‘Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku’


‘Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku’

3 Ogos 2013
  • 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku'
< 1 / 1 >

PUTRAJAYA – “Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku” dipilih tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 tahun ini.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam satu kenyataan hari ini berkata tema tersebut telah dipersetujui Jemaah Menteri.

Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 pada 31 Ogos ini akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Menurut KKMM, tema yang lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan negara bangsa itu dipilih untuk mengingatkan rakyat kepentingan bersatu mempertahankan negara di samping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan negara.

“Selaras dengan pendekatan tema ini, konsep sambutan pada tahun ini akan lebih menjurus kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan negara.

“Insiden pencerobohan Lahad Datu dan Semporna di Sabah menjadi iktibar terbaik dalam memperbaiki teras utama dalam bidang ketenteraan,” menurut kenyataan itu.

Sempena pemilihan tema ini, KKMM berkata satu pertandingan logo kemerdekaan telah diadakan selama 10 hari dan Noor Hishammudin Omar dipilih sebagai pemenang utama dengan memenangi hadiah wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.

Untuk meraikan Hari Kemerdekaan Ke-56 ini, menurutnya beberapa acara akan diadakan termasuk majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang yang akan diadakan pada 16 Ogos di Dataran Zero, Sungai Petani, Kedah.

Sambutan Ambang Merdeka akan diadakan buat pertama kalinya di Pusat Maritim Putrajaya dan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti bermula 5 petang anjuran Perbadanan Putrajaya, termasuk Karnival Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Putrajaya.

“Perbarisan dan perarakan Hari Kemerdekaan Ke-56 akan diadakan di Dataran Merdeka yang melibatkan persembahan pasukan keselamatan negara yang terdiri daripada gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Acara yang melibatkan empat segmen iaitu Rukun Negara, Kesatuan Rakyat Perpaduan Sejagat, Kemakmuran Negara Kesejahteraan Bersama dan Malaysiaku Berdaulat:Tanah Tumpahnya Darahku dengan penyertaan lebih kurang 4,000 orang termasuk acara formasi di padang, pameran aset pasukan keselamatan negara dan demonstrasi lintas udara oleh PDRM dan ATM akan diadakan”.

Sempena Sambutan Jubli Emas Hari Malaysia, KKMM berkata Sabah dan Sarawak akan mengadakan pelbagai acara bagi memeriahkan sambutan termasuk acara bot berhias yang akan diadakan di tebingan Sungai Sarawak pada 15 September dan
pelancaran duit syiling khas sempena Jubli Emas di Padang Merdeka, Kuching pada 16 September.

“Di Sabah, sambutan acara Jubli Emas Hari Malaysia Ke-50 akan diadakan di Tanjung Aru, Kota Kinabalu bermula 15 September termasuk aktiviti Karnival Rakyat dan acara kemuncak sambutan pada 16 September yang akan dimeriahkan dengan penyertaan kesemua 35 kumpulan kaum atau etnik yang lengkap dengan pakaian tradisional suku kaum masing-masing,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program dan aktiviti sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 dan Jubli Emas Hari Malaysia Ke-50 menerusi http://www.malaysiamerdeka.gov.my. – Bernama

‘Janji Ditepati’ Tema Hari Kemerdekaan Tahun Ini – Bernama


‘Janji Ditepati’ Tema Hari Kemerdekaan Tahun Ini
KUALA LUMPUR: ‘Janji Ditepati’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos.

Sarawak pula akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata bagi perayaan tahun ini, ia akan melibatkan penyertaan lebih aktif golongan belia dan penyertaan spontan orang ramai.

Perarakan Hari Kemerdekaan akan diadakan di Dataran Merdeka manakala pada sebelah malamnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan bersama rakyat di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyampaikan amanat merdeka dan amanat Hari Malaysia.

“Pada keseluruhannya saya yakin perayaan Hari Merdeka dan Hari Malaysia kali ini akan lebih hebat dari dulu, cuma tinggal lagi pada 16 Sept kita akan beralih ke Sarawak untuk meraikan Hari Malaysia dan jawatankuasa mencadangkan supaya kita bersama-sama pula ke kawasan luar bandar di Sarawak,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di sini Isnin, Rais berkata terdapat cadangan agar Bintulu dijadikan lokasi sambutan Hari Malaysia, namun ia masih belum diputuskan.

Beliau berkata sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia akan dimulakan pada 11 Julai anjuran pihak swasta melalui program Buku Rekod Malaysia.

Pada 15 Julai pula, Kementerian Belia dan Sukan akan melaksanakan program-program yang berkaitan dengan belia di Menara Kembar Petronas.

Pada 17 Julai, perdana menteri akan merasmikan program pengibaran Jalur Gemilang di Brickfields, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Baru dan pemimpin masyarakat Cina di Jalan Petaling secara serentak, kata Rais.

Pada bulan Ramadan, program berkaitan tetapi berunsur keagamaan akan diadakan untuk masyarakat Islam dan beberapa acara untuk kaum lain turut disusun.

Rais dalam pada itu meminta semua pihak agar mengenepikan perbezaan fahaman politik bagi menjayakan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-55 itu.

“Para pemimpin masing-masing perlu memainkan peranan dengan sokongan rakyat supaya Jalur Gemilang dikibarkan di setiap rumah, setiap kedai, setiap gedung dan pejabat dan ini tidak mengira latar belakang politik dan pentadbiran masing-masing,” katanya.

“Kita akan semarakkan seboleh mungkin pengibaran Jalur Gemilang di kawasann dan premis yang sebelum ini tidak diambil berat dan inilah masanya untuk kita memperlihatkan kepada dunia bahawa sekali setahun kita menyumbang ke arah kenegaraan kita dengan mengibarkan Jalur Gemilang di jendela atau pintu,” katanya. – BERNAMA