UPSR: Terengganu yakin ulangi sejarah terbaik – Bernama


UPSR: Terengganu yakin ulangi sejarah terbaik
10 September 2013

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) yakin dapat mengembalikan status negeri terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Pengarahnya, Zakaria Husin berkata, keyakinan itu berlandaskan komitmen dan persediaan mantap yang dijalankan sebelum calon menduduki peperiksaan itu yang bermula hari ini.

“Kita mensasarkan 20 peratus daripada keseluruhan calon iaitu 22,359 orang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini.

“Sebelum ini, kita merupakan negeri yang mencapai keputusan UPSR paling cemerlang selama 11 tahun berturut-turut, namun tahun lepas kita terpaksa akur dengan negeri Kelantan yang mendahului kita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi persediaan UPSR pada tahun ini dan pihaknya sangat berterima kasih atas sokongan kerajaan negeri serta semua pihak terutamanya ibu bapa dalam memastikan calon mendapat keputusan cemerlang.

“Untuk persediaan peperiksaan tahun ini kita memperkenalkan modul pembelajaran yang dipanggil modul 5P2M iaitu Pakej Pentaksiran dan Pecutan Prestasi Pembelajaran Melalui Modular yang mana untuk murid-murid akan mendapat tiga modul satu mata pelajaran yang diambil.

“Modul yang disediakan oleh guru Angkatan Kerja Rajin Mulia (Akram) ini mengandungi latihan, ujian formatif dan sumatif, latihan ini berdasarkan pembelajaran dalam kelas,” katanya.

Bagi peringkat sekolah, program bimbingan melibatkan semua pelajar diadakan bagi semua sekolah di negeri itu, manakala bagi peringkat daerah, program tutorial melibatkan 20 peratus murid di setiap daerah yang berpotensi untuk mendapat keputusan yang cemerlang dilaksanakan.

“Bagi peringkat negeri pula, kita adakan program yang dipanggil program akademik yang mana seramai 2,500 orang murid yang terbaik di seluruh negeri terlibat dalam 20 siri kem selama 16 jam,” katanya.

Zakaria berkata, JPNT juga telah mengenal pasti punca kelemahan prestasi UPSR pada tahun lalu iaitu, kelemahan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

“Kita telah mengadakan pelbagai program bagi memastikan mata pelajaran tersebut tidak lagi menjadi subjek yang menjadi penghalang untuk calon mendapat 5A dalam peperiksaan kali ini,” katanya.

Tinjauan Bernama ke beberapa sekolah sekitar bandar raya hari ini mendapati surau sekolah dipenuhi ibu bapa yang membaca al-Quran dan melakukan solat hajat, sebagai usaha akhir meraih kejayaan.

Ada antara ibu bapa yang sanggup mengambil cuti tiga hari untuk membaca al-Quran dan solat hajat di surau-surau sekolah sementara anak mereka menjawab peperiksaan di dewan peperiksaan.

Salah seorang bapa kepada calon, Mohd Hasyim Sulaiman, 50, berkata, beliau sanggup mengambil cuti untuk bersama-sama ibu bapa yang lain membaca al-Quran di sekolah sementara menunggu anaknya menjawab peperiksaan.

“Segala usaha telah dilaksanakan oleh pihak sekolah dan anak saya, ini sahaja yang dapat saya bantu anak saya dan ini merupakan usaha terakhir saya sebagai seorang bapa yang sangat mengharapkan anak saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini,” katanya. – Bernama

Kanak-kanak 9 tahun derita buah pinggang kronik – Metro


Kanak-kanak 9 tahun derita buah pinggang kronik
ADILA SHARINNI WAHID
14 Ogos 2013
  • Derita buah pinggang kronikUbat yang perlu ditelan Nur Izlin. Gambar kecil: perut kanak-kanak ini ditebuk dan dimasukkan tiub serta perlu kerap dicuci bagi mengelak jangkitan kuman.
< 1 / 1 >

KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun terpaksa menjamah nasi ‘berulamkan’ ubat apabila dia disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik, sejak Mei lalu.

Penderitaan dialami Nur Izlin Nafisya Izwan atau mesra dengan panggilan ‘baby’ itu bertambah parah apabila dia terpaksa menelan hampir 40 biji ubat dalam tempoh sehari.

