12,520 calon SPM ulangan Selasa, Rabu – Bernama


12,520 calon SPM ulangan Selasa, Rabu

 

KUALA LUMPUR 7 Jun – Seramai 12,520 calon akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (Ulangan) 2013 di 232 pusat peperiksaan di seluruh negara Selasa dan Rabu ini (11 dan 12 Jun).

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan hari ini, daripada jumlah itu, 7,148 calon mendaftar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, 2,932 mata pelajaran Matematik dan 2,440 lagi bagi kedua-dua mata pelajaran.

“Seramai 1,207 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar dan keputusan dapat diumumkan seperti dijadualkan,” jelas kenyataan itu.

Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon agar merujuk kepada Jadual Waktu Peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Calon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan Borang Perakuan Calon Peperiksaan SPM (Ulangan) masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130607/dn_38/12520-calon-SPM-ulangan-Selasa-Rabu#ixzz2VWYFSO2o
© Utusan Melayu (M) Bhd

Najib ucap tahniah kepada penerima Biasiswa Nasional 2013 – Bernama


Najib ucap tahniah kepada penerima Biasiswa Nasional 2013

2013/04/02 – 16:55:24 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan tahniah kepada 50 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang menerima Biasiswa Nasional 2013.

Beliau turut menasihati pelajar berkenaan supaya tidak melupakan peranan yang disumbangkan ibu bapa dan guru sehingga mereka mencapai kejayaan itu.

“Tahniah kepada 50 pelajar cemerlang SPM tahun lalu yang menerima Biasiswa Nasional. Jangan lupa usaha ibu bapa dan guru yang memainkan peranan penting,” katanya dalam tweet terbaru beliau hari ini.

Pelajar cemerlang itu menerima biasiswa tersebut yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di ibu negara, semalam.

Melalui program Biasiswa Nasional, penerima akan ditaja dari peringkat persediaan hingga peringkat ijazah pertama dalam pelbagai bidang pilihan mereka yang diiktiraf kerajaan di dalam dan luar negara.

Program itu diperkenalkan pada tahun 2010 dengan 30 pelajar cemerlang SPM 2009 menerima biasiswa tersebut, tetapi ditambah menjadi 50 orang mulai 2012 ekoran peningkatan ketara pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun 2011.

– BERNAMA

Najwa elak cerita keputusan SPM – Kosmo


Najwa elak cerita keputusan SPM

NAJWA LATIFF

 

MULA-MULA, Diva nak ucapkan tahniah kepada penyanyi Cinta Muka Buku, Najwa Latiff kerana mendapat 4A dalam peperiksaan SPM yang diumumkan baru-baru ini. Ada juga A, takut juga Diva kot-kot jadi macam lagunya, Kosong.

Cuma yang Diva rasa kosong sikit, bila Najwa makin sukar nak didekati media. Malah keputusan SPM Najwa pun diambil wakilnya. Wartawan yang menunggu depan pintu pagar sekolah dari pagi buat panggilan telefon minta kenyataan, akhirnya wartawan tu menganga tunggu bintang baharu yang tak kunjung tiba.

Dah namanya penyanyi, orang mesti nak tahu apa pencapaian yang diperoleh, kalau pasal lagu boleh dipromosikan, apa salahnya cakap sikit pasal keputusan akademik yang diperolehi.

Kata seorang wartawan yang pernah nak buat liputan semasa Najwa nak duduki peperiksaan dahulu pun punyalah tak mahu ditemu ramah. Fahamlah nak periksa tapi bila dah dapat keputusan pun sama juga.

Seorang lagi artis remaja, Eina Azman juga baru dapat keputusan SPM. Si Eina pula, sejak pagi lagi seorang wartawan menelefonnya nak tanya perkembangan keputusan SPM yang diperoleh. Manalah tahu, untung-untung dia nak berkongsi.

Si Eina pula kerenahnya lain, kita telefon pagi, katanya sedang sibuk dan diminta telefon tengah hari sikit. Bila telefon waktu tengah hari, katanya masih ada perbincangan, suruh telefon lagi petang-petang sikit. Telefon lagi bila sudah petang, langsung tidak dijawabnya.

