Gadis pelik lepas hilang – Metro


Gadis pelik lepas hilang
JOHOR BAHRU: Yenny Nurjannah Abdullah, 15, atau Yenny yang hilang dari rumah keluarganya di Jalan Denai 4, Taman Kempas Baru, pada 27 Mei lalu, sudah kembali ke pangkuan keluarga namun beberapa perkara pelik menyelubungi remaja terbabit.

Ibunya, Sri Astutik, 43, berkata, Yenny kembali ke rumah pada jam 2 petang, 1 Jun lalu, tetapi sebaik tiba di rumah, Yenny seolah-olah diserang histeria kerana menjerit-jerit dari petang hingga malam.
“Kami memanggil seorang ustaz untuk mengubatnya dan ustaz berkenaan meninggalkan bunga yang sepatutnya diletakkan dalam bilik Yenny, tetapi bunga itu habis dimakannya,” katanya di sini, semalam.

Menurut Astutik, Yenny dihantar ke sebuah pusat perubatan sebelum ustaz sama datang untuk mengubatinya.
Astutik berkata, sejak diubat kali kedua, Yenny mulai sedar. “Kami terkejut dengan kepulangan Yenny dan lebih mengejutkan, dia masih memakai pakaian sama ketika keluar rumah, tetapi berat badannya menyusut,” katanya.
Menurut Astutik, keluarganya belum bertanyakan lebih lanjut kepada Yenny mengapa dia keluar dari rumah kerana bimbang ia menimbulkan tekanan kepada remaja itu.

“Yenny dihantar seseorang pulang ke rumah namun hingga kini, kami tidak tahu siapa orang itu.
“Selepas sedar, Yenny memaklumkan motosikal Honda EX5 berwarna hitam bernombor pendaftaran JHB 835 yang ditunggangnya ditinggalkan di tepi sebuah hotel di Stulang dan polis mengesahkan perkara berkenaan,” katanya.

Menurut Astutik, pemeriksaan kesihatan mendapati Yenny dalam keadaan baik dan stabil.
Dalam kejadian itu, Yenny menghantar SMS dan meminta kebenaran Astutik untuk menghadiri kelas latihan tarian berhampiran rumah mereka sebelum menghilangkan diri.

Bukti institusi keluarga celaru – Metro


Bukti institusi keluarga celaru

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Perbuatan seorang isteri dan anak yang mendera suaminya terlantar sakit dan membuat rakaman video penyeksaan yang dilakukan menunjukkan institusi kekeluargaan yang bercelaru.

Ketua Biro Belia dan Cinta Rakyat (Citra), Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), Ahmad Tajuddin Idris berkata, suatu tindakan perlu diambil membabitkan orang ramai dan pihak berkuasa kerana semakin banyak perkara pelik berlaku dalam institusi kekeluargaan sekarang.
“Sekarang banyak berita mengenai perkara pelik membabitkan institusi kekeluargaan yang dulu kita tidak pernah dengar. Sesuatu perlu dilakukan bagi mengelak kejadian sebegini menular antaranya memperkukuhkan pegangan agama dalam institusi kekeluargaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

 

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai seorang wanita berusia 50 tahun dan anak lelaki mendera suaminya yang terlantar sakit di Kampung Tanggung Unggar, Limbang, Sarawak.
Tindakan wanita dan remaja berusia 15 tahun itu terbongkar selepas polis menemui tiga rakaman video memaparkan perbuatan keji mereka dalam komputer riba milik remaja berkenaan di rumah mereka. Lebih mengejutkan, rakaman video itu memaparkan wanita berusia 50 tahun itu memukul suaminya dengan rotan manakala anak lelakinya ‘tumpang sekaki’ mendera bapanya, termasuk menarik alat sulit lelaki berusia 64 tahun itu. Ahmad Tajuddin berkata, mungkin anak beranak itu ada sebab tertentu sehingga tergamak menzalimi suami dan bapa mereka yang tidak terdaya mempertahankan diri.