Dua beradik derita talasemia – Sinar Harian


Dua beradik derita talasemia
ERMA YUSNIDA JUSOH
13 Ogos 2012

Wan Emril menyampaikan sumbangan kepada Ruziean dan Muhammad Azri pada program itu.
KUANTAN – Dua beradik di Taman Tas di sini melalui kehidupan tidak normal apabila terpaksa berulang alik ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi menjalani pemindahan darah ekoran penyakit talasemia yang dihidapi sejak kecil.

Talasemia adalah penyakit kelainan pada darah iaitu kegagalan tubuh membentuk hemoglobin yang normal menyebabkan kerosakan pada sel darah merah.

Ruziean Azyanti, 25, yang menghidap talasemia Major dan Muhammad Azri Zulkifli, 15, pula berada di tahap sederhana reda dan menerima keadaan diri masing-masing walaupun sukar untuk melakukan aktiviti harian kerana penyakit yang dihidapi mereka.

Bagi ibunya, Siti Fatimah Mamat, 43, anak keduanya itu menunjukkan perubahan fizikal dan sering sakit ketika usia empat bulan manakala anak bongsunya pada usia lapan bulan.

“Apabila keadaan Ruziean sering demam dan pucat, saya membawanya ke klinik dan selepas pemeriksaan doktor mengesahkan dia mengalami talasemia.

“Malah doktor juga meminta saya membuat pemeriksaan dan disahkan sebagai pembawa penyakit itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tas, sempena Jelajah Ramadan anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang dengan kerjasama Dewan Undangan Negeri (Dun) Panching.

Hadir sama, Presiden GPMS Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong, Setiausahanya, Nasrul Isyam Abd Hamid dan Yang Dipertua GPMS Paya Besar, Mohd Isharizal Sahak.

Siti Fatimah berkata, keadaan fizikal kedua-dua anaknya sedikit terbantut selain tidak mampu melakukan berat.

“Mereka akan cepat letih dan ada kalanya pitam sekiranya kekurangan darah, buat masa ini, kedua-duanya akan mendapatkan bekalan darah sebulan sekali di hospital dan jumlah bergantung pada keperluan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana mereka kuat menghadapi dugaan penyakit ini,” katanya.