Satu daripada ubat berbentuk kapsul itu perlu dihancurkan sebelum digaul bersama nasi atau apa-apa jua makanan yang dimakan oleh Nur Izlin.

Ibu kanak-kanak itu, Roslena Rasseli, 34, memberitahu anak kedua dari tiga beradik itu dikesan menghidap penyakit berkenaan ketika musim cuti sekolah penggal pertama lalu.

“Ketika itu, dia berada di rumah neneknya di Pasir Mas sebelum neneknya itu menyedari perubahan fizikal pada Nur Izlin yang berubah pucat pada mulut, tangan dan kaki.

“Saya segera membawanya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dan pihak hospital memberitahu buah pinggang kiri Nur Izlin mengecut serta mengecil menyebabkan dia terpaksa ditahan di Unit Rawatan Rapi selama seminggu.

“Selain buah pinggang kiri yang gagal berfungsi itu, Nur Izlin juga sakit pada buah pinggang yang sebelah lagi apabila buah pinggang itu hanya berfungsi sebanyak 10 peratus. Akibat kegagalan fungsi buah pinggangnya itu, juga menyebabkan dia menghidap darah tinggi,” katanya.

Menurut Roslena, Nur Izlin seperti kanak-kanak lain yang membesar dengan aktif dan lasak. Dia tidak pernah menunjukkan tanda-tanda menghidap sebarang penyakit sebelum ini.

“Kini, rutin saya berubah 100 peratus. Sekarang kami sekeluarga perlu berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur demi merawat Nur Izlin. Setiap kali pergi dan balik, duit habis beratus ringgit belum lagi termasuk kos ubatan yang mencecah RM2,600 sebulan,” katanya.

Roslena hanya bekerja sebagai kerani di sebuah pusat boling dengan pendapatan RM800 sebulan sementara suaminya pula, Izwan Ibrahim, 34, adalah seorang pemandu di kedai alatan ganti kereta yang berpendapatan sekitar RM1,000.

Selain kesempitan wang, keluarga itu juga memerlukan penderma dengan segera bagi meringankan seksaan yang ditanggung Nur Izlin.

“Setakat ini, hanya saya yang bersedia untuk mendermakan sebelah buah pinggang ini kepadanya. Tetapi belum pasti sama ada organ saya itu sesuai atau tidak untuk digunakan Nur Azlin. Saya perlu menjalani ujian terlebih dahulu pada bulan depan,” katanya.

Keluarga berkenaan tidak pernah menerima apa-apa bantuan bulanan dan terpaksa bergolok gadai apa-apa sahaja barang berharga yang ada untuk menampung kos perubatan Nur Izlin.

“Saya bukan orang berada. Macam suami juga, kami tinggal di rumah sewa di Berek 12 dengan bayaran RM2,80. Sebelum ini pun, saya dan suami dua bulan cuti tanpa gaji kerana merawat Nur Izlin di Kuala Lumpur. Nur Izlin juga sudah dua bulan tidak ke sekolah.

Sesiapa berhasrat  membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank Roslena Rasseli : 153010381198 atau menghubungi di talian 013-9558125.

Hampir separuh tiada rumah – Kosmo


Hampir separuh tiada rumah

 

HARGA rumah yang semakin meningkat menjadi halangan utama kepada penjawat awam untuk memiliki rumah sendiri. – Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Kira-kira 45 peratus atau 650,000 daripada 1.5 juta penjawat awam masih tidak mampu memiliki rumah kerana faktor harga, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.

Katanya, kajian yang dijalankan kesatuan itu baru-baru ini menunjukkan harga rumah yang semakin meningkat menjadi kekangan utama kepada impian tersebut.

Menurutnya, rata-rata penjawat awam terbabit adalah daripada kumpulan sokongan dan bergaji rendah, manakala bagi golongan berusia 40 tahun ke atas, bergred tinggi selain telah berkhidmat lebih 20 tahun telah memiliki rumah.

