Cuepacs Harap PM Jelaskan Status Suruhanjaya Khas Semak Gaji Penjawat Awam – mStar


Cuepacs Harap PM Jelaskan Status Suruhanjaya Khas Semak Gaji Penjawat Awam

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat segera menjelaskan status penubuhan Suruhanjaya Khas bagi menyemak gaji penjawat awam.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata Cuepacs masih menantikan pelantikan anggota Suruhanjaya Khas itu, yang ditubuhkan selepas Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dibatalkan pada 8 Mac lepas. “Sempena sambutan Hari Pekerja 2012 di Taman Pameran Pertanian Malaysia di Serdang esok, Cuepacs berharap mendapat perkhabaran gembira daripada Perdana Menteri mengenai perkara itu. “Ini kerana penjawat awam dari kira-kira 23 agensi kerajaan yang berkaitan mula tertanya-tanya mengenai perkara tersebut termasuk soal gaji sektor masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Pekerja Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti IPTA Malaysia (GAKUM) di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di sini, hari ini.

Penubuhan suruhanjaya khas itu diumumkan Najib pada perjumpaan khas dengan penjawat awam di Putrajaya pada 8 Mac lepas dan beliau turut mengumumkan pelaksanaan semula Skim Saraan Malaysia (SSM) selepas pembatalan SBPA.

Dalam pada itu, Omar meminta penjawat awam melakukan transformasi minda selaras dengan pertukaran jawatan dan kenaikan gred gaji.

“Sebagai contoh, jawatan pembantu makmal di universiti awam kini ditukar nama kepada penolong pegawai sains selain menikmati kenaikan gaji. Oleh itu, mereka harus memberi komitmen yang tinggi dengan bekerja lebih gigih,” katanya.

Pertukaran nama jawatan dan kenaikan gred gaji itu telah pun dilaksanakan di lima universiti awam termasuk Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Sains Malaysia. –BERNAMA

CUEPACS mahu penjawat awam diberi borang baru – Berita Harian


CUEPACS mahu penjawat awam diberi borang baru

2012/01/11

SERDANG: CUEPACS menggesa semua ketua jabatan yang sebelum ini mendesak kakitangan menandatangani borang penerimaan tawaran Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), diberikan borang baru untuk ditandatangani semula.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata ia membabitkan kakitangan awam yang menandatangani skim berkenaan sebelum 30 Disember lalu yang kebanyakannya tidak diberikan penjelasan dan pemahaman jelas berhubung skim yang ditawarkan.

“Mereka yang dipaksa menandatangani borang tawaran tanpa tidak meneliti skim itu perlu diberikan borang baru dan menandatangani semula opsyen berkenaan. Sebelum ini, mereka diminta menandatanganinya secara terburu-buru dan tidak melihat skim serta diberikan formula kenaikan gaji yang tidak tepat.

“Jadi, kita minta ketua jabatan terbabit memberikan borang baru yang menyatakan dengan jelas lampiran skim kenaikan gaji dan gred (SPBA) supaya mereka boleh menandatangani semula kerana tempoh penerimaan skim dilanjutkan hingga 15 Januari ini ,” katanya selepas Majlis Transformasi dan Ikrar Integriti Pembantu Makmal dan Penolong Pegawai Sains Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), di Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.

Katanya, tindakan meminta kakitangan awam menandatangani tawaran tanpa mendapat maklumat jelas bukan saja tidak mengikut prosedur, malah ada kakitangan awam yang mendakwa ketua jabatan tidak faham serta tidak dapat memberikan penjelasan berhubung kemusykilan yang dikemukakan ketika sesi taklimat.

Beliau berkata, pihaknya mengakui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang bertungkus lumus membuat semakan semula skim berkenaan bagi memastikan semua pihak berpuas hati, namun meminta pihak berkenaan memberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan ia dilaksanakan dengan baik dan tidak merugikan mana-mana pihak.

Omar berkata, JPA memberikan tempoh tiga bulan sehingga 31 Mac ini bagi membuat semakan semula dan CUEPACS akan memberikan semula taklimat berkenaan penambahbaikan dan semakan itu sebaik disiapkan oleh JPA.
Sementara itu, CUEPACS turut meminta pengurusan lima IPTA penyelidikan, iaitu UPM, Universiti Malaysia (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) supaya menaik taraf jawatan Pembantu Makmal kepada Penolong Pegawai Sains bagi memastikan jawatan itu setanding dengan taraf universiti penyelidikan.

Katanya, jawatan Pembantu Makmal sudah tidak relevan dengan taraf universiti penyelidikan kerana ia tidak mencerminkan tahap IPTA berkenaan.

Beliau berkata, ketika ini ada kira-kira 700 daripada kira-kira 2,000 Pembantu Makmal yang masih belum dinaikkan taraf sebagai Penolong Pegawai Sains di IPTA berkenaan.