Mulakan kajian SSM sekarang, kata Cuepacs – Bernama


Mulakan kajian SSM sekarang, kata Cuepacs

9 Mac 2012
Cuepacs

MELAKA – Cuepacs berharap penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia dapat dilaksanakan segera.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, sebaiknya perbincangan berhubung langkah penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dimulakan dari sekarang selepas sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dibatalkan.

“Kita harap suruhanjaya ini cepat ditubuhkan dan dapat jasa baik Perdana Menteri, siapa yang jadi pengerusi (suruhanjaya) dapat diumumkan secepat mungkin.

“Ini kerana nak menyediakan sesuatu skim bukannya mudah,” katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri Melaka di Ibu Pejabat Kontinjen Melaka, di sini hari ini.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya semalam. Beliau turut mengumumkan pembatalan SBPA dan pelaksanaan semula SSM yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.

Mengulas lanjut, Omar berkata antara perkara yang memerlukan perhatian segera suruhanhaya itu ialah isu tangga gaji maksimum.

Ini kerana katanya dengan pembatalan SBPA, isu tangga gaji maksimum yang sebelum ini dibangkitkan di dalam SSM akan kembali berlaku.

“Sebagai contoh kalau gaji seseorang penjawat awam RM4,000, dapat pelarasan gaji 13 peratus, naiklah RM520 tetapi selepas itu habislah (kerana gaji maksimum), ini semua perlu dilihat kembali kerana dalam SBPA dahulu inilah perkara utama yang dibangkitkan,” katanya. – Bernama

SBPA batal, SSM dikembalikan – Utusan


SBPA batal, SSM dikembalikan

PUTRAJAYA 8 Mac – Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang menimbulkan kontroversi dalam kalangan kakitangan awam terutama Gred 54 ke bawah hari ini dibatalkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan keputusan tersebut berkata, sehubungan itu kerajaan mengembalikan semula pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Katanya, keputusan itu diambil selepas meneliti cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan menilai semula implikasi kewangan kerajaan.

Serentak dengan itu, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Khas dianggotai semua pihak berkepentingan untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia melalui prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan.

Pelarasan gaji SSM turut dinikmati penjawat awam di tangga gaji maksima: CUEPACS – Bernama


Pelarasan gaji SSM turut dinikmati penjawat awam di tangga gaji maksima: CUEPACS

2012/03/08

KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang telah mencapai tangga gaji maksima akan turut menikmati pelarasan gaji di bawah penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

“Mekanisma pelarasan dan butiran terperinci akan kita bincangkan dalam suruhanjaya yang ditubuhkan nanti,” kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

Najib hari ini mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan SSM yang ditambah baik selain mengumumkan pelarasan gaji antara tujuh peratus dan 13 peratus bagi penjawat awam mengikut gred.

Perdana Menteri juga mengumumkan penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan saja membabitkan sistem saraan malah rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.

Omar berterima kasih kepada Perdana Menteri bagi pihak penjawat awam di atas pengumuman tersebut dan meminta penjawat awam agar bersabar dengan pelaksanaan pelarasan gaji tersebut.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan pula berkata keputusan membatalkan SBPA dilihat sebagai tindakan bijaksana yang memberi keadilan kepada semua pihak.

“Mungkin ada pihak yang kurang puas hati dengan keputusan ini, namun kita perlu rasional bahawa kerajaan dalam masa yang sama tidak mampu memuaskan hati semua pihak,” katanya.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Khairil Niza Khairuddin yang menyambut baik pelarasan gaji itu bagaimanapun mahu kerajaan bertindak mengawal kenaikan harga barang di pasaran supaya tidak menjejaskan kenaikan gaji penjawat awam.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata pembatalan SBPA adalah bukti kerajaan mengiktiraf dan memahami beban rakyat terutamanya penjawat awam.

“Sistem negara moden memperuntukkan kerajaan perlu mengambil kira dan pandangan dari pihak peniaga mahupun masyarakat sivil dan pembatalan ini jelas menunjukkan Perdana Menteri kita telah mengotakan janjinya sebelum ini,” katanya.

Anggota tentera, Saiful Azmie Mohammed, 35, yang bakal menerima kenaikan gaji 13 peratus berkata pembatalan SBPA adalah satu tindakan yang wajar.

“Anggota beruniform seperti saya yang berada dalam kumpulan antara gred 42 hingga 44 tidak ada bantahan dengan pembatalan dan kenaikan gaji,” katanya.

Seorang guru, Mohd Sanusi Ismail, 46, berkata penjawat awam perlu bersyukur dengan kenaikan tersebut dan tidak patut mengeluh mahukan gaji yang lebih tinggi daripada kerajaan.

“Jumlah kenaikan sudah diputuskan, saya tidak kisah kerana bagi saya mudah, jika kewangan kerajaan mampu dan ada bajet lebih, sudah pasti rakyat dan penjawat awam orang pertama yang akan menerimanya,” katanya.

Pensyarah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam, Zariyawati Shaari, 32, berkata pembatalan SBPA mempunyai kebaikan dan keburukan.

“Saya menerima kenaikan 13 peratus, namun masih terlalu awal untuk menilai dan terdapat beberapa isu yang masih tidak jelas mengenai pembatalannya.

“Saya harap apa-apa pelaksanaan yang kerajaan lakukan perlu ambil kira semua perkara dan gaji golongan tertentu berpatutan dengan kerja dan kelayakan mereka,” kata Zariyawati.

Penolong Pentadbir Tanah, Ahmad Fayadh Abdul Manap, 26, pula kecewa dengan pembatalan SBPA.

“Saya rasa SBPA ini memberi satu fasa baru kepada penjawat awam secara keseluruhannya. Sepatutnya SBPA yang perlu ditambah baik bukan SSM yang dikekalkan.

“Perlu diingatkan bahawa mereka yang mendapat kenaikan gaji berdasarkan skim SBPA adalah pegawai kerajaan yang mempunyai kelayakan akademik setimpal,” katanya.

Beliau berkata kenaikan gaji pegawai kerajaan melalui skim SBPA secara tidak langsung boleh membantu mereka untuk membayar balik pinjaman pendidikan ketika menuntut di institut pengajian tinggi sebelum ini.

Kakitangan Majlis Perbandaran Bentong, A Kalaichalvi, 32, berkata beliau berpuas hati dengan pengumuman hari ini kerana jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dengan nasib kakitangan awam terutamanya golongan bawahan.

“Saya yakin dan percaya pengumuman itu akan membangkitkan lagi semangat penjawat awam untuk terus bekerja dengan gigih bagi memastikan tahap dan pencapaian sentiasa berada di landasan betul,” katanya. – BERNAMA