Guru hina pasukan keselamatan tiada rekod sakit mental – Utusan


Guru hina pasukan keselamatan tiada rekod sakit mental

KOTA BHARU 20 Mac – Polis tidak menerima sebarang laporan atau pengesahan kesihatan bahawa seorang guru, Mohamad Lotfi Nor, 37, yang ditahan dan disiasat kerana menghina pasukan keselamatan melalui laman sosial Facebook miliknya mengalami masalah mental.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, sepanjang siasatan dijalankan, pihaknya tidak menerima laporan atau pengesahan kesihatan daripada doktor yang menyatakan guru terbabit mempunyai masalah mental sehingga mempengaruhi tindakannya mengeluarkan kata-kata penghinaan tersebut.

“Kami masih belum menerima apa-apa laporan doktor mengatakan beliau (Mohamad Lotfi) ada masalah penyakit jiwa atau masalah psikiatri,” katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi.

Jalaluddin berkata, suspek direman sehingga esok sementara polis menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum mendakwa guru berkenaan di mahkamah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130321/je_01/Guru-hina-pasukan-keselamatan-tiada-rekod-sakit-mental#ixzz2O9qqpTEV
© Utusan Melayu (M) Bhd

11% pelajar Kelantan ada masalah mental – pakar – Bernama


11% pelajar Kelantan ada masalah mental – pakar

09/08/2011 4:21pm

KOTA BHARU 9 Ogos – Antara 10 dan 11 peratus remaja khususnya pelajar di Kelantan menghadapi masalah mental dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini.

Ketua Jabatan Psikiatri HUSM Prof. Madya Dr. Mohd. Jamil Yaacob berkata, mereka ini, yang termasuk murid sekolah rendah, adalah antara lebih 700 pesakit yang menerima rawatan setiap bulan di klinik psikiatri hospital itu termasuk kes berulang.

“Ini adalah fenomena baru dalam masyarakat kesan tekanan hidup dalam kekeluargaan dan pelajaran di dunia yang semakin mencabar sekarang,” katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah HUSM Datuk Dr. Zaidun Kamari.

Mohd. Jamil berkata, kebanyakan pelajar yang menghadapi masalah mental itu adalah disebabkan faktor keturunan, masalah keluarga di rumah dan persekitaran sekolah.

Katanya, peningkatan jumlah pelajar yang menerima rawatan itu berikutan kesedaran orang ramai terhadap peranan dan tugas yang dimainkan oleh klinik psikiatri dalam menyelesaikan pelajar yang menghadapi masalah itu.

“Sebelum ini, ramai ibu bapa enggan datang ke klinik psikiatri kerana tidak sanggup menerima tanggapan negatif masyarakat yang menganggap mereka datang ke klinik berkenaan sebagai penghidap penyakit jiwa,” katanya. – Bernama