“Golongan 45 peratus ini terpaksa terus menyewa atau tinggal di kuarters dan terpaksa mengutamakan kos sara hidup,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0629&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2XYTgzfcA
Hakcipta terpelihara

Cemerlang STPM meningkat – Utusan


Cemerlang STPM meningkat

KUALA LUMPUR 18 Mac – Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 yang dikeluarkan hari ini menunjukkan peningkatan membanggakan untuk kebanyakan negeri, bahkan ada antara sekolah yang mencatatkan pencapaian kelulusan 100 peratus.

Terengganu terus melakar kejayaan membanggakan dalam STPM yang diumumkan apabila daripada keseluruhan 2,980 calon, sebanyak 2,861 orang lulus penuh sekurang- kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil.

Ini sekali gus menunjukkan peratusan lulus di negeri ini (96.01 peratus) mengatasi 1.57 peratusan kebangsaan iaitu 94.44 peratus serta peratusan tahun sebelumnya iaitu 95.34 peratus.

Terengganu turut mencipta rekod tersendiri apabila dua daripada 15 calonnya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PGNK) 4.00 membanggakan negeri dengan muncul antara yang terbaik di peringkat negara.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130319/dn_20/Cemerlang-STPM-meningkat#ixzz2Ny4qRmDR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Penambahbaikan Jadual Gaji Minimum – Maksimum Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia – JPA


Penambahbaikan Jadual Gaji Minimum – Maksimum Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia

PEMAKLUMAN

Perkara penting berhubung saraan yang diumumkan dalam MAPPA XIII pada 11 Mac 2013 iaitu:-

  1. Struktur gaji jgmm diperuntuk 3 KGT pada gaji maksimum – Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2013 telah dimuat naik.
  2. Pemberian satu KGT kepada semua penjawat awam berkuatkuasa 1 Julai 2013 dan Pergerakan Gaji Khas sebanyak 3 peratus bagi pegawai yang berada di gaji maksimum, jika tiada pelarasan atau semakan gaji dilakukan, akan dikeluarkan secara berperingkat dalam pekeliling berasingan.

Sekian, terima kasih.

Muat turun: Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2/2013

CUEPACS mahu tiga insentif dikaji semula – Berita Harian


CUEPACS mahu tiga insentif dikaji semula

2013/03/14 – 05:46:58 AMCetakEmel Kawan
Kuching: CUEPACS mahu tiga insentif penjawat awam di seluruh negara yang merangkumi bayaran insentif wilayah bagi Sarawak dan Sabah serta bayaran insentif daerah dinaikkan antara 10 hingga 15 peratus.

CUEPACS juga mahu imbuhan tetap perumahan dikaji semula kerana kadar sedia ada tidak mencerminkan kos sara hidup semasa.

Kenaikan membabitkan dua bayaran insentif itu perlu mengambil kira gred gaji penjawat awam, yang mana gred gaji rendah menerima peratus kenaikan 15 peratus, manakala gred gaji tinggi menerima tambahan 10 peratus.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata tuntutan itu dibuat kerana bayaran insentif dan elaun diberikan mesti selaras dengan tahap ekonomi dinikmati negara ini.

Bela penjawat awam bergaji rendah

CUEPACS mahu semua elaun dikaji semula, terutama membabitkan imbuhan tetap perumahan. Bagaimanapun, tiada peratus kenaikan ditetapkan kerana kita mahu imbuhan itu dibayar kerajaan berdasarkan keadaan ekonomi ketika ini.

CUEPACS mahu adalah penjawat awam bergaji rendah diberi pembelaan sewajarnya kerana merekagolongan itu banyak menerima kesan jika berlaku kenaikan kos barang, katanya.

CUEPACS syor kadar faedah rumah diturun – Utusan


CUEPACS syor kadar faedah rumah diturun

PULAU PINANG 19 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan untuk kakitangan awam daripada empat peratus kepada satu peratus.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kadar empat peratus itu membebankan khususnya bagi penjawat awam gred rendah yang menikmati gaji di bawah RM2,000 sebulan.

“Bayangkan dengan gaji sebanyak itu dan terpaksa pula membayar faedah empat peratus untuk perumahan, kadar tersebut membebankan kerana perbelanjaan lain juga meningkat.

“Tambahan pula, ketika ini harga rumah semakin mahal kerana kebanyakannya dijual antara RM150,000 dan RM400,000,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Balai Bomba Bayan Baru, di sini hari ini.

