Penjawat awam perlu teruskan momentum transformasi – Utusan


Penjawat awam perlu teruskan momentum transformasi

PUTRAJAYA 3 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan para penjawat awam agar memastikan momentum kejayaan agenda transformasi negara tidak diperlahankan atau terbantut di tengah jalan.

Beliau berkata, agenda transformasi bukan hanya telah menampakkan kejayaan yang membanggakan tetapi juga memperoleh pengiktirafan pelbagai pihak, termasuk dari luar negara.

“Dalam bulan Syawal ini, yang hendak cuti, sudah cuti, nak balik kampung, sudah balik kampung, bonus sudah dapat dan kenaikan gaji pun sudah dapat.

“Jadi sekarang ini kita mesti teruskan momentum itu sebab Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan semua program bawah Lautan Biru sudah menampakkan kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Najib, beliau yakin dan percaya jika agenda transformasi negara berjalan lancar dan memiliki strategi pelaksanaan yang berkesan, kesannya pasti akan dirasai oleh rakyat dan golongan sasar.

“Di sinilah peranan penjawat awam amat penting kerana strategi pelaksanaan itu mesti berkesan dan ikut jadual supaya ia dapat dirasai oleh rakyat dan golongan sasar kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dari segi indikator makro, suku kedua ekonomi negara berkembang pada kadar 5.4 peratus berbanding 4.9 peratus suku pertama tahun ini.

Malah, beliau menambah, Malaysia muncul sebagai pusat tawaran awam permulaan (IPO) ketiga terbesar dunia selepas Amerika dan China dan IPO kedua terbesar di dunia ialah Felda Global Ventures Holdings, manakala ketiga ialah IHH Healthcare.

“Media antarabangsa pula sejak kebelakangan ini membuat liputan semakin positif mengenai Malaysia,” katanya.

“Ini termasuk media yang sebelum ini amat kritikal mengecam negara kini dilihat beralih arah, dan mengakui bahawa banyak pembaharuan positif serta pembangunan sebenar sedang berlaku dalam negara,” katanya.

Najib berkata, aspek pendapatan per kapita dan kesejahteraan rakyat merupakan dua kriteria utama yang dijadikan kayu pengukur dalam menilai kejayaan model pembangunan negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, kedua-dua kriteria tersebut mempunyai hubung kait antara satu sama lain kerana jika salah satunya mengalami gangguan atau kekangan, maka keberkesanan model itu pasti terbantut.

“Kita cuba gubal model pembangunan negara ini secara bitara dan unik, kita tidak pinjam seratus peratus model (pembangunan) dari barat atau timur, tapi kita mesti punyai kemampuan untuk membangunkan model pembangunan sendiri yang sesuai untuk rakyat kita,” katanya.

Najib berkata, perarakan sempena Hari Kemerdekaan negara baru-baru ini yang turut menyaksikan pembabitan kepimpinan tinggi perkhidmatan awam negara termasuk Ketua Polis Negara serta Panglima Angkatan Tentera, amat bermakna.

Kata Perdana Menteri, kesanggupan kepimpinan tinggi perkhidmatan awam turun padang bersama rakyat, mengambil bahagian secara simbolik semasa melaungkan tema merakyatkan perkhidmatan awam, memberi isyarat jelas bahawa perkhidmatan itu sanggup bersama rakyat.

“Mereka juga memahami cita rasa rakyat dan sanggup berusaha gigih, jujur dan ikhlas, agar jangkaan rakyat dapat dipenuhi kerajaan,” katanya.