Penjawat awam bertuah – Utusan


Penjawat awam bertuah

Mohd. Sidek Hassan (kiri) menyampaikan anugerah Felo Intan 2011 kepada Zulkurnain Awang di PICC, Putrajaya, semalam.

 

PUTRAJAYA 30 Nov. – Kerajaan Malaysia adalah yang terbaik di dunia kerana sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk membiayai program pendidikan para penjawat awamnya, kata penerima Anugerah Felo Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) 2011, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang.

Menurutnya yang juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, penjawat awam di negara ini amat bertuah kerana kerajaan sanggup menyediakan kursus latihan jangka panjang dan pendek dalam pelbagai bidang di dalam dan luar negara sama ada di peringkat sijil, diploma, sarjana dan doktor falsafah (PhD).

‘‘Penjawat awam bertuah kerana dihantar berkursus dalam program pengurusan tertinggi sama ada di negara maju mahu pun negara membangun seperti Netherlands, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat, Sri Lanka dan India.

‘‘Ini tidak termasuk biasiswa yang saya terima di peringkat sekolah sehingga ke universiti, ia melibatkan perbelanjaan kerajaan berjuta ringgit. Tanpa biasiswa, saya tidak mungkin mampu melepasi sekolah menengah seperti ramai rakan sedarjah dengan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan balas Anugerah Felo Intan 2011 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Anugerah disampaikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, Pengarah Intan Dr. Aminuddin Hassim dan bekas penerima Felo Intan, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Zulkurnain, 61, berkata, hakikat mengenai sikap keterbukaan kerajaan dalam membiayai pengajian penjawat awam dinyatakan sendiri oleh rakan-rakannya dalam perkhidmatan awam dari luar negara yang mengakui tidak ada kerajaan lain di dunia yang melaksanakan program latihan sedemikian.

‘‘Ini bukan kempen pilihan raya, terima kasih dan saya tidak ada rungutan ke atas layanan kerajaan kepada saya,” katanya.

Anak jati Kelantan ini menegaskan, penjawat awam perlu memegang tujuh prinsip untuk berjaya iaitu integriti yang tinggi, mewujudkan perimbangan dalam pelbagai pendekatan, keupayaan berfikir, pengolahan dan berkomunikasi, bersedia untuk terus belajar, rajin dan bersyukur serta sentiasa bersabar dalam menghadapi cabaran dan dugaan.

Zulkurnain merupakan bekas Pengarah Intan (1999), Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (2004-2006) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran (2006-2010).

Beliau melepasi sekolah menengah dan melanjutkan pengajian sehingga memperoleh PhD dalam bidang Sains Politik (Pembangunan) dari Leeds University, United Kingdom pada 1989 melalui biasiswa kerajaan.