 12 tahun selepas Mariana menetapkan keputusan tersebut selepas mendengar penggulungan hujah dan rayuan yang dikemukakan peguam belanya,Arifin Che Ali.

Sebelum itu, Arifin mengemukakan tertuduh hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM600 sebulan dan tinggal bersama ibunya yang juga seorang ibu tunggal yang hanya meniaga secara kecil-kecilan.

Menurutnya, tertuduh anak keempat daripada 12 adik-beradik dan ketika kejadian berlaku pada 21 Mei lalu, tertuduh berusia 21 tahun 2 bulan dan tidak menggunakan senjata terhadap mangsa.

Mariana menetapkan hukuman tersebut berkuat kuasa daripada tarikh Zubaikhan ditangkap iaitu pada 31 Mei tahun lalu.

Sebelum itu dalam kenyataannya, Mariana memberitahu, tertuduh dikira bernasib baik selepas pertuduhannya ditukar dari membunuh ke pertuduhan mematikan orang dengan salah.

Menurutnya, beliau mendengar rayuan itunamun hukuman tersebut dijalankan mengikut kepentingan awam kerana nyawa manusia tiada nilai.

“Perlakuan tertuduh telah menyebabkan kehilangan nyawa pada mangsa dan kehilangan untuk keluarga mangsa yang dijadikan harapan buat mereka.

“Kalau sudah hilang nyawa, saya tak tahu apa nak diganti dan saya memandang serius perkara ini,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Zubaikhan disabitkan menyebabkan kematian pada mangsa, Zulkifli Ali, 17 dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang menyebabkan kematian pada mangsa pada 21 Mei tahun lalu di Medan Pelancongan Benteng, Jalan Besar di sini kira-kira jam 1.30 pagi.

Tertuduh disabitkan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, kejadian bermula apabila si mati bersama rakannya berada di tempat kejadian untuk melihat orang memancing di lokasi tersebut.

Sebelum kejadian kawan si mati telah meminta mangsa menunggu kerana ingin membuang air dan sebaik keluar dari tandas, dia melihat si mati telah dipukul lebih kurang lima orang lelaki.

Rakannya ternampak tertuduh ketiga telah menghentak kepala si mati ke pintu besi kedai makan dan mangsa rebah ke lantai namun tertuduh terbabit masih lagi menyepak belakang badan dan kepala hingga si mati tidak sedarkan diri.

Selepas kumpulan lelaki itu beredar, mangsa dibawa ke hospital dan tidak sedarkan diri sehingga disahkan meninggal dunia pada 30 Mei tahun lalu.

Hasil pemeriksaan pakar patologi mendapati terdapat kesan retakan di tiga lokasi bahagian tengkorak kepala iaitu salah satunya di sebelah kiri depan tengkorak kepala berdekatan mata sebelah kiri dan pendarahan dalam kepala.

Selain itu terdapat juga kesan lebam pada paru-paru sebelah kanan dan paru-paru dan buah pinggang kedua-duanya tidak berfungsi dengan baik akibat komplikasi dari koma.

Tertuduh pertama, kedua dan keempat diwakili peguam bela, Bob Arumugam dan tertuduh kelima diwakili Azizan Abdullah. Manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad.

Upah seks ‘tutup mulut’ – Sinar Harian


Upah seks ‘tutup mulut’

M FEISAL NORAWI
28 Mac 2012
Tertuduh

TEMERLOH – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang bimbang rakaman aksi hubungan seks bersama kekasihnya disebar dalam internet terpaksa pula melayan nafsu rakan kekasihnya yang merakam aksi itu sebagai upah ‘tutup mulut’.

Dalam kejadian 28 Februari 2012, mangsa keluar bersiar-siar bersama kekasihnya berusia 18 tahun di kawasan air terjun Bukit Bertangga, Felda Kumai, Triang, Bera.

Mangsa kemudian diajak teman lelakinya melakukan hubungan seks dan dalam terpaksa mangsa menurutinya.

Tanpa mangsa sedari aksi hubungan seks itu dirakam seorang rakan mangsa berusia 19 tahun yang kemudiannya mengugut untuk menyebarkan rakaman tersebut.

Mangsa yang ketakutan akhirnya terpaksa pula melayan nafsu rakan kekasihnya sebagai upah tutup mulut.

Namun akibat ketakutan, mangsa akhirnya membuat laporan polis berhubung kejadian.

Susulan kejadian, dua remaja lelaki yang masih menganggur berdepan hukuman penjara sehingga dua puluh tahun dan sebat selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merogol gadis bawah umur.

Tertuduh Mohd Kamarul Zaman Muhamed 19 dan rakannya yang berusia 18 tahun, kedua-duanya dari Felda Kumai, Triang bakal berdepan hukuman tersebut selepas didakwa di mahkamah pagi semalam.

Kedua-dua remaja terbabit dituduh merogol seorang remaja perempuan berumur 15 tahun di kawasan air terjun Bukit Bertangga, Felda Kumai kira-kira jam empat petang 28 Februari lalu.

Kedua-dua mereka yang didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (1) mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali kemudian memutuskan kes disebut semula pada 25 April 2012 untuk mendengar keputusan dan kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin serta dihantar ke penjara Penor untuk ditahan.