Jangan lebih-lebih – Metro


Jangan lebih-lebih

Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: “Nak lapor polis boleh tapi jangan lebih-lebih. Kalau lebih-lebih, saya datang rompak sekali lagi.”

Begitu ugutan seorang daripada empat perompak bersenjatakan empat parang dan pemotong besi sewaktu memecah masuk dan melarikan barangan berharga dan wang tunai dari rumah seorang guru di Kampung Pelangai, dekat sini, awal pagi semalam, mengakibatkan mangsa kerugian lebih RM5,000.
Seorang daripada suspek berkenaan dipercayai menyelinap ke dalam rumah melalui tingkap bahagian dapur sebelum membuka pintu dapur bagi membolehkan tiga rakannya masuk.

 

Menurut mangsa Shahruzin Ismail, 52, dia bersama isteri Hanim Mohamad, 49, dan lima anak nyenyak tidur apabila dikejutkan kumpulan perompak terbabit yang bertopeng jam 2.30 pagi. “Isteri saya menjerit sebaik ternampak perompak terbabit memasang lampu bilik tidur kami sambil dua perompak mengacukan parang di leher saya dan isteri.
“Tangan kami diikat dan mata saya ditutup dengan kain manakala mulut kami disumbat kain,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Menurut Shahruzin, tangan dan kaki kelima-lima anaknya turut diikat dan mulut mereka disumbat kain dan mereka dihimpunkan di dalam sebuah bilik dan ditutup dengan selimut.

 

FotoBESI tingkap yang dipotong perompak dengan menggunakan pemotong besi.

“Perompak meminta menyerahkan semua wang yang saya ada kerana beranggapan saya orang kaya. Saya cuba jelaskan saya hanyalah seorang guru dan rumah yang kami diami ini adalah rumah sewa manakala isteri saya pula tidak bekerja.
“Semua perompak bagaimanapun melarikan beberapa barangan berharga termasuk tiga komputer riba, lima telefon bimbit, barang kemas, peralatan komputer serta wang tunai dianggarkan RM4,000 dan jumlah keseluruhan dianggarkan melebihi RM5,000,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Azmi Abd Rahim berkata, siasatan mendapati modus operandi rompakan itu sama seperti kes berlaku di sekitar Johol, baru-baru ini.
“Polis percaya tiga suspek warga negara asing dan seorang dipercayai orang tempatan itu terbabit dengan beberapa siri rompakan seumpama itu di seluruh Negeri Sembilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/14

Kes kecurian dua sekolah – Sinar Harian


Kes kecurian dua sekolah

NORMAWATI ADNAN
3 Januari 2013
Kes kecurian dua sekolah
Sekolah yang dipecah masuk menjelang permulaan sesi pembelajaran 2013.
Kes kecurian dua sekolah
Sekolah yang dipecah masuk menjelang permulaan sesi pembelajaran 2013.

IPOH – Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) akan menunggu laporan siasatan penuh daripada polis sebelum tindakan lanjut diambil berhubung kes kecurian peralatan sekolah di negeri ini menjelang sesi pembelajaran 2013.

Pemangku Pengarah Pelajaran Negeri, Mohd Idris Ramli berkata, langkah itu perlu bagi memastikan gerak kerja di sekolah berkenaan tidak terganggu.

Menurutnya, daripada laporan yang diterima, dua sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Yussuf (Batu Gajah) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Lope Nor Rashid (Tanjung Piandang) dipecah masuk, 29 dan 31 Disember lalu mengakibatkan kehilangan beberapa perkakas.

“Bagaimanapun, kedua-dua kes ini tidak mengganggu sesi pengajaran dan pembelajaran murid. Sesi persekolahan dibuka dan berjalan sama seperti sekolah lain.

“Kehilangan yang dilaporkan adalah membabitkan peralatan komputer dan beberapa perkakas lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Idris berkata, buat masa ini, JPN belum menerima laporan lanjut berhubung siasatan kedua-dua kes berkenaan.

“Kita akan tunggu hingga siasatan selesai,” katanya.

Dalam laporan semalam, SK Sultan Yussuf mengalami kerugian lebih RM57,000 apabila 12 komputer riba dilarikan.

Siasatan awal mendapati, suspek masuk ke kawasan sekolah melalui pagar belakang.

Dalam kejadian 31 Disember pula, sebuah komputer dan beberapa projektor milik SMK Raja Lope Nor Rashid dilarikan.