Menurut beliau, kajian penurunan kadar faedah itu perlu dilakukan supaya penjawat awam daripada pelbagai gred berjumlah 1.4 juta orang akan menerima manfaatnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130220/dn_11/CUEPACS-syor-kadar-faedah-rumah-diturun#ixzz2LQ4XoZ92
© Utusan Melayu (M) Bhd

CUEPACS gesa kerajaan kaji semula faedah pinjaman perumahan – Berita Harian


CUEPACS gesa kerajaan kaji semula faedah pinjaman perumahan

 

2013/02/19 – 15:55:23 PM Cetak Emel Kawan

GEORGETOWN: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan mengkaji semula faedah pinjaman perumahan kakitangan awam sebanyak empat peratus dengan menurunkan ia kepada satu peratus.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata kajian semula perlu dilakukan kerana ia sudah lebih 30 tahun tidak dikaji dan harga rumah sekarang yang mahal berbanding dulu.

Gaji RM5,000 layak mohon Skim Rumah Pertamaku – Bernama


Gaji RM5,000 layak mohon Skim Rumah Pertamaku

KUALA LUMPUR – Had pendapatan peminjam individu bagi Skim Rumah Pertamaku (SRP) dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan berkuat kuasa Januari 2013.

Kenaikan berkenaan merupakan satu daripada kriteria kelayakan SRP yang diumumkan dalam Bajet 2013 tahun lepas, demikian menurut Cagamas SRP Bhd. dalam kenyataan semalam.

Kenyataan itu menambah, bagi peminjam bersama, had pendapatan dinaikkan sehingga RM10,000 sebulan tertakluk kepada pendapatan peminjam individu tidak melebihi RM5,000 sebulan.

Menurutnya, skim itu membolehkan pembeli rumah mendapatkan 100 peratus pembiayaan daripada bank yang mengambil bahagian. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2GzcnE2y0
Hakcipta terpelihara

UPSR: 3,052 dapat semua A di Pahang, naik 11 peratus – Sinar Harian


UPSR: 3,052 dapat semua A di Pahang, naik 11 peratus

ERMA YUSNIDA JUSOH
20 November 2012
UPSR: 3,052 dapat semua A di Pahang, naik 11 peratus
Rosdi menyampaikan sijil kepada murid SK Permatang Badak yang memperoleh 5A, di Kuantan, semalam.

KUANTAN – Seramai 3,052 calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Pahang mendapat semua A iaitu 5A dan 7A.

Pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 11.30 peratus berbanding 2,977 tahun lalu iaitu bertambah seramai 52 murid.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Pahang, Rosdi Ismail berkata, pencapaian tahun ini secara keseluruhan menunjukkan peningkatan dalam setiap aspek.

Menurutnya, sebanyak 30 sekolah mencapai seratus peratus Menguasai Semua Mata Pelajaran (MSMP).

“Peningkatan MSMP UPSR  tahun ini sebanyak 288 sekolah melibatkan 230 sekolah kebangsaan, 44 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 14 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Manakala pencapaian minimum sekurang-kurangnya gred C adalah sebanyak 19,152 atau 71.57 peratus,” katanya pada sidang media kepada pemberita sempena Pengumuman Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2012 Negeri Pahang, di Sekolah Kebangsaan  (SK) Permatang Badak, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Hashim Mohd Zayat dan Guru Besar SK Permatang Badak, Endun Sumin.

Rosdi berkata, prestasi sekolah kurang murid di negeri ini juga menunjukkan pencapaian membanggakan apabila 195 sekolah mencatatkan keputusan cemerlang antaranya SK Teh, Jerantut dan SK Raub Indah.

Selain itu katanya, pencapaian calon sekolah di Felda juga tidak terkecuali dan seramai 452 calon mendapat 5A.

“Kita juga berbangga dengan prestasi sekolah Orang Asli iaitu SK Chini, Pekan yang berjaya mengekalkan pencapaian seratus peratus tiga tahun berturut-turut,” katanya.

Rosdi berkata, SK Permatang Badak menjadi sekolah paling ramai calon mendapat 5A di negeri ini iaitu seramai 44 calon daripada 190 calon yang menduduki UPSR tahun ini.