Pelajar lepasan PMR hilang – Sinar Harian


Pelajar lepasan PMR hilang

WARTAWAN SINAR HARIAN
12 November 2012
Pelajar lepasan PMR hilang
Norleha menunjukkan gambar anak gadisnya yang hilang di asrama sekolah sebaik menamatkan peperiksaan PMR.

DUNGUN – “Saya harap dia segera pulang ke pangkuan kami. Saya merayu sangat dia kembali kerana bimbang keselamatannya,” kata Norleha Othman, 50, ibu kepada Nur Anissa Syafiqa Ramli, 15, remaja perempuan yang dilaporkan hilang di asrama sekolahnya.

Nur Anissa Syafiqa disedari hilang setelah gadis berambut pendek itu tiada di asrama sekolahnya.

Berikutan kehilangan anak kedua daripada tiga beradik di Rumah Lindungan Kasih, Negeri Sembilan itu, kakak mangsa, Rosnaimah Ramli, 34, membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam, Melaka Tengah, jam 10 malam 16 November lalu.

Norleha yang menemui Sinar Harian ketika mengadu masalahnya berkata, berdasarkan maklumat diterima, anak gadisnya itu dipercayai melarikan diri dengan dua rakan sekolahnya bersama seorang lelaki tidak dikenali.

Norleha yang berasal dari Gong Pasir, Dungun, berkata, dia sudah puas mencarinya di serata tempat termasuk Negeri Sembilan dan Terengganu, namun Nur Anissa Syafiqa yang baru sahaja menamatkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu gagal ditemui.

“Saya bimbang jika dia dipengaruhi oleh individu tidak bertanggungjawab yang membawanya ke jalan yang salah.

“Kalau dia baca berita ini, harap dia pulang ke pangkuan makcik, kasihanilah makcik, lagipun ayahnya sudah meninggal dunia,” kata Norleha yang baru kehilangan suami awal Oktober lalu.

Sehubungan itu, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai gadis berkenaan diminta menghubungi talian 019-6009780 atau balai polis berdekatan.

Trauma jejak kaki ke sekolah – Sinar Harian


Trauma jejak kaki ke sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Oktober 2012
Trauma jejak kaki ke sekolah
Siti Nor Fitrah berehat sambil menikmati hidangan selepas selesai menduduki kertas pertama peperiksaan PMR di Hospital Tampin, semalam.

Seorang calon PMR ambil peperiksaan di hospital atas nasihat pakar psikiatri

TAMPIN – Akibat penyakit dihadapinya, seorang calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) terpaksa mengambil peperiksaan berkenaan di Hospital Tampin, semalam.

Siti Nor Fitrah Ramli, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Undang Haji Adnan (Duha), di sini, mengalami gangguan tekanan atau Traumatic Stress.

Dia dikesan mengalami penyakit itu sejak Jun lalu berbuat demikian atas nasihat pakar psikiatri hospital terbabit.

Menurut Siti Nor Fitrah, penyakit itu menyebabkan dia mudah pengsan sebaik tiba di sekolah.

Malah, katanya, dia pernah pengsan sebaik sahaja menjejak kaki ke pintu pagar sekolah.

“Sejak bulan Jun lalu, sudah tidak terkira berapa kali saya pengsan ke sekolah. Doktor memberitahu saya mempunyai perasaan ‘tidak boleh ke sekolah’.

“Penyakit ini membuatkan perasaan saya seolah-olah trauma dengan sekolah dan atas nasihat doktor Isnin lalu, kes saya dirujuk ke HT untuk membolehkan saya menduduki peperiksaan PMR di hospital, tanpa risiko untuk pengsan seperti di sekolah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Hospital Tampin, semalam.

Siti Nor Fitrah juga akui sedih dan terkilan kerana tidak berpeluang untuk menduduki peperiksaan bersama rakan lain di sekolah, namun terpaksa akur.

“Bagaimanapun, saya akan cuba berusaha memberi terbaik bagi peperiksaan PMR ini walaupun persekitaran menduduki peperiksaan seperti ini tidak pernah sama sekali tergambar dalam fiki-ran saya selama ini,” katanya.

Siti Nor Fitrah merupakan seorang daripada 1,176 calon yang menduduki PMR di daerah Rembau, tahun ini.

Jawab soalan dalam wad – Metro


Jawab soalan dalam wad

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEREMBAN: Seorang calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) boleh dianggap antara yang cekal apabila bersemangat menghadapi peperiksaan itu walaupun terlantar di wad hospital.

S Arun Pandian, 15, pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mambau, di sini, mengambil peperiksaan PMR di bilik khas Hospital Tuanku Jaafar Seremban gara-gara patah kaki kiri selepas terjatuh dari katil dua tingkat menyebabkannya dirawat di hospital itu sejak sebulan lalu.
Biarpun kaki kirinya patah dan tangan kanannya masih berbalut, semangat Arun bagi menduduki peperiksaan tidak pernah luntur. “Semangat saya kuat memandangkan saya ada cita-cita tinggi, tetapi sedih kerana terpaksa mengambil PMR di hospital ini,” katanya.