Kata wartawan berkenaan, dia menelefon Eina bukan nak ajak keluar minum kopi di hotel, tapi sekadar nak bertanya tentang keputusan SPM baru keluar. Itu pun payah yang amat.

Kalau betul malu atau tak nak berkongsi keputusan SPM yang sekadar cukup makan itu, cakap sajalah. Tak perlu nak main tarik tali, Diva ada banyak kerja lain nak buat.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Diva_Interaktif&pg=dv_02.htm#ixzz2OT4DFEoG
Hakcipta terpelihara

Calon SPM dibenar ambil 12 subjek – Berita Harian


Calon SPM dibenar ambil 12 subjek

Pelajar diberi kelonggaran ambil dua mata pelajaran tambahan

Kuala Lumpur: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberi kelonggaran mengambil tidak lebih daripada dua mata pelajaran tambahan menjadikan jumlah keseluruhan dibenarkan adalah 12 subjek.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, berkata dasar mengehadkan jumlah maksimum 10 mata pelajaran dalam SPM diperkenalkan mulai 2010 lagi.

Wajib ambil mata pelajaran teras

“Calon wajib mengambil mata pelajaran teras bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan mengenai dasar mengehadkan jumlah maksimum 10 mata pelajaran kekal bagi memastikan calon fokus dengan mata pelajaran teras.

Abd Ghafar berkata, calon boleh menambah dua mata pelajaran elektif antaranya Kesusasteraan Cina, Kesusasteraan Tamil, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, Tasawwur Islam dan Pendidikan Seni Visual.

“Perkara itu termaktub dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.1/2010 Pelaksanaan Dasar Mengehadkan Jumlah Maksimum Sepuluh (10) Mata Pelajaran dan Penambahan Dua (2) Mata Pelajaran Tambahan dalam Peperiksaan SPM (No. Ruj: KP(BPSH-SPDK)201/005/01/(37)) bertarikh 13 Januari 2010.
“Pelaksanaan dasar ini diguna pakai untuk peperiksaan SPM sejak ia diluluskan pada 2010,” katanya.

Lulus BI: Guru Perlu Masa Lima Tahun – mStar


Lulus BI: Guru Perlu Masa Lima Tahun

Oleh KANG SOON CHEN

PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya lima tahun diperlukan untuk melatih kira-kira 60,000 guru bagi merealisasikan cadangan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Pada masa ini 5,000 orang guru telah dilatih dan kerajaan akan merekrut seramai lebih 9,000 lagi guru-guru Bahasa Inggeris,” kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong kepada pemberita selepas melancarkan program pertandingan Star NiE di sini, Selasa.

Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata Bahasa Inggeris akan dijadikan subjek wajib lulus dalam peperiksaan SPM apabila guru dan pelajar bersedia.

Muhyiddin berkata persediaan, ibu bapa, guru dan pelajar mesti bekerja bersama-sama untuk meningkatkan kualiti Bahasa Inggeris di negara ini.

Sahabat baik sampai ke mati – Metro


Sahabat baik sampai ke mati

Oleh Shalfarina Shahriman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MARAN: “Saya benar-benar tidak menyangka persahabatan mereka dibawa hingga mati. Mereka dalam kelas sama sejak tahun satu hingga tingkatan lima, malah jarak rumah kami juga tidak jauh,” kata Zainab Abu, 60, ibu kepada Khairul Izham Khalid, 17, yang maut bersama rakan baiknya, Mohamad Aizat Mohamed, 17, dalam kemalangan jalan raya, kelmarin.

Dua sahabat baik yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu meninggal dunia apabila motosikal dinaiki mereka terbabas dan melanggar tebing sebelum kepala masing-masing terhantuk pada bongkah batu, di Kilometer 39.9, Jalan Temerloh-Bandar Tun Abdul Razak, berhampiran Felda Jengka 16, dekat sini. Kedua-dua mereka sedang menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Menurut Zainab, Khairul kadang-kadang mengulang kaji pelajaran di rumah Aizat dan begitu juga sebaliknya. “Saya tidak sangka kehadiran Aizat untuk sama-sama belajar di rumah saya petang semalam (kelmarin) menjadi pertemuan terakhir. Itu juga kali terakhir saya melihat mereka belajar bersama di meja selalu digunakan,” katanya.

