Calon PMR dalam perjalanan ke sekolah maut kemalangan – Bernama


Calon PMR dalam perjalanan ke sekolah maut kemalangan

9 Oktober 2012

KEPALA BATAS – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Keladi yang dalam perjalanan untuk menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Permatang Langsat, di sini awal hari ini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, ASP Suhaimi Mohd Noor berkata mangsa Muhamad Farhan Mohd Sidek, 15, yang berasal dari Kampung Permatang Durian, di sini meninggal dunia di tempat kejadian pada kira-kira 6.40 pagi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Mangsa yang menunggang motosikal milik bapanya dalam perjalanan untuk mengambil rakan baiknya yang tinggal di Kampung Permatang Langsat iaitu tidak jauh dari tempat kemalangan sebelum mereka ke sekolah.

“Bagaimanpun ketika mangsa sampai di simpang Kampung Permatang Langsat, sebuah Perodua Viva tiba-tiba keluar dari simpang. Muhamad Farhan yang gagal mengelak merempuh kenderaan berkenaan,” kata Suhaimi.

Beliau berkata akibat rempuhan itu mangsa terpelanting beberapa meter dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Suhaimi berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat. – Bernama

Mohd Anuar cekal hadapi peperiksaan walaupun bertongkat – Bernama


Mohd Anuar cekal hadapi peperiksaan walaupun bertongkat

9 Oktober 2012

KUALA LUMPUR – Kecekalan Mohd Anuar Ibrahim, 15, teruji apabila dia terpaksa menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dalam keadaan bertongkat akibat patah kaki.

Mohd Anuar, antara 481,424 pelajar yang menduduki PMR di seluruh negara bermula hari ini, mengalami patah kaki setelah terjatuh ketika bermain bola sepak di rumahnya di Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur, kira-kira dua minggu lalu.

Mohd Anuar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Seri Rampai berkata dia menguatkan semangat untuk datang ke sekolah bagi menduduki peperiksaan walaupun kakinya terasa berdenyut dan pedih.

Menurutnya dorongan ibu bapa, rakan-rakan dan guru sekolah memberi motivasi kepadanya untuk menduduki peperiksaan Bahasa Melayu kertas 1 dan kertas 2 serta Pendidikan Islam kertas 1 hari ini.

“Saya tidak menafikan tumpuan ulang kaji agak terganggu setelah kaki disimen…sebelum kejadian saya dapat mentelaah lebih daripada tiga jam namun setelah kejadian, segalanya terbatas,” katanya.

Mohd Anuar berkata dia tidak menduga akan tercedera ketika membuat latihan untuk pertandingan bola sepak yang bakal disertainya tidak lama lagi namun  kakinya tersadung dan jatuh ketika bertindak sebagai penjaga gol.

“Akibat kejadian itu saya terlantar di rumah dan hanya membaca buku dari atas katil,” katanya.

Walaupun menahan sakit ketika menjawab peperiksan hari ini, Mohd Anuar yakin dapat menjawabnya dengan baik berdasarkan persediaan yang telah dilakukannya.

“Saya mensasarkan semua A bagi empat daripada lapan matapelajaran yang diambil…kalau dapat lebih itu ibarat bonus bagi saya,” katanya.

PMR bermula hari ini dan dijadual berakhir pada 16 Okt. – Bernama

Ajal menjemput di riba ibu – Metro


Ajal menjemput di riba ibu

Oleh Anja Asmara
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PONTIAN: “Afiff baring di pangkuan saya dan kira-kira 15 minit kemudian, dia menghembuskan nafas terakhir,” kata ibunya, Russiah Ibrahim, 44, ketika ditemui di kediamannya di Taman Nong Chik, Batu 36, Jalan Johor, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi kelmarin, anaknya, Muhammad Afiff Faris Ahmad Seri, 15, meninggal dunia di pangkuannya ibunya selepas mengadu pening kepala.
Russiah berkata, Afiff sebelum itu baru saja selesai berwuduk dan mahu menunaikan solat Subuh.

 

“Afiff mengadu pening kepala dan saya terus meribanya. Saya kemudiannya mengurut dahi Afiff dengan minyak.
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati bibir, kuku tangan dan kakinya bertukar kebiruan. Saya terus mengusap dadanya, manakala Afiff seolah-olah tidur berdengkur sebelum nafasnya terhenti,” katanya.
Menurut Russiah, dia memanggil jiran sebelum menghubungi Hospital Pontian serta suaminya, Ahmad Seri Abu Bakar, 48, yang ketika itu bekerja di Tanjung Bin.

 

 

Katanya, pasukan perubatan yang tiba kemudiannya melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan Afiff sudah meninggal dunia.
Ahmad Seri pula berkata, Afiff yang juga pelajar pintar adalah anak ketiga daripada lima beradik dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Penggawa Barat (SMKDPB).

