SEMAKAN KEPUTUSAN PERMOHONAN PROGRAM DIPLOMA SISWAZAH DALAM PENYALAHGUNAAN DADAH / SARJANA KAUNSELING (PENYALAHGUNAAN DADAH) SESI 2013/2014


SEMAKAN KEPUTUSAN PERMOHONAN PROGRAM DIPLOMA SISWAZAH DALAM PENYALAHGUNAAN DADAH / SARJANA KAUNSELING (PENYALAHGUNAAN DADAH) SESI 2013/2014

16 August 2013

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

 

Tuan/Puan,

 

Semakan Keputusan Permohonan Program Diploma Siswazah Dalam Penyalahgunaan Dadah / Sarjana Kaunseling (Penyalahgunaan Dadah) Sesi 2013/2014

boleh dibuat dengan menghubungi pegawai berikut:

Bil Nama Pegawai No. Telefon
1 Encik Maswira bin Mahyiddin 03-83217158
2 Cik Shuhaidah binti Mohd Shorkapeli 03-83217156
3 Puan Nor Hazren binti Che Hassan 03-83217149
4 Puan Azizah binti Wahab 03-83217141

 

Sekian, terima kasih.

Remaja 13 tahun mengedar dadah – Sinar Harian


Remaja 13 tahun mengedar dadah

WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Disember 2012
Remaja 13 tahun mengedar dadah
Shahadan menunjukkan dadah yang dirampas selepas menahan tiga lelaki di sebuah rumah di Kampung Kelantan, Parit Perupuk, Selasa lalu.

MUAR – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun antara tiga yang ditahan kerana terbabit dalam kegiatan sindiket pengedaran dadah kecil-kecilan yang didalangi lelaki berusia 38 dan 53 tahun, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Shahadan Jaafar berkata, kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan anggota narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menyerbu sebuah rumah di Kampung Kelantan, Parit Perupuk di sini, kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM12,000 dijumpai dalam serbuan tersebut.

“Antara dadah yang dirampas ialah syabu seberat 4.4 gram (gm), heroin (20.9 gm) dan sebiji pil ectasy.  Bahan terlarang ini dipercayai boleh menampung keperluan 900 penagih.

“Remaja yang berasal dari Kajang, Selangor itu, sudah tidak bersekolah dan   didapati baru enam bulan terjebak dalam kegiatan ini selepas berkenalan dengan kedua-dua suspek,” katanya pada sidang media di IPD Muar di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika serbuan, kesemua suspek sedang leka membungkus dadah dalam bilik rumah berkenaan dan dipercayai untuk edaran sekitar daerah ini juga daerah berhampiran.

Kata Shahadan lagi, remaja terbabit termasuk dua lagi suspek yang berasal dari kampung berkenaan juga didapati positif dadah jenis heroin.

“Suspek berusia 53 tahun memiliki empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah sejak 1991, manakala suspek berusia 38 tahun pula mempunyai lima rekod jenayah lampau juga berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Kesemua suspek ditahan reman sehingga 28 Disember ini untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat saki baki ahli kumpulan yang masih bebas,” katanya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Rogol bergilir-gilir, empat remaja direman – Sinar Harian


Rogol bergilir-gilir, empat remaja direman

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 April 2012
Suspek direman 7 hari untuk siasatan.

BALING – Ketika golongan seusia mereka sibuk mengejar cita-cita untuk masa depan, lain pula berlaku terhadap empat remaja berusia antara 13 sehingga 18 tahun, di sini yang direman tujuh hari setelah dipercayai merogol seorang gadis 15 tahun di Pasar Awam Kuala Ketil kira-kira 2.30 pagi, pada 11 April lalu.

Difahamkan mangsa dirogol lebih daripada lima orang secara bergilir-gilir mengakibatkannya terpaksa dihantar ke Hospital untuk rawatan lanjut.

Terdapat dua suspek yang masih bebas dan salah seorangnya daripadanya dipercayai tinggal di Sungai Petani.

Menurut sumber, gadis berusia 15 tahun itu dibawa oleh salah seorang rakan mereka dari Sungai Petani sebelum dia dirogol beramai-ramai.

