Mayat Murid Lemas Ditemui Di Pam Pasir – Bernama


Mayat Murid Lemas Ditemui Di Pam Pasir
IPOH: Mayat murid Tahun Satu yang lemas setelah terjerlus di dalam pasir di Sungai Kampung Dusun Hulu, Parit semalam ditemui pagi Isnin.

Mayat Mohd Azhar Daneil Mohd Azwar, 7, ditemui di kawasan Pam Pasir Hj Raof, Bota Kiri kira-kira 9 pagi, lima kilometer dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohd Fakri Che Sulaiman berkata mayat telah dihantar ke Hospital Changkat Melintang. Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan oleh pasukan polis, bomba, Rela serta penduduk kampung bermula dari tengah hari semalam, katanya.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, Mohd Azhar Daniel dipercayai turun ke sungai untuk mandi.

Dua lagi rakannya selamat kerana mereka tidak turun ke dalam sungai bersama mangsa.-BERNAMA

Pelajar tingkatan empat dipukul 18 rakannya dipercayai curi duit – Bernama


Pelajar tingkatan empat dipukul 18 rakannya dipercayai curi duit

15 Julai 2012
IPOH – Seorang pelajar tingkatan empat sebuah Sekolah Menengah Kampung Gajah dekat sini, mengalami lebam-lebam akibat dipukul oleh rakan-rakannya kerana dikatakan mencuri wang RM100 milik seorang pelajar di asrama sekolah itu, awal pagi tadi.

Dalam kejadian selama kira-kira tiga jam bermula pada 1.30 pagi itu, mangsa Muhammad Fareez Akmar Mustapa, 16, dibawa ke sebuah bilik di asrama terbabit sebelum dipukul dengan objek keras menyebabkan dia lebam di belakang badan, betis, peha dan muka.

Mangsa ketika ditemui pemberita di rumahnya di Manjoi hari ini berkata dia dipukul oleh kira-kira 18 orang rakannya apabila tidak mengaku mencuri wang tersebut.

“Saya ditarik oleh pelajar-pelajar itu ke dalam sebuah bilik di asrama sebelum dipukul berkali-kali…guna selipar dan batang penyapu.

“Selepas dipukul, saya terlantar di lantai dan selepas lima minit saya bangun dan telefon mak saya untuk datang ke asrama,” katanya.

Sementara itu, ibunya Azian Ismail, 40, berkata beliau telah membuat laporan polis dan membawa anaknya ke hospital berhampiran bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

“Saya mintak pihak hospital berikan cuti untuk anak saya berehat,” katanya.

Azian meminta pihak sekolah mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelajar terlibat.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Fakri Che Sulaiman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan akan menyiasat kes mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Kita sedang mengumpul maklumat daripada pihak pengurusan sekolah dan asrama,” katanya. — Bernama