Sekolah di Pasir Gudang, Pontian, Kota Tinggi dibuka esok – Bernama


Sekolah di Pasir Gudang, Pontian, Kota Tinggi dibuka esok

 3  0 Google +0  0  0

JOHOR BAHRU: Sebanyak 300 buah sekolah di Kota Tinggi, Pontian dan Pasir Gudang yang diarahkan bercuti Jumaat lepas akan dibuka semula esok selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terbabit bertambah baik.

Pengarah Pelajaran negeri Mohd Nor A Ghani berkata pejabat pelajaran daerah dan pengurusan sekolah telah diminta memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga supaya 187, 590 pelajar terbabit kembali bersekolah seperti biasa.

Beliau turut menasihatkan pelajar khususnya yang mempunyai penyakit asma atau jantung agar memakai topeng hidung dan mulut.

Walaupun sesi persekolahan dibuka semula, aktiviti di luar kelas masih tidak dibenarkan, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya arahan bercuti bagi 117 sekolah di Kluang dan 175 sekolah di Batu Pahat yang membabitkan 134,872 masih belum ditarik balik.

Arahan tersebut turut dipanjangkan kepada 171 sekolah kebangsaan dan 40 sekolah menengah di daerah Muar dan Ledang membabitkan 76,400 pelajar serta 6,846 guru berikutan pengisytiharan darurat jerebu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/23

110 sekolah di Segamat diarah cuti esok – Bernama


110 sekolah di Segamat diarah cuti esok

 0  0 Google +0  0  0

JOHOR BAHRU: Sebanyak 110 buah sekolah rendah dan menengah di Segamat diarahkan bercuti esok selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah itu mencapai tahap berbahaya 400.

Pengarah Pelajaran negeri Mohd Nor A Ghani berkata arahan itu membabitkan 39,681 pelajar dan 3,418 guru. 

Arahan bercuti sejak Jumaat lalu bagi 117 sekolah di Kluang dan 175 sekolah di Batu Pahat yang membabitkan 134,872 pelajar masih belum ditarik balik, katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Arahan itu turut dipanjangkan kepada 171 sekolah kebangsaan dan 40 sekolah menengah di daerah Muar dan Ledang, membabitkan 76,400 pelajar serta 6,846 guru berikutan pengisytiharan darurat akibat jerebu di kawasan berkenaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata 300 sekolah di Kota Tinggi, Pontian dan Pasir Gudang yang diarahkan bercuti Jumaat lepas akan dibuka semula esok selepas IPU mencatatkan bacaan yang bertambah baik.

 

Pejabat pelajaran daerah dan sekolah sudah diarah memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa atau penjaga agar semua 187,590 pelajar berkenaan kembali ke sekolah esok. 

Bagaimanapun katanya aktiviti di luar kelas masih tidak dibenarkan sementara pelajar, terutama yang mempunyai penyakit asma dan jantung dinasihatkan memakai topeng hidung dan mulut. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/23

‘Saya janji kahwini mangsa’ – Metro


‘Saya janji kahwini mangsa’

 2  0 Google +0  0  0

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Melaka: “Awak biar betul, mangsa baru berusia 13 tahun. Takkan awak nak kahwin dengan remaja bawah umur?,” kata Hakim Ahmad Sazali Omar di Mahkamah Sesyen di sini, semalam ketika mendengar rayuan seorang pemuda yang didakwa atas empat tuduhan merogol remaja perempuan itu beberapa bulan lalu.

Terdahulu tertuduh, Muhammad Ashyraf Rahim, 23, dari Kampung Gedong Lalang, Bukit Rambai, mengangguk faham akan semua pertuduhan terhadapnya yang dibacakan jurubahasa mahkamah. Tertuduh kemudian membuat pengakuan tidak bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan itu dan mohon dibicarakan.
Mengikut dua pertuduhan awal, dia didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun 10 bulan di dalam stor belakang rumah di Kampung Gedong Lalang, Bukit Rambai, masing-masing jam 11 pagi dan 12 tengah hari pada 12 serta 23 Februari lalu.

 

Bagi dua pertuduhan berikutnya, dia didakwa turut merogol remaja itu di lokasi sama, kira-kira jam 8.30 pagi dan 9.30 pagi, 21 Mac serta 30 Mac lalu.
Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Maisarah Kamal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Ashyraf merayu mahkamah tidak mengenakan sebarang hukuman berikutan sudah berjanji dan bersetuju mengahwini remaja yang menjadi mangsa rogolnya itu.
“Saya sudah janji nak kahwin dengan dia (mangsa). Diharap pihak mahkamah dapat mempertimbangkan permohonan saya,” katanya.

 

Selain itu, dia turut merayu kos ikat jamin RM24,000 ditawarkan pendakwaan dikurangkan dengan alasan tidak berkemampuan dan hanya bekerja membantu ibu dan bapa berniaga, selain turut menghidap penyakit asma.
Ahmad Sazali membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Tumbukan ragut nyawa abang – Metro


Tumbukan ragut nyawa abang

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GEORGETOWN: “Walau apapun yang berlaku, saya tetap maafkan dia,” kata Nayati Man, 33, ibu Muhammad Asyraf Muhammad Shukri, 17, yang maut apabila ditumbuk adiknya selepas kedua-duanya bergaduh di rumah mereka di Kem Sungai Ara, Bayan Lepas, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, Asyraf yang menghidap penyakit asma sejak kecil ditumbuk adiknya hingga mulut berdarah dan tersembam.

