CUEPACS tuntut kenaikan gaji RM700 – RM2500 – Utusan


CUEPACS tuntut kenaikan gaji RM700 – RM2500

PUTRAJAYA 22 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji 1.3 juta penjawat awam dari gred 1 hingga gred 54 antara RM700 hingga RM2,500.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan itu perlu dilaksanakan menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan gaji dibuat melalui skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Tuntutan tersebut membabitkan kenaikan gaji untuk gred 1 hingga gred 16 sebanyak RM700; gred 17 hingga gred 26 (RM1,000); gred 27 hingga gred 40 (RM1,500); gred 21 hingga gred gred 48 (RM1,800) dan gred 52 hingga gred 54 (RM2,500).

Omar berkata, kakitangan awam yang sudah mencapai gaji maksimum atau sudah mati gaji pula perlu dibayar selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan dan perlu dinaikkan gred.

”Sebagai contoh bagi mereka yang sudah lima tahun tidak naik gaji, jika gaji mereka dinaikkan RM100, kerajaan perlu bayar tunggakan RM500 selain kenaikan gred,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat petugas khas bersama Jabatan Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, CUEPACS turut menuntut agar kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam yang sudah lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) aras 4.

”Ramai yang lulus PTK aras 4 sebelum SBPA diperkenalkan tetapi apabila SSM ditukarkan ke SBPA ramai yang lulus itu tidak mendapat kenaikan gaji, apabila kami berbincang dalam pasukan khas ini dari segi perundangan kerajaan perlu bayar.

”Mereka mana tahu SBPA akan diperkenalkan, tidak adil untuk mereka yang sudah berkorban masa dan tenaga untuk lulus, tapi bila dah lulus tak nak bayar pula,” katanya.

Sehubungan itu, CUEPACS meminta mereka yang lulus sehingga 31 Disember 2011 dibayar tunggakan gaji sebelum kajian semakan SBPA diumumkan dan mahu JPA mengeluarkan surat pekeliling mengenainya.

Omar berkata, beliau yakin kerajaan akan bersetuju dengan lima tuntutan yang telah dikemukakan iaitu mengkaji semula pindaan gaji gred 54 ke bawah; mengkaji gaji penjawat awam mencapai gaji maksimum; mengkaji kekananan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA; mengkaji kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak penstrukturan semula semua gred penjawat awam.

”Kalau kerajaan merasakan ia melibatkan tuntutan yang tinggi, CUEPACS cadangkan mereka yang telah menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA iaitu Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Premier, gaji mereka dipotong untuk diberikan kepada mereka di gred 54 ke bawah.

”Kalau betullah kerajaan mahu rapatkan jurang maka tuntutan itu dirasakan wajar, apa yang kami lakukan ialah menuntut kesaksamaan dan terpulanglah kepada pasukan petugas khas ini untuk menilainya,” katanya.

15,000 guru berijazah masih tunggu naik gred – Utusan


15,000 guru berijazah masih tunggu naik gred

SEREMBAN 12 Feb. – Hampir 15,000 guru berijazah masih belum ditawarkan kenaikan gred DG41 walaupun sebahagian besar daripada mereka telah ditemuduga untuk tujuan itu.

Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, ada antara mereka telah menunggu tawaran tersebut selama dua tahun dan jumlahnya pasti akan bertambah tahun ini.

Beliau berkata, sekiranya situasi itu tidak ditangani segera, keadaan akan bertambah buruk kerana semakin ramai guru yang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah akan menamatkan pengajian setiap tahun.

“Kita tidak mahu mereka berasa tidak puas hati selepas tertunggu-tunggu kerana tidak ada maklum balas daripada kerajaan mengenai perkara ini.

“Mereka patut ditawarkan gred itu kerana sudah menjalani temuduga tetapi sehingga kini kami tidak tahu mengapa ia tidak dapat dilakukan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurutnya, peruntukan bagi menawarkan para guru berkenaan gred lebih tinggi telah ada dan NUTP amat berharap tindakan segera diambil bagi menangani masalah tersebut.

Yim Pheng berkata, NUTP merayu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi kelonggaran kepada guru yang lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk menikmati kenaikan pangkat walaupun sistem penilaian itu telah dihapuskan awal tahun lalu.

Beliau berkata, ia penting kerana mereka telah berhempas pulas untuk lulus dalam peperiksaan tersebut dan berhak ditawarkan kenaikan gaji seperti yang dilakukan sebelum ini.

Katanya, kelulusan mereka dalam peperiksaan itu tidak sepatutnya terhapus begitu saja dengan pemansuhan PTK sebaliknya, satu tempoh yang lebih munasabah perlu diberikan bagi mengelakkan penganiayaan.

“Ribuan lulusan PTK dalam kalangan guru yang belum menikmati kenaikan gaji kini menagih simpati kerajaan bagi menyelesaikannya,” ujar beliau.

Menjawab satu pertanyaan, Yim Pheng memberitahu, NUTP telah mengumpul semua maklum balas daripada para guru mengenai Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Katanya, ia telah dibahaskan oleh ahli majlis NUTP dan akan diserahkan kepada pasukan petugas khas SBPA tidak lama lagi.

Jelasnya, NUTP juga sudah membuat pendirian mengenai skim saraan baru itu tetapi enggan mendedahkannya kepada umum pada masa ini.