Lumpuh akibat demam kepialu – Sinar Harian


Lumpuh akibat demam kepialu

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 September 2012
Abdul Rahman lumpuh dan bergerak menggunakan kerusi roda sejak 38 tahun lalu akibat demam kepialu.
Abdul Rahman lumpuh dan bergerak menggunakan kerusi roda sejak 38 tahun lalu akibat demam kepialu.

MARANG – Menyayat hati. Demikianlah kisah hidup bekas guru, Abdul Rahman Ali, 66, yang lumpuh akibat serangan penyakit demam kepialu dan terpaksa berhenti kerja pada usia muda iaitu ketika berumur 22 tahun kesan akibat penyakitnya itu.

Abdul Rahman berkata, setahun sebelum itu dia adalah guru di sebuah sekolah rendah di Gua Musang, Kelantan pada awal 70-an, namun akibat kesan serangan penyakit itu dia terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja.

“Saya kemudiannya mengambil keputusan merantau ke Besut dan menumpang tinggal di rumah seorang rakan di Kampung Beris, Besut beberapa bulan sebelum Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membawa saya ke Taman Rahmat, Pulau Kerengga ini,” katanya.

Kini sudah 39 tahun Abdul Rahman tinggal di kawasan perumahan penduduk miskin itu dan dalam tempoh itu, dia meneruskan sisa-sisa kehidupannya seorang diri kerana tidak pernah berkahwin namun mempunyai saudara mara di daerah berkenaan.

“Saya di sini (Taman Rahmat) sejak berumur 27 tahun dan saya bersyukur. Malah, bernasib baik kerana tidak menghidap penyakit kronik yang lain. Saya juga bersyukur kerana menerima bantuan bulanan JKM sebanyak RM300 sebulan,” katanya.

Bagi Abdul Rahman, tinggal di penempatan orang kurang upaya (OKU) itu tiada bezanya berbanding tinggal di luar, malah mengakui kehidupannya lebih selesa kerana mempunyai ramai teman senasib untuk berkongsi cerita.

“Walaupun hidup miskin dan keadaan saya semakin terhimpit apabila barang keperluan di pasaran ketika ini semakin hari semakin mahal, tetapi ia tidak menghalang saya untuk menjalani kehidupan normal seperti insan lain di sini.

“Malah, saya bersyukur kerana cucu-cucu saudara tidak melupakan saya, mereka tinggal di daerah ini dan sering datang melawat. Terima kasih kerajaan kerana dapat menyediakan tempat seperti ini untuk insan miskin seperti kami,” katanya.

Pembedahan Nurul Fatihah ditangguh – Sinar Harian


Pembedahan Nurul Fatihah ditangguh
HASLINA KAMALUDIN
19 Jun 2012

3 beradik menghidap penyakit kronik dan memerlukan rawatan serta
penjagaan rapi perlu bantuan
SHAH ALAM – Pembedahan untuk membuang ketumbuhan di tulang leher adik Nurul Fatihah Zanery Adam, 8, yang di jadual pada minggu ini, terpaksa ditangguhkan sehingga keputusan pemeriksaan imbasan magnetik resonan (MRI) diperolehi.

Bapanya Zanery Adam berkata, pemeriksaan MRI yang dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) hanya akan diperoleh dalam tempoh dua minggu.

Menurutnya, anaknya terpaksa menjalani pemeriksaan tersebut sebanyak dua kali dan dibius sepenuhnya kerana terdapat pergerakan semasa ujian dijalankan.

“Mungkin dia tidak selesa ketika pemeriksaan tersebut. Alhamdulillah, sekarang kami hanya perlu menunggu keputusan sahaja. Harap-harap selepas itu, bolehlah dilakukan pembedahan segera.