 

Pagi semalam, dia ditemani dua pelajar senasib yang turut sama menduduki PMR di bilik khas HTJS itu.
Arun ketika ditemui selepas menduduki Kertas Bahasa Melayu 1 berkata, dia dimasukkan ke hospital sebulan lalu kerana patah kaki kiri selepas terjatuh dari katil dua tingkat di rumahnya dan kelmarin, dia sekali lagi dimasukkan ke HTJS kerana komplikasi penyakit lain pula.
Menurutnya, tumpuannya menjawab soalan sedikit terjejas kerana kesakitan dan menggunakan komputer untuk menaip jawapan karangan.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10

Mahu tebus kegagalan 35 tahun lalu – Metro


Mahu tebus kegagalan 35 tahun lalu

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
LEGA...Nordin meninggalkan dewan peperiksaan, semalam.
LEGA…Nordin meninggalkan dewan peperiksaan, semalam.

JOHOR BAHRU: “Sejak berbulan lalu, saya mengulang kaji pelajaran dengan bantuan anak lelaki berusia 12 tahun dan baru selesai menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Hari ini (semalam), saya rasa seram sejuk dan berdebar-debar ketika membuka kertas soalan. “Bagaimanapun, kerana ingin mencabar diri sendiri, semua itu diketepikan malah saya tabahkan hati untuk ke pusat peperiksaan.” Itu kata calon Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) yang hanya mahu dikenali sebagai Nordin, 50, ketika ditemui di pusat peperiksaan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara di sini, semalam.
Nordin bersama seorang lagi rakan berusia 40-an mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi calon persendirian paling tua menduduki PMR.

 

Dia yang bekerja sebagai tukang kebun berkata, usia bukan penghalang untuknya menduduki PMR, sebaliknya perlu dijadikan contoh kepada golongan muda supaya tidak mensia-siakan peluang yang ada dengan belajar bersungguh-sungguh.
“Saya menduduki PMR kerana mahu menebus kegagalan mendapat keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 35 tahun lalu.
“Saya mendaftar untuk menduduki PMR pada Februari lalu dengan yuran RM85. Walaupun sibuk, saya meluangkan masa mengulangkaji pelajaran.

 

 

“Pada mulanya anak dan isteri menyangka saya hanya bergurau, tetapi mereka kemudian memberi semangat dan dorongan,” katanya.
Bermula semalam, Nordin bersama rakannya itu mula menguji keupayaan diri dengan menjawab kertas soalan mata pelajaran Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2, diikuti Pendidikan Islam pada sebelah petang.

 

Selain dua mata pelajaran itu, secara keseluruhan, calon PMR akan menjawab enam lagi mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris, Geografi, Sejarah, Kemahiran Hidup, Sains serta Matematik.
“Memang gementar kerana persediaan dibuat hanya ala kadar, paling merisaukan saya mata pelajaran Matematik kerana ia memerlukan kecekapan untuk mengira.
“Agak kekok dan segan kerana kami dikelilingi ratusan murid yang jauh lebih muda. Bagaimanapun, saya berasa lega apabila terjumpa seorang lagi calon hampir sebaya,” katanya.
Bapa kepada lima anak itu turut berharap dia lulus semua mata pelajaran.
Selain Nordin dan rakannya itu, seramai 166 pelajar tingkatan tiga yang lain turut menduduki PMR di pusat peperiksaan sama. Sementara itu, seorang guru dikenali sebagai Yahya, 40, berkata, dia terharu apabila mendapati dua calon yang menduduki PMR ialah individu seusia dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10

Penilaian Menengah Rendah lancar – Utusan


Penilaian Menengah Rendah lancar

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Seramai 481,424 calon menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula hari ini sehingga 16 Oktober di 3,560 pusat peperiksaan seluruh negara.

Mereka menduduki kertas Bahasa Melayu 1 dan 2 pada sebelah pagi dan Pendidikan Islam petang.

Tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) mendapati peperiksaan berjalan lancar dan pelbagai gelagat dapat dilihat.

Ada segelintir calon yang masih sempat membuat ulang kaji terakhir sebelum memasuki dewan peperiksaan.

Pengetuanya, Nor Paizin Ibrahim, 56, berkata, seramai 119 pelajar sekolah berkenaan menduduki peperiksaan PMR tahun ini.

”Pihak sekolah berharap calon PMR dapat mengatasi rekod cemerlang tahun lalu yang mana kami mendapat pencapaian terbaik dalam masa sembilan tahun iaitu 86.55 peratus semua A,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121010/dn_10/Penilaian-Menengah-Rendah-lancar#ixzz28rzayabg
© Utusan Melayu (M) Bhd