Pelajar maut dipanah petir selepas latihan memanah – Utusan


Pelajar maut dipanah petir selepas latihan memanah

KUALA KANGSAR 1 Feb. – Seorang pelajar tergamam apabila melihat seorang rakannya maut akibat dipanah petir selepas selesai menjalani latihan memanah di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Perempuan Muzwin, di sini petang semalam.

Muhammad Izhar Jamaluddin, 10, antara lapan murid yang sedang berehat di tepi padang berkenaan berkata, sampai bila-bila pun dia tidak dapat melupakan kejadian pukul 5.30 petang itu yang meragut nyawa Muhammad Syafiq Mohd. Tajul Ariffin, 11.

Menceritakan detik-detik cemas tersebut, Mohd. Izhar berkata, dalam keadaan hujan renyai-renyai, semua ahli pasukan memanah sedang bersiap untuk bersurai, manakala mangsa pula sedang menyusun peralatan memanah di bawah sebatang pokok, kira-kira tiga meter dari rakan-rakannya.

“Tiba-tiba saya perasan ada cahaya kuning sepantas kilat diiringi dentuman kuat yang menyebabkan kami semua terpelanting. Selepas itu, kami melihat Syafiq terbaring di bawah pokok.

“Saya sendiri takut melihat kaki saya pucat dan apabila guru lain mencurahkan air bagi menanggalkan kasut yang terkoyak bersama stokin melekat, ia mengeluarkan bunyi macam sedang dimasak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Dalam kejadian tersebut, Muhammad Syafiq yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik meninggal dunia setelah cedera parah di seluruh badan akibat dipanah petir.

Muhammad Izhar melecur di kaki kanan, manakala dua lagi rakannya, Anuar Azlin, 12, dan Nor Arifah Fatimah, 12 serta seorang guru jurulatih pasukan tersebut, Azizul Rahman Ismail, 31, hanya mengalami kekejangan di kaki.

Azizul Rahman yang masih trauma dengan kejadian itu masih dirawat di Hospital Kuala Kangsar, di sini.

Menurut Muhammad Izhar, selepas kejadian itu, dia serik untuk menjalani latihan memanah lagi kerana trauma dengan apa yang berlaku.

“Kami sepatutnya menyertai satu kejohanan memanah pada bulan ini tetapi tidak tahu lah macam mana selepas kejadian ini,” katanya yang diberikan cuti sakit selama tiga hari.

Sementara itu, Azizul Rahman yang juga seorang guru Matematik berkata, dia begitu sedih dan terkejut mendengar berita kematian tersebut kerana mangsa merupakan anak didiknya sejak setahun lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, terdapat sekumpulan pasukan bola sepak sedang berehat tidak jauh daripada tempat kejadian selepas menjalani latihan di padang berkenaan.

“Dalam hati, saya rasa seolah-olah macam bersalah, walaupun perkara ini berlaku di luar jangkaan sama sekali,” katanya sambil menegaskan semua aktiviti memanah tersebut dijalankan mengikut peraturan pihak sekolah.

Sementara itu, suasana suram menyelubungi keluarga mangsa yang berkumpul di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Dal di sini apabila jenazah Muhammad Syafiq dikebumikan pukul 11.30 pagi ini.

Bapa mangsa, Mohd. Tajul Arifin Shahruddin, 40, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu kira-kira pukul 6 petang apabila menerima panggilan daripada seorang guru ketika menanti kepulangan anaknya sewaktu hujan lebat semalam.

“Kadang kala, saya selalu juga melihat anak saya menjalani latihan di sekolah tetapi semalam, saya tidak berkesempatan. Biasanya, kalau hujan, dia akan pulang awal kerana cikgu suruh balik cepat,” katanya.

