Bekas pelajar SK Pusat Jerteh rancang tubuh alumni – Bernama


Bekas pelajar SK Pusat Jerteh rancang tubuh alumni

18 Jun 2013

BESUT, 18 – Bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Pusat Jerteh bercadang menubuhkan alumni sekolah berkenaan sempena sambutan ulang tahun ke-75 penubuhannya pada 6 Julai ini.

Guru Besarnya Engku Naemah Engku Taib berkata majlis penubuhan Persatuan Bekas Pelajar (Alumni) sekolah itu akan diadakan di premis sekolah yang telah melahirkan lebih 10,000 pelajar sejak ditubuhkan pada 1938.

Antara mereka ialah golongan profesional terdiri daripada ahli akademik, peniaga, pegawai kanan kerajaan dan ahli politik termasuk Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Engku Naemah, yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno bahagian Besut, berkata pada masa ini terdapat 710 pelajar di sekolah itu dengan 69 tenaga pengajar. – Bernama