Kaunselor sekolah perlu dalami ilmu cegah LGBT – Berita Harian


Kaunselor sekolah perlu dalami ilmu cegah LGBT

2012/10/17 – 07:05:17 AMCetakEmel Kawan
Kota Bharu: Kementerian Pelajaran bimbang kegagalan kaunselor di sekolah menangani kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) akan menyebabkan gejala itu menjadi satu penyakit dalam kalangan pelajar negara ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata walaupun tiada data tepat wujudnya LGBT di sekolah, tidak mustahil ia boleh menjadi isu membimbangkan, tambahan pula kegiatan itu mula mendapat sokongan pemimpin tertentu yang mempertahankannya seperti sokongan kepada sambutan Seksualiti Merdeka sebelum ini.

Cegah LGBT

Saya berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut membantu dengan menambah kaunselor bertauliah bagi menangani masalah ini,” – Dr Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran

“Saya minta kaunselor di sekolah mendalami ilmu pencegahan LGBT kerana keadaan di luar sekolah sudah menunjukkan peningkatan dalam kegiatan ini.
“Pihak sekolah menjadi landasan terbaik untuk mencegah melalui pendidikan,” katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan (Menangani isu LGBT) Peringkat Negeri Kelantan, di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Hussain Awang.

Seminar siri ke-14 ini dihadiri 1,800 peserta, manakala siri sebelum ini yang diadakan di seluruh negara sudah dihadiri 12,500 peserta.
Program sama bakal dianjurkan di Johor dan Negeri Sembilan dalam tempoh terdekat.

Beri perhatian

Puad berkata, gejala itu perlu diberi perhatian kerana selama ini negara lebih banyak menumpukan perhatian kepada isu berkaitan dadah, mat rempit, ponteng sekolah atau ragut, sedangkan LGBT juga perlu ditangani dengan tegas.

“Saya berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut membantu dengan memperbanyakkan kaunselor bertauliah bagi menangani masalah ini, manakala kerajaan pula berusaha melahirkan lebih ramai kaunselor bertauliah supaya mereka yang terjebak dalam gejala LGBT ada tempat mengadu atau mendapat rawatan sewajarnya tanpa rasa tersisih dan terus hanyut,” katanya.