“Cuma, dia tidak dibenarkan pulang walaupun pada awalnya doktor memberitahu anak saya boleh balik selepas MRI. “Menurut doktor, selepas MRI, kondisi anak saya kurang stabil dan perlu dipantau untuk beberapa hari lagi di sini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, Nurul Fatihah dinasihatkan untuk tidak melakukan aktiviti lasak kerana pada ketika ini tulang dan saraf- sarafnya terlalu sensitif. “Doktor yang merawat anak saya perlu berbincang dengan beberapa pakar di sini mengenai penyakit Nurul Fatihah.

“Doa kami hanya melihat anak bongsu saya sembuh daripada penyakit ini. Sedih melihat keadaannya, setiap kali memegang barang pasti akan terjatuh kerana dia semakin lemah,” katanya.

Nurul Fatihah yang menghidap kanser tulang perlu menjalani pembedahan segera apabila keadaannya semakin kronik apabila ketumbuhan di bahagian leher semakin membesar.

Ketumbuhan tersebut mengganggu urat saraf dari leher hingga menyebabkan tulang belakangnya juga semakin membengkak.

Jumlah terkini dana adalah sebanyak RM13,263. Mana-mana pihak yang prihatin dan berhasrat untuk menyumbang boleh hubungi 013-293 4837 atau menerusi akaun Maybank milik Adiana 162508103642 .

Belajar semula – Metro


Belajar semula

Laporan dan foto SAFURI KAMARUDIN
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BALING: Pengorbanan dua beradik yang terpaksa berhenti bersekolah sejak setahun lalu bagi menyara keluarga dengan bekerja di kedai runcit, mendapat pembelaan selepas mereka bakal bersekolah semula bermula hari ini.

Fatin Irwayu Mustafa, 15, dan adik lelakinya, Mohd Musikmal, 14, kini menghela nafas panjang apabila dapat menyambung semula persekolahan selepas masalah mereka didengari Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Fatin berkata, selama ini dia terpaksa menyimpan hasrat belajar semula kerana kesempitan wang dialami keluarganya akibat masalah kesihatan bapanya, Mustafa Md Arof, 37, yang mengalami jangkitan paru-paru dan ketumbuhan di hempedu.

 

“Saya bersyukur dapat meneruskan persekolahan seperti rakan lain selepas hampir dua tahun tidak bersekolah kerana bapa saya diserang penyakit kronik dan tidak mampu bekerja.
“Mujur saya dapat meneruskan semula persekolahan selepas mendapat perhatian mereka yang prihatin,” katanya.
Fatin yang tinggal bersama keluarganya di Kampung Dalam Wang, Pulai berkata, dia dan Mohd Musikmal sebelum ini juga terpaksa melupakan cita-cita menjadi doktor kerana tidak dapat bersekolah.

 

 

“Saya dan adik bukan tidak mahu bersekolah tetapi keadaan tidak mengizinkan dan terpaksa membantu emak, Rosnita Ahmad, 34, mencari rezeki untuk keluarga sementara dua lagi adik saya masih meneruskan pelajaran di sekolah rendah.
“Emak hanya mengambil upah menoreh getah milik penduduk kampung dengan pendapatan hanya bergantung pada cuaca dan pada masa sama terpaksa menjaga bapa yang perlu mendapatkan rawatan di hospital,” katanya di sini, semalam.

 

Fatin berkata, bapanya menderita penyakit asma sejak 2005 dan mulai tempoh itu mereka empat beradik dan bapanya bergantung hidup kepada ibunya.
“Sebaik berhenti sekolah, saya bekerja sebagai pembantu kedai dan selepas itu adik (Mohd Musikmal) turut berhenti sekolah dan bekerja di kedai perabot bagi menampung pendapatan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Rosnita berkata, kedua-dua anaknya terpaksa berhenti sekolah kerana membantu keluarga, termasuk kos rawatan bapa mereka yang berulang alik ke hospital Baling dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
Beliau berkata, suaminya sering dimasukkan ke wad dan perlu dijaga sepenuh masa, menyebabkan segala urusan di rumah digalas Fatin, termasuk menguruskan persekolahan adiknya, Normazliana, 10, yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Wang dan Noraina Maisarah, 6, belajar di pra-sekolah.