 

Menurutnya, anak bongsunya itu berehat di rumah ketika Aizat datang menjemput untuk keluar dengan motosikal jam 10 malam tanpa memberitahu destinasi dituju.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana mereka sering keluar bersama dan ingatkan mereka hanya mahu merehatkan otak kerana masing-masing sibuk mengulang kaji pelajaran dan kebetulan minggu ini tiada peperiksaan dijalankan,” katanya.
Zainab berkata, dia sekeluarga terkejut menerima panggilan telefon pada jam 12.15 tengah malam memaklumkan Khairul, anak bongsu daripada 12 beradik itu terbabit dalam kemalangan dan diminta datang ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah), Temerloh, untuk melihat keadaannya.

 

 

“Sebaik tiba di hospital, saya dimaklumkan Khairul dan Aizat meninggal dunia. Saya terkilan kerana tidak sempat menatap wajahnya ketika dia menghembuskan nafas terakhir, namun reda dengan ketentuan Allah.
“Ini takdir yang perlu saya tempuh dan mendoakan mereka ditempatkan dalam kalangan orang dikasihi Allah,” katanya.

 

Sementara itu, ibu Mohamad Aizat, Sumiah Muntalib, 51, berkata, anak keempat daripada lima beradik itu sering berkelakuan pelik sejak seminggu lalu sedangkan sebelum ini arwah tidak pernah berperangai demikian.
“Arwah menjadi terlalu manja dengan saya. Sejak seminggu lalu, dia akan menyikat rambut saya dan sering memberitahu sayangkan saya, malah arwah juga tidak membenarkan sesiapa masuk ke biliknya kecuali saya.
“Memang pelik dengan permintaannya, tetapi mulut seolah-olah terkunci dan berat bertanya kenapa dia bersikap sedemikian, sebaliknya hanya membiarkan kelakuannya, tetapi tidak menyangka ia sebenarnya petanda arwah akan pergi meninggalkan kami sekeluarga selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Jengka 18, semalam.
Jenazah Khairul Izham dan Mohamad Aizat selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Jengka 18, jam 11 pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Maran, Asisten Superintendan Sulaiman A Hamid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata, kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing dari Bandar Tun Abdul Razak.
“Kemalangan berlaku apabila Mohamad Aizat gagal mengawal motosikal ditunggangnya menyebabkan terbabas ke kiri jalan dan terlanggar tebing.
“Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak dan kepala terhentak pada bongkah batu disusun sebagai penghadang hakisan tebing berkenaan.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Bakal calon SPM dipercayai melarikan diri bersama teman lelaki – Sinar Harian


Bakal calon SPM dipercayai melarikan diri bersama teman lelaki

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Mei 2012
Bakal calon SPM dipercayai melarikan diri bersama teman lelaki
Linda

LUKUT – Seorang remaja ­perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ­tahun ini ­hilang melarikan diri dan turut membawa anaknya hasil hubungan bersama bekas teman lelakinya.

Bapa remaja berkenaan, Ah Chye, 65, berkata, anak tunggalnya, Linda Loh, 17, itu mula disedari hilang pada Rabu lalu dan dipercayai ­melarikan diri bersama teman lelakinya.

“Ketika itu, saya baru bangun dari tidur dan mendapati Linda sudah tiada ­sementara cucu perempuan saya, Joanna Srephane Grace yang bakal berusia setahun bulan hadapan juga didapati tiada.

“Saya cuba menghubungi nombor telefon Linda namun tidak berjawab. Namun ­selepas dihubungi berkali-kali, ­nombor berkenaan sudah tidak aktif lagi,” katanya kepada pemberita ketika membuat aduan di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lukut, semalam.

Ah Chye berkata, sebelum ini anaknya juga pernah keluar rumah dan dua hari ­tidak ­kembali ke rumah ­tanpa sebab.

