Komputer riba bakal ganti buku teks – Muhyiddin – Utusan


Komputer riba bakal ganti buku teks – Muhyiddin

Daripada AZNAN BAKAR

MOBILE (Alabama) 18 Jan. – Komputer riba bakal menggantikan penggunaan buku teks di sekolah-sekolah dalam usaha kerajaan meningkatkan standard pembelajaran di negara ini bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang tetapi juga mempunyai pelbagai kemahiran.

Melalui sistem itu skim pinjaman buku teks akan digantikan dengan pinjaman komputer riba yang mana akan dipulangkan oleh para pelajar setiap kali selesai sesi persekolahan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata, itu merupakan antara kaedah yang boleh diteliti oleh Kementerian Pelajaran supaya sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah selari dengan perkembangan teknologi terkini.

“Malaysia kena beri perhatian dan menumpukan kepada standard pembelajaran yang lebih tinggi supaya para pelajar lebih fokus, ada kemahiran berfikir, kreatif dan holistik,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas melakukan lawatan ke Sekolah Tinggi Daphne di sini, semalam.

Sekolah tersebut yang merupakan sekolah yang disenaraikan dibawah Program Sekolah Reben Biru dalam sistem pendidikan Amerika Syarikat (AS) berjaya melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga turut menonjolkan dalam pelbagai bidang lain seperti sukan, muzik dan kebudayaan. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130118/dn_29/Komputer-riba-bakal-ganti-buku-teks—Muhyiddin#ixzz2IJmoBtzz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Telefon bimbit di sekolah: Kerajaan perlu tegas – Utusan


Telefon bimbit di sekolah: Kerajaan perlu tegas

KUALA LUMPUR 24 Julai – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menggesa kerajaan membuat keputusan tegas berhubung cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah.

Presidennya, Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, selain mengganggu proses pembelajaran, ia juga boleh mewujudkan budaya tidak sihat dalam kalangan pelajar.

“Langkah membenarkan pelajar membawa telefon bimbit hanya akan menganggu tumpuan mereka pada sesi pembelajaran ketika berada di dalam kelas.

“Langkah itu juga dikhuatiri akan mengundang beberapa masalah lain seperti kecurian, penyalahgunaan dan wujud jurang antara berkemampuan dan kurang berkemampuan dalam kalangan pelajar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Khamis lalu yang menegaskan, belum ada sebarang keputusan dibuat terhadap cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah.

Jelas Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, perkara tersebut hanya salah satu cadangan yang diusulkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin peringkat kementerian yang dipengerusikan oleh timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong beberapa minggu lalu setelah mengambil kira perkembangan teknologi terkini.

Mohd. Ali berkata, penggunaan peralatan alat komunikasi itu turut dilihat akan membebankan pihak sekolah daripada aspek kos dan masa.

“Saya bimbang ia akan meningkatkan kos pihak sekolah dalam menyediakan lokar khas untuk menyimpan peralatan elektronik itu kepada pelajar serta menambahkan beban guru untuk memantau sewaktu proses pembelajaran,” ujarnya.

Justeru jelasnya, kerajaan harus mengkaji perkara tersebut secara mendalam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan agar ia tidak mendatangkan kesan negatif terhadap institusi pendidikan negara.

Belum ada keputusan bawa telefon ke sekolah – Utusan


Belum ada keputusan bawa telefon ke sekolah

PAGOH 19 Julai – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan belum ada sebarang keputusan dibuat terhadap cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu hanya salah satu cadangan yang diusulkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin peringkat Kementerian Pelajaran yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong beberapa minggu lalu setelah mengambil kira perkembangan teknologi terkini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pada masa ini ramai yang memberikan pandangan mengenai pro dan kontra cadangan tersebut dan semua maklum balas itu akan diteliti dengan terperinci sebelum keputusan mengenainya dibuat. – UTUSAN