Seorang daripada suspek telah dibuang sekolah dan terlibat dalam pengawasan Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Bunuh 4 sekeluarga: Remaja, ibu ditahan bantu siasatan – Bernama


Bunuh 4 sekeluarga: Remaja, ibu ditahan bantu siasatan

06/01/2012 7:06pm

 

SIBU 6 Jan — Polis percaya telah dapat menyelesaikan kes bunuh empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak di Jalan RTM di sini dengan penahanan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dan ibunya yang berumur 44 tahun malam tadi.

Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Law Heng Soon berkata, remaja lelaki itu bekerja sebagai kelindan lori dan ibunya suri rumah dan mereka tinggal agak dekat dengan rumah mangsa.

“Saya gembira mengumumkan kami telah berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh empat hari selepas kejadian berlaku pada Isnin.

“Suspek dan ibunya kini berada dalam tahanan kami untuk kami mendapatkan lebih banyak maklumat untuk menyiapkan kertas siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis menahan ibu remaja itu kerana dipercayai dapat membantu dalam siasatan kes itu.

Heng Soon berkata, sebaik sahaja kertas siasatan siap, ia akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan.

Law menjelaskan, dengan penahanan dua beranak itu, isteri Ling yang merupakan warganegara China , Li Xiao Lan, 28, yang sebelum ini ditahan reman untuk siasatan selepas mengaku melarikan diri menerusi tingkap untuk pergi ke rumah jiran ketika kejadian, telah dibebaskan hari ini.

Mengenai sama ada remaja lelaki itu menghidapi masalah mental, beliau berkata, perkara itu sedang disiasat dan menurutnya remaja itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah mahupun penyalahgunaan dadah. — BERNAMA

Sanggup sepak ibu bapa nak dapat duit – Berita Harian


Sanggup sepak ibu bapa nak dapat duit
Oleh Yahya Awang

2011/08/08

PELATIH Sekolah Tunas Bakti  yang berjaya mengakhiri tempoh hukuman berikrar menjadi individu baik dan berguna.

PELATIH Sekolah Tunas Bakti yang berjaya mengakhiri tempoh hukuman berikrar menjadi individu baik dan berguna.

Pelatih Sekolah Tunas Bakti kini insaf, menyesal perbuatan lampau akibat ketagihan dadah

TAIPING: “Pernah saya sepak dan pukul kedua-dua ibu bapa saya hingga jatuh apabila mereka tidak berikan wang yang saya minta. Kini saya menyesal atas perbuatan itu dan insaf termasuk tidak mahu lagi menagih dadah,” kata seorang pelatih Sekolah Tunas Bakti (STB), di sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Ham, 17.

Remaja berasal dari Pendang, Kedah itu yang baru beberapa bulan dimasukkan ke STB atas kesalahan penyalahgunaan dadah berkata, beliau sedih mengenangkan perbuatannya termasuk menengking dan memarahi ibu bapanya yang kini berusia 50-an apabila tidak memberi wang diminta untuk membeli heroin kerana orang tuanya hanya penoreh getah.

“Apabila saya naik berang saya menolak dan memukul mereka. Maki hamun pula sudah tidak terkira,” katanya ketika ditemui di STB.

Menceritakan pembabitannya dalam ketagihan dadah, anak bongsu dari enam beradik itu berkata ia berpunca pergaulan dengan rakan.

Katanya, pada mulanya beliau hanya menghabiskan RM10 hingga RM15 sehari hasil wang torehan getah orang tuanya untuk membeli dadah tetapi lama-kelamaan dia terjebak pula dalam ketagihan heroin yang memerlukan RM100 hingga RM200 sehari.

“Untuk mendapatkan wang itu, saya menipu ibu bapa dengan meminta RM300 dengan alasan mahu membeli seluar berjenama mahal tetapi apabila memperoleh wang itu, saya hanya membeli seluar yang murah dan wang selebihnya digunakan untuk membeli dadah.

“Saya berjaya mendapatkan wang itu beberapa kali hingga akhirnya kedua orang tua saya tidak lagi dapat memenuhi permintaan itu menyebabkan saya marah dan memukul mereka,” katanya.
Katanya, perbuatannya berakhir apabila polis memberkasnya ketika khayal dengan dadah sebelum didapati bersalah oleh mahkamah.

“Disebabkan saya masih di bawah umur, saya dimasukkan ke sekolah ini selama tiga tahun dan sehingga kini sudah berada di sini selama lapan bulan. Saya juga sudah dapat mengatasi masalah ketagihan.Sekarang saya benar-benar insaf,” katanya.