Asyraf mengalami sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Ketika kejadian, menurut Nayati, dia berada di rumah dan anak sulungnya itu berbaring di sofa sambil menonton televisyen di ruang tamu manakala anak keduanya bermain permainan video di komputer riba.

 
“Anak bongsu saya yang berusia empat tahun menangis kerana mahukan mainan.

Namun, anak kedua saya mengusik adik perempuannya dan ini menimbulkan kemarahan Asyraf yang menegur perbuatan itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP), malam kelmarin.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03

Lelaki bersama anak tak pulang sejak 1 September – Metro


Lelaki bersama anak tak pulang sejak 1 September

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KAMPUNG GAJAH: Kehilangan dua beranak, Mohd Razali Bidin, 46, dan anak tunggalnya, Mohd Izani, 7, terus menimbulkan tanda tanya apabila mereka berdua tidak pulang ke rumah sejak 1 September lalu.

Mohd Razali yang menetap di Felcra Changkat Lada keluar rumah bersama anaknya itu menaiki motosikal pada petang 1 September lalu.
Namun, selepas 17 hari, kedua-dua mereka masih gagal dihubungi, malah usaha menjejaki mereka menerusi saudara terdekat mangsa gagal memperoleh maklumat.

 

Adik ipar Mohd Razali, Fariza Zubir, 30, ketika dihubungi semalam berkata, kali terakhir dia menemui abang iparnya ketika menziarahi keluarga mentuanya di Kampung Teluk Kepayang, pada pagi 1 September lalu.
Menurut Fariza, dia dimaklumkan kehilangan dua beranak itu dua hari kemudian oleh bapanya selepas mereka tidak pulang ke rumah selain gagal dijejaki terutama menerusi talian telefon.
“Saya tidak pasti kenapa mereka berdua menghilangkan diri, namun tidak menolak kemungkinan sedih selepas kakaknya yang juga isteri Mohd Razali, Che Om Abdullah, 46, meninggal dunia akibat penyakit asma pada 27 Ogos lalu.

 

 

“Mungkin mereka terlalu sedih dengan pemergian arwah kakak saya. Namun, lebih membimbangkan mereka menghilangkan diri tanpa pesanan,” katanya.
Katanya, dia juga bimbang kerana Mohd Izani tidak pergi ke sekolah hampir dua minggu.

 

“Selain itu, adik Mohd Razali yang menetap di Tambun, Ipoh sudah membuat laporan di Balai Polis Tambun,” katanya.
Sesiapa yang mempunyai maklumat dan terserempak dengan Mohd Razali dan anak lelakinya itu boleh menghubungi Fariza di talian 013-4657611 atau 013- 5949530.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17

Belajar semula – Metro


Belajar semula

Laporan dan foto SAFURI KAMARUDIN
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BALING: Pengorbanan dua beradik yang terpaksa berhenti bersekolah sejak setahun lalu bagi menyara keluarga dengan bekerja di kedai runcit, mendapat pembelaan selepas mereka bakal bersekolah semula bermula hari ini.

Fatin Irwayu Mustafa, 15, dan adik lelakinya, Mohd Musikmal, 14, kini menghela nafas panjang apabila dapat menyambung semula persekolahan selepas masalah mereka didengari Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Fatin berkata, selama ini dia terpaksa menyimpan hasrat belajar semula kerana kesempitan wang dialami keluarganya akibat masalah kesihatan bapanya, Mustafa Md Arof, 37, yang mengalami jangkitan paru-paru dan ketumbuhan di hempedu.

 

“Saya bersyukur dapat meneruskan persekolahan seperti rakan lain selepas hampir dua tahun tidak bersekolah kerana bapa saya diserang penyakit kronik dan tidak mampu bekerja.
“Mujur saya dapat meneruskan semula persekolahan selepas mendapat perhatian mereka yang prihatin,” katanya.
Fatin yang tinggal bersama keluarganya di Kampung Dalam Wang, Pulai berkata, dia dan Mohd Musikmal sebelum ini juga terpaksa melupakan cita-cita menjadi doktor kerana tidak dapat bersekolah.

 

 

“Saya dan adik bukan tidak mahu bersekolah tetapi keadaan tidak mengizinkan dan terpaksa membantu emak, Rosnita Ahmad, 34, mencari rezeki untuk keluarga sementara dua lagi adik saya masih meneruskan pelajaran di sekolah rendah.
“Emak hanya mengambil upah menoreh getah milik penduduk kampung dengan pendapatan hanya bergantung pada cuaca dan pada masa sama terpaksa menjaga bapa yang perlu mendapatkan rawatan di hospital,” katanya di sini, semalam.

 

Fatin berkata, bapanya menderita penyakit asma sejak 2005 dan mulai tempoh itu mereka empat beradik dan bapanya bergantung hidup kepada ibunya.
“Sebaik berhenti sekolah, saya bekerja sebagai pembantu kedai dan selepas itu adik (Mohd Musikmal) turut berhenti sekolah dan bekerja di kedai perabot bagi menampung pendapatan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Rosnita berkata, kedua-dua anaknya terpaksa berhenti sekolah kerana membantu keluarga, termasuk kos rawatan bapa mereka yang berulang alik ke hospital Baling dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
Beliau berkata, suaminya sering dimasukkan ke wad dan perlu dijaga sepenuh masa, menyebabkan segala urusan di rumah digalas Fatin, termasuk menguruskan persekolahan adiknya, Normazliana, 10, yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Wang dan Noraina Maisarah, 6, belajar di pra-sekolah.