Aidilfitri: PM bayangkan berita gembira penjawat awam – Utusan


Aidilfitri: PM bayangkan berita gembira penjawat awam

 

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA 17 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengkaji kemungkinan mengumumkan khabar baik kepada penjawat awam terutamanya menjelang perayaan Aidilfitri nanti.

Perdana Menteri yang ditanya pemberita mengenai perkara itu kelihatan senyum dan memberi jawapan ringkas bahawa kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan soal tersebut.

“Nanti, kita akan melihat perkara ini. Ada masa lagi,” katanya ketika menjawab pertanyaan pemberita dalam sidang akhbar yang diadakan selepas majlis pertukaran memorandum pelaburan Koridor Utara di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam

(CUEPACS ), Datuk Omar Osman meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua bulan setengah kepada 1.5 juta penjawat awam di negara ini iaitu setengah bulan dipertimbangkan dibayar sebelum Aidilfitri.

Omar berkata, pemberian bonus itu mengurangkan beban penjawat awam dalam membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa pula percaya Perdana Menteri, akan memutuskan isu pemberian bonus kepada penjawat awam

sempena pembentangan Bajet 2014 nanti. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130717/dn_34/Aidilfitri-PM-bayangkan-berita-gembira-penjawat-awam#ixzz2ZIx7kUBG
© Utusan Melayu (M) Bhd

3 remaja ditahan, cuba rempuh sekatan jalan – Bernama


3 remaja ditahan, cuba rempuh sekatan jalan
16:04:55 PM Cetak Emel Kawan

SEREMBAN: Tiga remaja ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri selepas mereka bertindak cuba melanggar seorang anggota JPJ yang mengadakan sekatan di Jalan Datuk Muda Linggi, di sini, malam tadi.

Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah, berkata remaja terbabit yang masing-masing berusia 16, 18, dan 19 tahun menaiki dua motosikal jenis Honda EX5 dipercayai bertindak demikian untuk melarikan diri berikutan kedua-dua motosikal yang dinaiki mereka menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Bagaimanapun mereka gagal melarikan diri dan ditahan anggota kita yang bertindak cekap.
“Ketiga-tiga remaja itu akan diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan kerana menghalang tugas penjawat awam manakala anggota JPJ berusia 30-an yang cuba dilanggar remaja itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya selepas operasi berkenaan di sini hari ini.

Katanya, dalam sekatan yang diadakan sempena Operasi Praperayaan yang bermula jam 8.30 malam itu, 201 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

“Daripada jumlah itu 49 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal, 32 kepada pemandu kereta dan dua saman terhadap pemandu lori.

“Saman ini dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan lain-lain kesalahan merangkumi penggunaan lampu HID,” katanya.
Beliau berkata, 25 motosikal dan sembilan kereta disita selain 110 notis larangan penggunaan kenderaan (PG1) dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan terutama membabitkan kesalahan pengubahsuian kenderaan dan tiada cermin sisi.

“Operasi itu yang diadakan serentak oleh JPJ seluruh negara adalah bagi mengesan pelbagai kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal, terutama pada musim perayaan Aidilfitri ini.

“Sekatan jalan dilakukan kerana kita mahu pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya memandangkan musim perayaan bakal tiba kelak,” katanya. – BERNAMA