‘Saintis’ pencuri
Oleh Norasikin Daineh
norasikin@hmetro.com.my
KENINGAU: Minat terhadap mata pelajaran sains sesuatu yang positif, namun keadaan menjadi sebaliknya bagi seseorang pelajar apabila dia menjadikan bilik tidurnya seperti makmal mini menggunakan peralatan dipercayai dicuri dari makmal di sekolahnya.
Kegiatan pelajar berusia 16 tahun itu terbongkar selepas ibunya yang meninjau keadaan bilik anaknya menemui pelbagai jenis peralatan sains bernilai tinggi sebelum memaklumkan perkara itu kepada pengurusan sekolah.
Selepas pengurusan sekolah membuat laporan polis, pelajar itu bersama dua rakannya yang berusia 11 tahun, ditahan jam 10 malam kelmarin.
Pemeriksaan polis di dalam bilik pelajar berkenaan menemui mikroskop, penunu bunsen, tukul, ragum, balang gas dan model rangka arnab yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM3,500.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga pelajar itu memecah masuk makmal di sekolah mereka untuk melarikan barangan berkenaan.
Menurutnya, semua pelajar terbabit kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan semua peralatan makmal yang hilang berjaya ditemui.
“Tiga pelajar itu ditahan di Kampung Moloson dan seorang daripada mereka mengaku menyembunyikan barangan makmal yang mereka ambil di sekolah di rumahnya.
“Ketika soal siasat, ketiga-tiga mendakwa hanya mahu melakukan eksperimen sendiri,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/26