Pelajar hafaz 30 juzuk perlu diberi biasiswa – Sinar Harian


Pelajar hafaz 30 juzuk perlu diberi biasiswa

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Januari 2013

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri disaran memberikan peruntukan biasiswa kepada pelajar lepasan Sekolah Menengah Imtiaz yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran sebagai galakan dan penghargaan kepada mereka untuk menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh berkata, langkah itu bagi memastikan pelajar yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran ini tidak terikat dengan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Sebagaimana yang kita tahu, Sekolah Menengah Imtiaz adalah produk Kerajaan Negeri Terengganu yang kita perlu pelihara. Jadi, Kerajaan Negeri perlu memainkan peranan terhadap pelajar ini.

“Sebab itulah kita cadangkan supaya lepasan Imtiaz yang berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran menyambung pelajaran di bawah sokongan biasiswa Kerajaan Negeri,” katanya.

Menurutnya, selain menerima insentif yang diberikan kepada pelajar tahfiz, pelajar lepasan Imtiaz juga disarankan diberi elaun sebanyak RM200 setiap bulan sebagai sagu hati dan penghargaan kepada mereka.

Muhammad Ramli turut mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa atau persatuan lepasan Imtiaz ditubuhkan bagi mengumpul kesemua pelajar lepasan Imtiaz bagi menjaga kebajikan mereka.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat empat buah Sekolah Menegah Imtiaz di negeri ini iaitu di daerah Kuala Terengganu, Dungun, Besut, Kuala Berang sementara Sekolah Menengah  Imtiaz di Kemaman masih dalam proses pembinaan.

“Sekarang, lepasan Imtiaz berada di mana-mana, ada yang sambung pengajian ke peringkat  tinggi sama ada di dalam mahupun luar negara. Cuma, timbul persoalan, adakah kita mahu biarkan mereka bertebaran di merata tempat begini?

“Jadi, kita bangkitkan isu ini supaya perlu ada satu usaha bagi memastikan mereka yang hafal 30 juzuk al-Quran ini diletakkan dibawah satu pertubuhan atau alumni yang dapat menjaga kebajikan termasuklah persatuan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Ramli turut menyarankan supaya kerajaan negeri memberi keutamaan kepada mereka yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran untuk diambil sebagai Pegawai Tadbir Negeri (TCS).

“Seharusnya, kita mengutamakan mereka untuk menjadi pegawai tadbir kerana di samping menjadi pegawai tadbir, dalam masa yang sama mereka turut kuasai serta menghafaz 30 juzuk al-Quran,” katanya.

Subsidi, bantuan subur pendidikan – Metro


Subsidi, bantuan subur pendidikan
Oleh Sufian Thauri Muhammed dan Mohd Nasif Badruddin
am@hmetro.com.my

DUNGUN: Kerajaan tidak pernah jemu dan penat untuk memastikan rakyat mendapat pembelaan terbaik termasuk dalam bidang pendidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ilmu mampu mengubah nasib anak bangsa dan membawa impian Malaysia menjadi negara maju menjadi kenyataan pada 2020.
“Kemiskinan bukan halangan untuk maju. Anak orang miskin bukan tidak boleh dididik, malah boleh jadi manusia sempurna dan berjaya.

“Tetapi untuk berjaya, berlandaskan keinginan saja tidak cukup kalau tiada peluang pendidikan yang disediakan,” katanya pada Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) Warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Arena Square, di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan lebih 20,000 pelajar UiTM serta penduduk setempat.
Menurutnya, kerajaan menyediakan pelbagai subsidi dan bantuan dalam bidang pendidikan termasuk kemudahan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Kita bukan saja beri peluang, tetapi beri subsidi sekurang-kurangnya 90 peratus.
“Kita sediakan PTPTN supaya anak-anak yang tidak mampu dapat peluang ke IPT (institusi pengajian tinggi),” katanya yang turut membidas cadangan pembangkang yang mahu menghapuskan PTPTN kerana langkah itu akan memberikan pelbagai kesan negatif termasuk kenaikan cukai untuk menampung kos pendidikan percuma.