 

Afiff bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu depan.
Menurut Ahmad Seri, dia bergegas pulang ke rumah sejurus menerima panggilan telefon daripada isterinya pada jam 6.15 pagi.
“Tiba di rumah, Afiff sudah meninggal dunia. Saya reda di atas pemergian Afiff kerana Allah lebih menyayanginya.
“Afiff seorang yang rajin dan suka menolong ibunya memasak,” katanya.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03

481,424 calon PMR duduki peperiksaan pada 9 Oktober ini – Kosmo


481,424 calon PMR duduki peperiksaan pada 9 Oktober ini

KUALA LUMPUR – Seramai 481,424 calon di seluruh negara akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula 9 Oktober ini.

Menurut Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran, sebanyak 3,560 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh negara dengan 33,898 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

30 pelajar keracunan makanan – Sinar Harian


30 pelajar keracunan makanan
NOOR ‘AINON MOHAMED YUSOF
7 Julai 2012
SUNGAI SIPUT – Seramai 30 pelajar sebuah sekolah menengah di sini terpaksa menerima rawatan selepas mengalami muntah-muntah, loya, sakit perut dan cirit biritselepas bersarapan pagi tadi.

Difahamkan, kesemua pelajaritu yang berusia 15, 17 dan 19 tahun mengalami keracunan makanan setelah bersarapan di kantin asrama sebelum mengikuti program motivasi khas untuk pelajar tingkatan tiga, lima dan enam.

Mereka bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Buka minda pelajar – Metro


Buka minda pelajar
Oleh Nor Shafinaz Sari
am@hmetro.com.my

MELAKA: “Bantuan Netbook 1Malaysia kepada pelajar sekolah langkah baik oleh kerajaan bagi membuka minda dan meningkatkan kemampuan pembelajaran kanak-kanak. “Seperti anak saya, sejak menggunakan netbook berkenaan, pembelajarannya bertambah baik,” kata peniaga, Sofiah Zakariah, 45.

Menurutnya, sejak menerima netbook berkenaan, anaknya jarang keluar rumah untuk bermain kerana lebih gemar belajar menggunakan netbook itu.
“Anak saya juga dapat mencari maklumat dengan mudah melalui internet, sekali gus meningkatkan prestasi mereka dalam pelajaran,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, bantuan netbook itu meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah yang sememangnya tidak mampu membeli komputer riba berkenaan.
Bagi pelajar, Mohd Azmi Razali, 15, berkata, dia menggunakan netbook itu untuk meningkatkan prestasinya dalam pelajaran agar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak lama lagi.
“Adik-beradik saya lapan orang, kalau hendak beli netbook sendiri, keluarga tidak mampu. Kini, kerajaan sudah bagi dan saya akan menggunakannya sebaik mungkin.

“Banyak maklumat diperoleh daripada internet yang membantu saya dalam mata pelajaran diajar di sekolah,” katanya.
Mohd Azmi berkata, dia tidak perlu lagi terlalu bergantung kepada guru di sekolah kerana jika tidak faham, internet boleh dijadikan rujukan.

Suri rumah, Ramlah Babah, 62, berkata, pemberian Netbook 1Malaysia itu menunjukkan kerajaan mengambil berat serta prihatin terhadap pelajaran rakyat terutama anak golongan berpendapatan rendah.
“Usaha kerajaan ini sesuatu yang baik untuk pelajar terutama kepada anak golongan berpendapatan rendah.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dan bantuan ini sememangnya membantu pelajaran anak,” katanya.

Netbook bantu dapat 6A – Metro


Netbook bantu dapat 6A
JITRA: “Alhamdulillah, kemudahan komputer netbook 1Malaysia yang diberikan kerajaan membantu saya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun lalu,” kata Nurul Ain Najwa Baharum, 16.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pauh itu, berkata dia bersyukur dengan pemberian komputer netbook yang diidamkan dan sangat berguna untuk mengulangkaji pelajaran.
Dia yang mendapat keputusan 6A 2B dalam PMR tahun lalu, berkata, komputer netbook yang diterima sejak pertengahan tahun lalu itu banyak membantunya mengulangkaji pelajaran menjelang peperiksaan selain menyiapkan tugasan sekolah.

“Sebelum ini, saya meluangkan masa selepas waktu sekolah untuk menggunakan kemudahan Internet di pusat akses di sekolah untuk mencari maklumat dan menyiapkan kerja sekolah.
“Saya tidak mempunyai pilihan lain pada waktu itu memandangkan tiada kemudahan kafe siber berdekatan rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wang Tepus, dekat sini, semalam.
Nurul Ain yang juga anak yatim itu berkata, sejak memiliki netbook itu semua tugasan sekolah dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan teratur.

Menurutnya, dia bersyukur kerana abangnya sanggup mengeluarkan belanja bagi memasang kemudahan WiFi di rumahnya bagi mengakses Internet.
“Saya berpeluang mempelajari kaedah pembelajaran mudah Matematik menerusi laman web tertentu selain melihat contoh karangan,” katanya.

