Derita anak – Metro


Derita anak

Oleh Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SAKIT KULIT...Rohimah menunjukkan tapak kaki Nurirmayanti.
SAKIT KULIT…Rohimah menunjukkan tapak kaki Nurirmayanti.

PASIR MAS: “Irma nak pergi sekolah…nak jumpa kawan-kawan,” kata seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang menderita penyakit kulit di seluruh badan hingga menyebabkan dia tercicir persekolahan sejak empat tahun lalu.

Jika dilihat sekali imbas, keadaan Nurirmayanti Semaun dari Kampung Kedondong, mirip ‘Orang Pokok’, Dede, 40, dari Cililin Kabupaten Bandung, Jawa Barat, Indonesia yang mendapat perhatian selepas kisahnya tersiar di dokumentari ‘My Shocking Story’ di saluran Discovery Channel, pada November 2007.

Bagaimanapun Dede menderita ketumbuhan ketuat seperti kulit kayu pada sebahagian besar tubuhnya, tetapi Nurirmayanti yang turut menghidap sindrom Down merintih kesakitan setiap hari apabila keadaan fizikalnya semakin teruk akibat kulitnya menggelupas dan ditumbuhi keruping, malah kakinya seperti ‘berakar’.

Dia yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Pendidikan Khas, Tendong terpaksa menangguhkan persekolahan dan kini dijaga ibunya, Rohimah Salleh, 51, setiap masa.

 
Apa yang merunsingkan ialah bapanya, Semaun Ismail, 59, hanya bekerja sebagai tukang kebun dengan berpendapatan tetap RM500 dan sebanyak RM200 digunakan untuk membeli ubat-ubatan anak bongsunya itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/23

Penyakit kulit Alif boleh sembuh – Kosmo


Penyakit kulit Alif boleh sembuh
Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
nadia.bahari@kosmo.com.my

KEADAAN Mohd. Alif Haikal yang menghidap penyakit kulit ekzema proriasis.

KUALA LUMPUR – Harapan keluarga Mohd. Alif Haikal Juhari, 6, yang menghidap penyakit kulit atau psoriasis untuk menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain mungkin menjadi kenyataan apabila teknologi terkini bagi merawat penyakit tersebut kini terdapat di Malaysia.

Pakar Kulit, Dr. Ko Chung Beng berkata, teknologi tersebut merupakan teknologi terkini dari Itali berasaskan rawatan cahaya atau laser yang dinamakan Alba 355.

“Pesakit yang menghidap penyakit psoriasis di keseluruhan badan perlu menjalani rawatan kira-kira enam hingga 10 kali sesi rawatan.

“Selepas dua hingga tiga minggu rawatan dijalankan, pengurangan tanda kemerahan pada kawasan yang dirawat akan menurun kira-kira 90 hingga 95 peratus,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Difahamkan, kaedah rawatan yang digunakan tiada kesan sampingan dan tidak menyakitkan pesakit.

Tulang bengkok – Metro


Tulang bengkok

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Dua remaja berusia 14 dan 16 tahun yang menderita penyakit tulang belakang bengkok atau skoliosis merayu simpati orang ramai bagi membiayai kos pembedahan memasukkan implan serta pemantauan saraf, masing-masing bernilai RM20,500.

Wasyth Massury, 16, yang sebelum ini ceria ke sekolah bertukar murung sejak disahkan doktor menghidap penyakit itu tahun lalu dan diarahkan menjalani pembedahan tulang belakang segera berikutan mempunyai kebengkokan tulang serius, mencecah 65 darjah.
Bapanya, Massury Othman, 43, berkata dia menyedari kewujudan lekuk kecil di bahagian belakang anaknya itu ketika Wasyth berumur 12 tahun.

 

“Ketika itu, dia menjalani kehidupan normal sebagaimana kanak-kanak seusianya sebelum berubah menjadi seorang yang pasif sejak tahun lalu,” katanya.
Pada awalnya, Massury berkata, dia dan isteri menyangka Wasyth mengalami penyakit kulit kerana enggan membuka baju di depan mereka mahupun ahli keluarga lain.
“Sehinggalah ibunya bertindak memaksa Wasyth membuka baju dipakai dan kami semua terkejut melihat tulang belakangnya bengkok,” katanya.

 

 

Bapa kepada dua anak itu merayu sumbangan orang ramai berikutan mengalami krisis kewangan teruk dan sudah disenaraihitamkan pihak bank.
“Saya ada meminta bantuan dari majikan dan mereka juga sudi membantu…bagaimanapun kami masih memerlukan sumbangan orang ramai berikutan keadaan anak yang semakin serius,” katanya.

 

Sementara itu, remaja perempuan, Lai Wing Ching, 14, berkata dia mula menyedari keadaan tulang belakangnya bengkok sejak berumur 11 tahun.
“Saya langsung tidak mengetahui perubahan yang berlaku pada bahagian belakang sehinggalah dimaklumkan seorang doktor yang kebetulan datang menjalankan pemeriksaan kesihatan di sekolah. Namun kerana faktor kewangan, saya terpaksa bersabar,” katanya.
Bapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Perdana itu, Lai Chee Kong berkata, dia sukar mengumpul wang yang banyak kerana hanya bekerja sebagai pemandu lori dan perlu menyara empat lagi anak yang masih bersekolah.
“Pakar dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sebelum ini memberitahu bahawa tahap kebengkokan tulang anak sudah mencecah 40 darjah.
“Dia perlu menjalani pembedahan Selasa depan dengan kos RM20,500,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian menerusi cek atas nama The New Straits Times Press (M) Bhd dan menulis di belakangnya nama pesakit serta menghantar ke Jabatan Kewangan/Unit Kebajikan NSTP, The New Straits Times Press (M) Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/10

Kelab Doktor Muda disaran sebagai program pendidikan kesihatan – Bernama


Kelab Doktor Muda disaran sebagai program pendidikan kesihatan

7 Julai 2012
PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini menyarankan Kementerian Pelajaran agar program Kelab Doktor Muda dilaksanakan sebagai program pendidikan kesihatan berterusan dan secara automatik di semua sekolah rendah di negara ini.