Ibu mangsa, Suhila Anwar, 37, yang terlalu sebak kehilangan anaknya itu tidak mampu untuk mengeluarkan sebarang kata-kata.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Ghaffar Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Guru Besar SK Raja Perempuan Muzwin, Mohd Jamaai Ahmad pula berkata, laporan lengkap berhubung kejadian itu telah dihantar ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Kaki kebas, bau hangit kena petir – Berita Harian


Kaki kebas, bau hangit kena petir
Oleh Nurhayati Abllah dan Mohd Hairi Azmi Tham

2012/02/02

KUALA KANGSAR: “Selepas bunyi dentuman kuat, saya terus tidak sedarkan diri. Apabila tersedar beberapa minit kemudian, kaki terasa kebas, kasut terbakar dan bau hangit.

“Saya terus meraung sebaik cikgu menanggalkan kasut kerana bau hangit itu berpunca daripada kaki kanan saya melecur,” kata Muhammad Izaha Jamaluddin, 10, seorang daripada tiga murid Sekolah Kebangsaan Mazuin, di sini, yang cedera dalam kejadian dipanah petir, petang kelmarin.

Dalam kejadian menyayat hati itu, rakan Muhammad Izaha, Muhammad Syafiq Mohd Tajul Ariffin , 11, maut selepas badannya disambar petir, manakala dua rakan lain serta seorang guru cedera.

Mereka yang cedera ialah Azizul Rahman Ismail, 31, guru dan juga jurulatih memanah sekolah serta dua murid lain dikenali sebagai Anuar Azlin, 12 dan Nor Arifah Fatimah, 12.

Menceritakan kejadian jam 5.30 petang itu, Muhammad Izaha berkata sebelum kejadian dia bersama lapan rakan lain, termasuk arwah dan seorang guru berehat berhampiran sebatang pokok selepas selesai menjalani latihan memanah di padang sekolah.

“Ketika itu cuaca mendung dan arwah bangun untuk mengemaskan peralatan memanah di tengah padang. Tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman kuat dan saya terus tidak sedarkan diri.

“Selepas tersedar saya sempat melihat arwah kaku tersandar pada sebatang pokok, manakala rakan lain meraung kesakitan. Beberapa guru kemudian cuba memberi bantuan pernafasan kepada arwah, namun beberapa minit kemudian saya mendapat tahu rakan saya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Fakri, semalam.
Muhammad Izaha, murid Tahun Empat, berkata sebelum kejadian arwah sempat mengajarnya menarik tali memanah itu dan mereka bersemangat mengikuti latihan kerana berhajat untuk terpilih mewakili sekolah.

“Arwah tidak lokek ilmu. Kami sentiasa berlatih bersama-sama dan arwah sangat teruja untuk berlatih memanah, apatah lagi selepas dapat membeli penutup mata khas untuk mengikuti latihan itu,” katanya.

Muhammad Izaha kini mengakui sudah hilang minat untuk menjalani latihan memanah kerana trauma dengan kejadian itu.

“Saya sudah kehilangan rakan baik, apatah lagi kaki masih terasa kebas dan telinga berdengung kesan dentuman kuat itu,” katanya.

Sementara itu, suasana pilu dan sedih menyelubungi kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Dal, ketika jenazah Muhammad Syafiq yang juga anak ketiga daripada lima beradik dikebumikan jam 11.30 pagi semalam.

Ibu mangsa, Suhila Anuar, 37, berkata sebelum kejadian, arwah kelihatan sangat seronok dan bersemangat menjalani latihan memanah, apatah lagi dia baru saja membeli penutup mata bagi sukan itu.

“Dia (arwah) sanggup mengambil upah membantu ibu saudaranya berniaga di kedai dengan upah sebanyak RM2 sehari untuk mengumpul wang bagi membeli peralatan berharga RM10,” katanya.

“Dia tidak mahu menyusahkan keluarga dan sukar untuk meminta wang daripada kami jika tiada keperluan penting. Lagipun, arwah tidak pandai bermain sukan lain seperti bola, jadi dia berhajat untuk mewakili sekolah dalam acara memanah,” katanya.