Sementara itu, ibu Nurul Ain, Halijah Abdullah, 54, berkata pendapatannya sebagai penoreh getah tidak menentu selain tidak mencukupi untuk membeli komputer netbook berkenaan untuk kegunaan anak bongsunya.

Abang tiri lacur adik – Metro


Abang tiri lacur adik

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA KINABALU: Abang tiri durjana. Itu gelaran paling sesuai kepada seorang lelaki apabila tergamak menjadi bapa ayam memperdagangkan tubuh adiknya berusia 15 tahun sebagai pelacur bagi melayan pelanggan kemaruk seks di sebuah hotel murah di Kampung Air, di sini.

Kegiatan lelaki dan gadis terbabit yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), terbongkar apabila sepasukan polis Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat, Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, menyerbu hotel terbabit, jam 2 pagi, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan M Chandra, berkata sebaik pintu bilik dibuka, polis mendapati pelajar terbabit sedang melayan seorang pelanggan.

Beliau berkata, susulan penahanan gadis itu, polis memberkas seorang lelaki berusia 22 tahun di kawasan berhampiran dipercayai menjadi bapa ayam.

 
“Siasatan juga mendapati lelaki berkenaan abang tiri kepada pelajar itu,” katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Remaja lega boleh ambil PMR – Utusan


Remaja lega boleh ambil PMR

 

Oleh LEE HOOI BOON
utusanpenang@utusan.com.my

 

JONATHAN Loo Shon Sheuan menunjukkan surat status taraf kewarganegaraan Malaysia yang diperoleh dari JPN di Pusat Komuniti Paya Terubong, Pulau Pinang, semalam.

 

PULAU PINANG 10 Jan. – Seorang remaja kini boleh menarik nafas lega apabila akhirnya mendapat status warganegara.

Lebih menggembirakan bagi Jonathan Loo Shon Sheuan, 14, dengan status tersebut, dia boleh mendapatkan MyKad dan seterusnya menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun depan.

“Hati saya begitu lega apabila diberitahu mendapat status kewarganegaraan dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Jumaat lalu.

“Saya amat bersyukur dengan anugerah ini kerana membolehkan saya mengambil peperiksaan PMR tanpa masalah dan juga tidak perlu risau lagi untuk melanjutkan pengajian ke universiti,” katanya.

Dia ditemui selepas menerima sijil kewarganegaraan daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong dalam satu majlis di sini, hari ini.

Turut hadir datuknya, Loo Choon Seng, 72 dan nenek, Tan Say Kim, 64.

Masalah untuk mendapatkan MyKad Jonathan timbul kerana ibu bapanya hanya mendaftarkan perkahwinan mereka setelah dia dilahirkan dan ditambahkan pula kegagalan untuk menghubungi ibunya seorang warga Indonesia yang telah bercerai dengan bapanya.

Sementara itu, Chee Leong memberitahu, sejak tiga tahun lalu, lebih 10 peratus rakyat Malaysia berkahwin dengan warga asing terutama dari Indonesia dan China.

“Oleh itu, saya menyarankan golongan terbabit agar mendaftar perkahwinan mereka di JPN bagi mengelak masalah sebegini berlaku sehingga menjejaskan masa depan anak mereka,” ujarnya.

Saluran darah terputus akibat mercun – Utusan


Saluran darah terputus akibat mercun

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my
Pergelangan Nik Shazreen yang cedera akibat terkena mercun bola.

KOTA BHARU 8 Ogos – Seorang pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Oktober ini putus salah satu saluran darah di tangan kirinya selepas mercun bola yang dipasang remaja itu meletup sebelum sempat dibaling.

Dalam kejadian pukul 10 malam tadi, Nik Shazreen Nik Zaulaimi, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kok Lanas di sini mengalami kecederaan itu selepas terkena serpihan mercun.

Bapanya, Nik Zulaimi Mat Salleh, 45, ketika kejadian dia sedang minum di rumah selepas pulang menunaikan solat tarawih.

“Pada masa itu, anak saya sedang bermain mercun bersama beberapa rakannya di padang permainan kira-kira 50 meter dari rumah kami di Taman Anggerik, Kok Lanas.

“Tiba-tiba, anak saya pulang ke rumah dengan tangan kirinya berlumuran darah dan memberitahu tangannya terkena serpihan mercun bola yang dipasang.

“Katanya, mercun itu meletup terlalu cepat kerana sumbunya pendek sehingga tidak sempat dibaling jauh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Melihat keadaan kecederaan yang dialami, Nik Zulaimi segera menghantar anaknya ke Klinik Pulai Chondong sebelum dirujuk ke Hospital Machang.

Bagaimanapun, kecederaan anak kedua daripada lima adik beradik itu serius menyebabkan dia terpaksa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk mendapat rawatan lanjut.

“Saya pernah melarangnya bermain mercun sebelum ini tetapi tidak diendahkan, selepas apa yang berlaku, saya pasti dia sudah serik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata, mangsa dirujuk ke hospital kira-kira pukul 12.42 malam tadi sebelum menjalani pembedahan kira-kira pukul 9.30 pagi ini.