Liow berkata langkah itu penting kerana sehingga Jun lepas, hanya 1,500 sekolah menjayakan program itu dengan penglibatan 36,000 pelajar, berbanding 2,860,340 murid sekolah rendah daripada 7,714 sekolah di seluruh negara.

“Bilangan ini hanya 19 peratus daripada jumlah sekolah rendah di seluruh negara. Ia satu bilangan yang masih kecil,” katanya ketika merasmikan Sambutan Minggu Doktor Muda Peringkat Kebangsaan dan Karnival Jelajah Sihat Putrajaya 2012, di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Kawalan Penyakit Dr Chong Chee Kheong. Turut hadir Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pelajaran, Muhamat Roli Hasan yang mewakili Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Bermatlamat melahirkan murid yang mementingkan dan mengutamakan kesihatan, Kelab Doktor Muda merupakan program bagi murid sekolah tahun 4, 5 dan 6 yang terpilih dan terlatih sebagai pembimbing rakan sebaya yang bertindak sebagai pemangkin kepada perubahan pengetahuan, sikap dan amalan kesihatan yang positif dalam kalangan pelajar sekolah.

Katanya kewujudan kelab itu dilihat sebagai rasional memandangkan murid-murid kini berhadapan dengan pelbagai isu kesihatan yang serius antaranya obesiti, keracunan makanan, demam denggi, penyakit kulit dan masalah kutu.

“Kementerian Kesihatan menerusi Bahagian Pendidikan Kesihatan akan mengambil inisiatif melatih lebih ramai guru dan anggota kesihatan agar kerkemahiran dan terlatih dalam melaksanakan program ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kementerian pelajaran yang mewartakan Minggu Sihat Doktor Muda dari 1 hingga 7 Julai setiap tahun dalam kalendar pendidikan negara. – Bernama

‘Hidup kami lebih tenang’ – Metro


‘Hidup kami lebih tenang’

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Rusila Abdul Manaf
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SIK: “Hati saya lebih tenang mengikuti pengajian di sekolah ini,” kata pelajar Sekolah Pondok Atta’lim Wattarbiah, Bandar Hilir, Teloi Tua, di sini, Mohd Syukri Ramli, 14, yang menghidap penyakit kulit sejak kecil.

Mohd Syukri yang menderita penyakit itu berkata, biarpun diuji masalah kulit, dia reda dengan takdir Ilahi dan berazam meneruskan pengajian di sekolah itu bagi mendalami ilmu Islam.
“Saya tiada masalah belajar di sini kerana rakan memberi sokongan untuk terus hidup dan menambah ilmu yang diberkati Allah SWT,” kata pelajar Thanawi 1 berkenaan.

 

Mohd Syukri yang berasal dari Kampung Tembak B, Kuala Ketil berkata, kulit di seluruh anggota badannya kering dan menggelupas dan dia dimaklumkan doktor, penyakit itu akan sembuh apabila dia dewasa.
“Setiap kali cuti, ibu dan ayah akan membawa saya ke Hospital Baling untuk mendapatkan ubat sebagai bekalan di sini,” katanya yang berhajat menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir.
Katanya, sejak beberapa tahun menuntut di sekolah terbabit, dia mendalami ilmu hadis dan hafalan al-Quran serta mahu mempelajari ilmu tasawuf, fiqah dan nahu.

 

 

Pelajar lain, Kamilah Abdul Rahman, 19, yang mendiami sekolah itu sejak lima tahun lalu berkata, ketika berusia 14 tahun dia menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gulau, di sini, namun atas kehendaknya dia memilih belajar di sekolah pondok terbabit.
“Biarpun masyarakat di luar sana beranggapan belajar di sekolah pondok sukar mendapat pekerjaan, namun saya yakin rezeki itu datang daripada Allah,” kata pelajar Thanawi 4 itu.

 

Kamilah berkata, dia tidak menyesal selepas berhenti sekolah di peringkat menengah sebaliknya lebih gembira belajar di pondok kerana berpeluang menyelami ilmu agama. “Di pondok ini, saya hidup berdikari bersama rakan dan beramai-ramai menambah pengetahuan berkaitan ilmu akhirat selain tidak ketinggalan turut diajar pengetahuan akademik,” katanya.
Menurutnya, sebelum menjejakkan kaki ke sekolah pondok itu hidupnya tidak tenang, namun selepas itu segala-galanya berubah sejurus merasakan dirinya lebih diberkati Allah dan berazam bergelar ustazah.
Nurul Iman Zahari, 15, bekas pelajar tingkatan satu SMK Gulau pula berpindah ke sekolah terbabit kerana minat mendalam terhadap ilmu agama.
“Saya rasa bertuah dipilih menyambung pengajian di sini selain memantapkan diri dengan ilmu agama dan hidup berdikari,” katanya.
Menurut Nurul Iman, selepas tamat pengajian di sekolah itu dia mahu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bercita-cita menjadi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Belajar di pondok bukan penghalang berjaya dalam bidang lain. Ilmu yang dimiliki bekalan untuk saya lebih berjaya pada masa akan datang,” katanya.