Beliau berkata, pelajar yang berjaya menerusi bantuan PTPTN akan membayar pinjaman berkenaan dan wang terbabit digunakan pula untuk membiayai kos pendidikan pelajar lain. Najib berharap MDAB yang memberikan peluang lebih 10,000 anak miskin melanjutkan pengajian mereka dalam peringkat diploma di UiTM diteruskan dan kerajaan akan memberikan sokongan terhadap program itu.
“Kerajaan akan beri sokongan bukan saja kepada pelajar Melayu dan Bumiputera, tetapi kepada bukan Bumiputera untuk mendapat pendidikan terbaik,” katanya.
Pada majlis sama, Najib memberi khabar gembira kepada warga Dungun apabila mengumumkan kelulusan peruntukan membina sebuah hospital baru di Kampung Pak Sabah, di sini.
Sementara itu dalam Majlis Perjumpaan Bersama Rela Negeri Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Terengganu, Najib berkata, usaha kerajaan mewujudkan Pasukan Relawan Malaysia (Rela) dengan dua dimensi atau kriteria utama sudah tercapai iaitu memulangkan tanggungjawab kepada rakyat dan memastikan rakyat mengambil tanggungjawab itu di setiap peringkat termasuk mukim dan kampung.
Beliau berkata, jika dulu Rela ditubuhkan untuk membantu melawan komunis, kini tugasnya bertukar kepada usaha mengurangkan kadar jenayah seperti menahan pendatang asing, mengadakan sekatan jalan raya dan terbaru menjaga keselamatan di pusat beli-belah dan parkir yang berisiko seiring dengan transformasi kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar jenayah.
“Rela sebagai pasukan yang besar dan disegani akan ditempatkan di lokasi strategik seperti pusat beli-belah dan parkir dan saya percaya ia memberi nilai pencegahan yang cukup tinggi,” katanya.
Najib berkata, menerusi Program Transformasi Kerajaan, indeks kadar jenayah berjaya dikurangkan dan terkawal, tetapi apabila berlaku jenayah, ia disebarkan dengan meluas di media sehingga ada pihak mempertikaikan penurunannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/14

Sekolah, pelajar terima bantuan – Metro


Sekolah, pelajar terima bantuan
Oleh MOHD JAMILUL ANBIA MD DENIN
anbia@hmetro.com.my

KUALA KANGSAR: Kehangatan Program Kembara Jelajah Janji Ditepati (JJD) yang diadakan besar besaran di Taiping, hari ini, mula dirasai apabila beratus-ratus pelajar, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan sekolah di negeri ini menerima nikmat bantuan kewangan semalam.

Bantuan sampingan itu membuktikan kesungguhan kerajaan menolong ibu bapa dan pelajar selain bantuan tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP), bantuan persekolahan RM100, pemberian komputer percuma 1Malaysia dan pelbagai bentuk sumbangan lain.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Bahru, Datuk Hamdi Abu Bakar, yang merasmikan majlis itu berkata penduduk negeri ini perlu bijak menilai pemimpin yang benar-benar mampu memberi sumbangan serta mengotakan janji.

Menurutnya, pemimpin yang baik adalah pemimpin yang menunaikan janji dan tidak hanya bijak berkata-kata tanpa membuktikan kemampuan dimiliki.
“Kalau ingin menjadi pemimpin, mesti mampu menunaikan segala yang dikata dan janji yang dibuat. Tiada gunanya menabur janji semata-mata untuk menarik sokongan tetapi setakat janji kosong,” katanya pada majlis Program Kembara JJD di Arena Square, Pengkalan Baharu, pagi semalam.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan bantuan kewangan kepada pelajar, PIBG dan sekolah di daerah itu untuk digunakan bagi memenuhi keperluan pendidikan.

Hamdi berkata, dia akan berusaha memberi bantuan sedaya mungkin kepada segenap lapisan masyarakat secara berterusan tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.
Adun Bukit Chandan, Datuk Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad, pula menyampaikan bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada lebih 50 penuntut institut pengajian tinggi awam di Dataran Sungai Perak, tengah hari semalam.

Wan Mohamad berkata bantuan itu diyakini mampu menaikkan semangat pelajar dan membantu golongan muda meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, Ketua Konvoi Media Prima Berhad yang turut menyertai program itu, Noor Maida Mohamad, berkata pihaknya gembira kerana dapat menyertai misi jelajah di segenap pelosok kampung di negeri ini.