Tonton aksi mati dibelasah – Metro


Tonton aksi mati dibelasah

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Lebih 30 individu termasuk pelajar sekolah serta orang dewasa hanya menjadi penonton dan langsung tidak berusaha meleraikan pergaduhan membabitkan tiga pelajar yang berakhir dengan seorang daripadanya meninggal dunia, semalam.

Insiden menyedihkan itu berlaku di Perhentian Bas Pulau Sebang, di sini, jam 2.30 petang semalam dan mangsa K Saravannan, 14, ditumbuk bertubi-tubi selama hampir 30 minit oleh dua pelajar sebaya yang menyerangnya sehingga pengsan.

Selepas pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Pulau Sebang itu terbaring tidak sedarkan diri, lebih 30 individu yang menjadi penonton itu kelam-kabut melarikan diri dan meninggalkan mangsa terbaring sendirian di tempat kejadian.

Mangsa dikejarkan rakannya ke Hospital Tampin, Negeri Sembilan dengan kereta namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, siasatan awal mendapati sebelum pergaduhan, berlaku cabar-mencabar antara mangsa dengan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mansur Shah.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/25

Pelajar maut ditumbuk dua pelajar – Bernama


Pelajar maut ditumbuk dua pelajar

24 Oktober 2012

ALOR GAJAH – Seorang pelajar sekolah maut dipercayai ditumbuk dua lagi pelajar dalam satu pergaduhan disaksikan kira-kira 30 pelajar lain di perhentian bas Pulau Sebang di sini, hari ini.

Mangsa, K. Saravanan, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Sebang sebelum itu dipercayai berperang mulut dan cabar mencabar dengan dua pelajar sekolah berhampiran ketika berada di dalam bas sebelum persekolahan sesi pagi bermula.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, pergaduhan berkenaan berlarutan selepas sesi persekolahan berakhir kira-kira 2.30 petang ketika kesemua pelajar sedang menunggu bas di tingkat satu perhentian bas tersebut.

“Mangsa kemudian ditumbuk oleh seorang pelajar terbabit sebelum seorang lagi turut melakukan tindakan sama menyebabkan mangsa jatuh dan pengsan,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Katanya, kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor Shah berusia 14 tahun terbabit yang melihat mangsa tidak sedarkan diri kemudian menghubungi ambulans.

Bagaimanapun Raja Shahrom berkata orang awam yang berada di kawasan tersebut bertindak membawa mangsa ke Hospital Tampin dekat sini sebelum ambulans tiba.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Katanya, kedua-dua pelajar yang terbabit dalam kejadian itu ditahan polis ketika sedang bermain bola di Taman Sebang Gemilang di sini pada 6 petang bagi membantu siasatan.

Lima lagi pelajar yang menyaksikan kejadian tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan, katanya.

Sehubungan itu, Raja Shahrom mengingatkan orang ramai khususnya keluarga pelajar terlibat agar tidak mengambil tindakan di luar undang-undang dan menyerahkan siasatan kepada polis. – Bernama

Pekerja pemasangan wayar didakwa bunuh guru – Bernama


Pekerja pemasangan wayar didakwa bunuh guru

2012/04/25

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja pemasangan wayar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini, terhadap pertuduhan membunuh seorang guru wanita di Rawang, bulan lalu.

Bagaimanapun tertuduh, N Sritharan hanya mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki.

Sritharan, 19, didakwa bersama seorang lagi, yang masih bebas, membunuh S Usharani, 47, di Perhentian Bas PKNS, Batu 17, Jalan Ipoh, Rawang, Gombak dekat sini, pada jam 7 pagi 27 Mac lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Terdahulu, peguam K Muthiah memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan merujuk kepada pihak pendakwaan untuk mengkaji semula pertuduhan yang dihadapi anak guamnya kerana mangsa meninggal semasa berada di hospital dan bukan di tempat kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Abd Raheem Aliyas.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Jun untuk sebutan kes.
Akhbar sebelum ini melaporkan guru wanita itu cedera selepas disimbah cecair dipercayai asid ketika sedang menunggu bas untuk ke sekolah di perhentian bas Batu 17, Rawang. – BERNAMA

Polis siasat kaitan mangsa culik dengan lima remaja Myanmar – Bernama


Polis siasat kaitan mangsa culik dengan lima remaja Myanmar

20/03/2012 9:58pm

 

SHAH ALAM 20 Mac — Polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes culik seorang remaja perempuan yang berjaya dibebaskan oleh polis Thailand semalam termasuk mengenal pasti kaitan mangsa dengan lima remaja Myanmar yang turut diculik bersamanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, mangsa yang selamat tiba di tanah air semalam masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Polis akan menyiasat secara lengkap termasuk bila mangsa dibawa ke Thailand dan kaitan dengan lima remaja Myanmar yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di negara ini yang turut dijumpai bersama mangsa,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, polis akan meminta kerjasama polis Thailand supaya menghantar pulang kesemua remaja Myanmar yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan terbabit memadangkan keluarga mereka menetap di negara ini dan juga pemegang status UNHCR.

Zahedi berkata, mangsa berusia 14 tahun, dilaporkan hilang pada 30 Januari lepas selepas ibunya Norazura Roski, 37, menghantar mangsa yang tinggal di Seksyen 8 di sini ke sebuah perhentian bas di Seksyen 9 untuk ke rumah kawannya.

Katanya, Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada 31 Januari selepas anak gadisnya itu tidak pulang ke rumah.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun menghubungi ibunya pada 12 Mac lepas dan memaklumkan dia berada di Thailand selepas diculik sekumpulan lelaki di stesen bas di Seksyen 9 di sini dan berjaya meloloskan diri dan diselamatkan polis Thailand pada 11 Mac di Stesen Keretapi Hua Lampong, Bangkok.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 366 Kanun Keseksaan iaitu menculik untuk tujuan pelacuran atau melakukan persetubuhan luar nikah.

Ditanya kemungkinan mangsa terbabit dengan sindiket kutipan derma, Zahedi berkata pihaknya tidak mendapat sebarang maklumat berhubung perkara itu. — BERNAMA