Subsidi, bantuan subur pendidikan
Oleh Sufian Thauri Muhammed dan Mohd Nasif Badruddin
am@hmetro.com.my
DUNGUN: Kerajaan tidak pernah jemu dan penat untuk memastikan rakyat mendapat pembelaan terbaik termasuk dalam bidang pendidikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ilmu mampu mengubah nasib anak bangsa dan membawa impian Malaysia menjadi negara maju menjadi kenyataan pada 2020.
“Kemiskinan bukan halangan untuk maju. Anak orang miskin bukan tidak boleh dididik, malah boleh jadi manusia sempurna dan berjaya.
“Tetapi untuk berjaya, berlandaskan keinginan saja tidak cukup kalau tiada peluang pendidikan yang disediakan,” katanya pada Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) Warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Arena Square, di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan lebih 20,000 pelajar UiTM serta penduduk setempat.
Menurutnya, kerajaan menyediakan pelbagai subsidi dan bantuan dalam bidang pendidikan termasuk kemudahan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Kita bukan saja beri peluang, tetapi beri subsidi sekurang-kurangnya 90 peratus.
“Kita sediakan PTPTN supaya anak-anak yang tidak mampu dapat peluang ke IPT (institusi pengajian tinggi),” katanya yang turut membidas cadangan pembangkang yang mahu menghapuskan PTPTN kerana langkah itu akan memberikan pelbagai kesan negatif termasuk kenaikan cukai untuk menampung kos pendidikan percuma.
Beliau berkata, pelajar yang berjaya menerusi bantuan PTPTN akan membayar pinjaman berkenaan dan wang terbabit digunakan pula untuk membiayai kos pendidikan pelajar lain. Najib berharap MDAB yang memberikan peluang lebih 10,000 anak miskin melanjutkan pengajian mereka dalam peringkat diploma di UiTM diteruskan dan kerajaan akan memberikan sokongan terhadap program itu.
“Kerajaan akan beri sokongan bukan saja kepada pelajar Melayu dan Bumiputera, tetapi kepada bukan Bumiputera untuk mendapat pendidikan terbaik,” katanya.
Pada majlis sama, Najib memberi khabar gembira kepada warga Dungun apabila mengumumkan kelulusan peruntukan membina sebuah hospital baru di Kampung Pak Sabah, di sini.
Sementara itu dalam Majlis Perjumpaan Bersama Rela Negeri Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Terengganu, Najib berkata, usaha kerajaan mewujudkan Pasukan Relawan Malaysia (Rela) dengan dua dimensi atau kriteria utama sudah tercapai iaitu memulangkan tanggungjawab kepada rakyat dan memastikan rakyat mengambil tanggungjawab itu di setiap peringkat termasuk mukim dan kampung.
Beliau berkata, jika dulu Rela ditubuhkan untuk membantu melawan komunis, kini tugasnya bertukar kepada usaha mengurangkan kadar jenayah seperti menahan pendatang asing, mengadakan sekatan jalan raya dan terbaru menjaga keselamatan di pusat beli-belah dan parkir yang berisiko seiring dengan transformasi kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar jenayah.
“Rela sebagai pasukan yang besar dan disegani akan ditempatkan di lokasi strategik seperti pusat beli-belah dan parkir dan saya percaya ia memberi nilai pencegahan yang cukup tinggi,” katanya.
Najib berkata, menerusi Program Transformasi Kerajaan, indeks kadar jenayah berjaya dikurangkan dan terkawal, tetapi apabila berlaku jenayah, ia disebarkan dengan meluas di media sehingga ada pihak mempertikaikan penurunannya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/14
Like this:
Like Loading...