“Kali ini saya mengesyaki anak perempuan saya ­melarikan diri bersama teman ­lelakinya dan sejak dia melarikan diri, dia juga didapati tidak hadir ke sekolahnya di sebuah sekolah di daerah ini.

“Saya sangat risau dengan apa yang berlaku lebih-lebih lagi Linda turut membawa anaknya hasil hubungan bersama bekas teman lelakinya itu,” katanya.

Katanya, dia merayu anaknya pulang ke rumah dan sedia memaafkan segala kesilapan yang dilakukan anaknya.

“Saya menerima dengan hati terbuka dan mahu dia kembali ke sekolah menduduki peperiksaan SPM dan berjaya memasuki universiti,” katanya.

Bimbang dengan kehila­ngan anaknya itu, Ah Chye yang tinggal di Taman Sri Bandar membuat laporan di Balai Polis Port Dickson sebanyak dua kali.

Sementara Adun Lukut, Ean Yong Tin Sin berkata, orang ramai yang terlihat Linda diminta memberi kerjasama untuk segera menghubungi balai polis berhampiran atau terus menghubungi Ah Chye menerusi talian             017-6524093      .

Ditukar sekolah kerana cacat – Utusan


Ditukar sekolah kerana cacat

 

Oleh Siti Airunnisa Alaui
pengarang@utusan.com.my

 

Mohd Ariff Mohamad dan anaknya, Mohd Fathi menunjukkan surat tawaran kemasukan ke asrama dari sebuah sekolah berprestasi tinggi ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Tengah, Setiu, semalam. – BERNAMA

 

SETIU 9 Jan. – Akibat kemalangan yang dialaminya Ogos tahun lalu, seorang pelajar, Mohamad Fathi Mohd. Ariff, 17, tidak dibenar meneruskan pelajaran di sebuah sekolah elit di negeri ini.

Alasan pihak sekolah terbabit ialah pelajar tingkatan lima itu dikhuatiri tidak mampu lagi memberikan prestasi yang baik terutama dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.

Bapa pelajar tersebut, Mohd. Ariff Mohamad, 39, mendakwa, anaknya yang telah menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong sejak di tingkatan satu, diarah berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Chalok ketika mereka datang untuk mendaftar bagi sesi baru pada 2 Januari lalu.

”Alasan itu sukar diterima dan kerana rasa tidak puas hati dan malu, saya membuat laporan polis pada hari yang sama,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Gong Tengah, di sini hari ini.

Anak sulung kepada pasangan Mohd. Ariff dan Rosila Hussin, 37, itu terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan kedua belah kakinya patah dan penglihatannya terjejas.

”Dia masih ke sekolah beberapa minggu sebelum sesi tahun lalu berakhir bagi membolehkannya menduduki peperiksaan akhir tahun tingkatan empat biarpun dibenarkan bercuti sakit selama dua bulan oleh pihak hospital,” katanya.

Menurutnya, antara alasan diberikan ialah anaknya itu mengalami kecacatan, tekanan perasaan serta gagal menduduki peperiksaan akhir yang dibimbangi tidak mampu memberikan prestasi baik dalam peperiksaan SPM.

“Sebelum ini pengetua sekolah memaklumkan Fathi hanya perlu mengulang tingkatan empat jika masih mahu mengambil peperiksaan SPM di sekolah itu kerana dia telah ketinggalan sesi pembelajaran kira-kira dua bulan.

“Namun ketika hari pendaftaran, pengetua, wakil Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan wakil Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) memaklumkan anak saya tidak dibenarkan meneruskan pelajaran di sekolah itu,” katanya.

Menurutnya, dia tidak berniat mencabar pihak terbabit namun tindakan itu dirasakan tidak adil kepada anaknya.

Mohamad Fathi pula berharap dia dapat meneruskan pelajaran di sekolah terbabit kerana telah selesa dengan cara pembelajaran di sekolah itu.

“Saya seronok belajar di sekolah berkenaan dan berharap dapat kembali ke sekolah itu lagi,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Hashim Mohd. Zain ketika dihubungi berjanji akan menyiasat dakwaan tersebut dan akan menemui keluarga Mohamad Fathi untuk berbincang.